Tuesday 25 March 2014

Novel II : Sukma Angin (Arena Wati)


Hari ini, pengkaji cuba menyingkap kisah novel yang ditulis oleh Arena Wati pada tahun 1999. Apabila kita membaca novel ini, banyak mesej dan pengajaran yang kita dapat dalam novel ini. Berikut adalah ulasan yang dibuat oleh Ibrahim Che Noh mengenai novel ini.

Sukma Angin karya Arena Wati (1999) sebuah karya fotokopi dan nostalgia di kalangan New Historisisme juga memiliki unsur historiografik metafiksyen, menggambarkan kekuasaan politik Melayu masa silam, meski makna semiosisnya ialah kebijaksanaan Melayu menguasai teknologi perkapalan dan pelayaran laut dalam dengan penentangannya terhadap Penjajah Hindia-Belanda dan Jepun ; tetapi makna semiotiknya ialah tentang kekuasaan Melayu dalam pemerintahan dan penentangannya terhadap penjajahan.

Sukma Angin telah ditulis oleh Arena Wati dalam konteks Melayu mula kehilangan jati dirinya atau kehilangan akar sejarahnya yang diremangi oleh ekstasi kehidupan terkini yang cuba memadamkan semangat nasionalisme. Dalam beberapa keadaan ada orang yang berfahaman bahawa nasionalisme itu paralel dengan asabiah dan patriotisme juga menjadi kabur. Dalam perjuangan fundamentalisme, sering dimomokkan bahawa Islam menolak kebangsaan, ini digemakan oleh Imperialisme Barat yang diindoktrinasikan dalam jargon masa. Justeru itu, karya ini kontekstual dan beraroma pascakolonialisme dengan mencari kekuasaan politik dan mengenal jati diri melalui susuran sejarah.

Arena Wati ingin menunjukkan akibat daripada orbit perubahan kehidupan yang begitu cepat pada zaman ini demi mencari kekuatan ekonomi, Orang Melayu sering melupakan sejarah, bahkan menjadi satu bangsa yang cepat lupa diri. Mungkin kita pun sedar tentang lupa diri ini tidak hanya milik Orang Melayu, juga seperti yang dinyatakan dalam gerakan politik sastera sejarah baru, Stephen Green Blatt berbangsa eropah sering melupai sejarah masa lampau lalu mereka digesa membaca semula teks sejarah zaman Renassaince, kerana di dalamnya diceriterakan kebangkitan tamadun baru di era klasik baru 1994. Menyedari situasi ini, beliau dalam kebanyakan novelnya seperti Citra, Panrita dan Saudagar menghidupkan semula sejarah kebesaran Empayar Melayu.

Sukma Angin merupakan sebuah bricolage sejarah untuk menjadi mirror image kepada bangsa Melayu, agar mereka sedar bahawa Melayu sesungguhnya adalah bangsa yang besar, memiliki bahasa yang besar dan mempunyai kuasa politik yang besar. Sukma Angin tidak hanya sebuah kapal agama tetapi sebuah kerajaan yang tersergam. Mengendalikan kapal ditengah lautan yang ganas yang ditakdirkan oleh angin lautan, memerlukan kecekapan dan kepintaran, juga sebagai nakhoda harus adil kepada orang bawahannya. Di sinilah sebenar imej politik kapal itu. Lagipun sesiapa yang durjana, pendosa, penzina dan penzalim tidak akan diterima oleh Sukma Angin. Hanya yang soleh sahaja boleh menjadi nakhoda Sukma Angin menurut Arena Wati. Segala-galanya harus kembali kepada Islam. Islamlah yang mendasari sejarah perjalanan dan pelayaran Sukma Angin.



Rujukan :

Ibrahim Che Noh. 2005. Dakwah dan Etika Politik Di Malaysia. Selangor : Utusan Publications & Distributors Sdn. Bhd.

Arena Wati. 1999. Sukma Angin. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka.



No comments:

Post a Comment