Saturday 7 September 2013

Tongkat Besi : Tak Ada Akaun FACEBOOK

Hari ini, Pengkaji ingin memberitahu kepada Rakan-Rakan Blogger bahawa Tongkat Besi tidak mempunyai Akaun FACEBOOK, TWITTER dan INSTAGRAM. Jadi, sesiapa yang membuat penyamaran nama itu saya menyeru agar si penyamar pulang ke pangkal jalan.


Oleh : Tongkat Besi



Friday 6 September 2013

Apa Itu Yahudi, Israel, Zionisme dan Judais ?

Hari ini, pengkaji terbang ke Negara Israel pula untuk menyingkap sejarahnya. Kali ini pengkaji menampilkan tentang apa itu Yahudi, Israel, Zionisme dan Judais ? Menurut Ibnu Yaacob (2010), Yahudi dan Judais adalah dua perkara yang berbeza. Yahudi bukanlah merujuk kepada agama. Yahudi adalah suatu bangsa. Manakala agama bagi Yahudi itu ialah Agama Judais yang diamalkan sehingga sekarang.

Mengikut kepercayaan masyarakat Yahudi, agama Judais dibawa oleh Abraham (Nabi Ibrahim a.s) yang mana berdasarkan pendapat mereka bahawa Abraham itu dianggap bapa kepada seluruh keturunan Yahudi walaupun hakikatnya ia menyimpang dengan ahli sejarah (Ibnu Yaacob, 2010). Menurutnya lagi, walaupun mereka berpendapat Abraham sebagai pengasas agama Judais, tetapi kitab rasmi yang digunakan ialah Kitab Taurat yang dibawa oleh Moses (Nabi Musa a.s). Selain dari Kitab Taurat, mereka juga berpegang kepada Kitab Talmud yang dihasilkan sendiri oleh Rabbi-Rabbi mereka. Kitab Talmud lebih meluas penggunannya berbanding Kitab Taurat kerana Talmud mencakupi segala adat-istiadat kehidupan seharian masyarakat Yahudi walaupun pada hakikatnya ia sudah menyimpang dari ajaran sebenar Nabi Musa a.s.

Perkataan Israel pula merujuk kepada satu gelaran yang diberikan oleh Allah s.w.t kepada Nabi Yaakub a.s. Menurut Imam Al-Khazim dalam kitabnya yang bertajuk Lubab at-Takwil menyatakan :

Para ahli tafsir bersepakat bahawa Israel adalah Yaakub (Nabi) Bin Ishak Bin Ibrahim, selawat dan salam Allah ke atas para nabi sekalian.

Pendapat ini juga disandarkan pada petikan dalam Surah Al-Imran ayat 63 yang bermaksud :

Semua makanan adalah halal kepada Bani (keturunan) Israel kecuali apa yang Israel haramkan ke atas dirinya sebelum diturunkan Taurat.

Mengikut kepercayaan kuno Yahudi pula, Nabi Yaakub dianugerahkan gelaran Israel kerana Nabi Yaakub berjaya menewaskan Tuhan Tahweh (nama Tuhan Yahudi) semasa tuhan turun ke bumi. Menurut mereka, perkataan Isra' bermaksud hamba manakala el adalah singkatan dari perkataan elohem yang bermakna tuhan (Ibnu Yaacob, 2010). Disamping itu, Israel juga merujuk kepada 'negara' bangsa Yahudi.

Zionisme pula bermaksud satu dasar atau pergerakan politik yang bertujuan menegakkan sebuah negara Yahudi di Palestin (Kamus Dewan, 2010).

Oleh yang demikian, perencanaan Yahudi-Zionis dalam usaha menghancurkan umat Islam dan risalah tauhid para nabi telah diberitakan Allah hampir keseluruhan juz Al-Quran. Kelompok kuffar yang sangat minoriti ini boleh dikatakan berjaya mencengkam dunia dengan kuku-kuku kediktatoran mereka (Ibnu Yaakob, 2010).

Hakikatnya, kesemua penonjolan simbol-simbol dan perencanaan genius mereka adalah satu cabaran dan dugaan kepada kaum muslimin agar terus melipat gandakan lagi usaha ke arah menangkis segala bentuk konspirasi Yahudi. Dan sudah pastinya dalam usaha itu, ia memerlukan sifat sabar dan taqwa yang sangat tinggi dikalangan umat Islam sebagaimana firman Allah s.w.t dalam Surah Al-Imran ayat 111 :

"Mereka kaum Yahudi dan Nasrani tidak sekali-kali akan membahayakan kamu, kecuali menyakiti (perasaan kamu dengan ejekan-ejekan dan tuduhan-tuduhan yang tidak berasas). Dan jika memerangi kamu, mereka akan berpaling lari membelakangkan (kalah dengan sehina-hinanya) sesudah itu mereka tidak akan mencapai kemenangan,"

Begitulah serba sedikit ceritera yang empunya ceritera.


Rujukan :

Ibnu Yaacob (2010). Rahsia Simbol Yahudi. Pulau Pinang : ES Publisher Sdn. Bhd.

Kamus Dewan (2002). Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka.




Kempen Anti British Di Kelantan : Sarjan Che Wan Ditikam Oleh Tok Janggut

Hari ini, pengkaji menuju semula ke Negeri Cik Siti Wan Kembang, Kelantan Darul Naim. Kempen anti-British ini bermula pada tahun 1905 apabila undang-undang hasil padi diperkenalkan di mana setiap penduduk dimestikan melaporkan kepada Tok Kweng jumlah keluasan sawah padi yang dimiliki dan kedudukan tanah itu. Dengan ini bermakna orang-orang Pasir Puteh tidak boleh lagi mengelakkan diri daripada cukai kerana jumlah keluasan tanah mereka didaftarkan (Abdullah Zakaria, 1985). 

Disamping itu, sistem cukai telah diperkenalkan di Pasir Puteh dan sistem ini berbeza sekali dengan sistem cukai yang dijalankan sebelum ini. Sistem cukai ini  kemudiannya mendatangkan masalah dan beban kepada petani-petani di Pasir Puteh. Melalui sistem cukai baru ini semua tanah, sama ada dikerjakan atau tidak, dimestikan membayar cukai. Selain daripada itu cukai-cukai ditetapkan  ke atas perkara-perkara tertentu. Mislanya sirih dikenakan lima sen sejunjung, lembu dan kerbau dikenakan 20 sen seekor setahun. Sebelum perlaksanaan sistem cukai baru ini, kutipan cukai di Pasir Puteh didasarkan kepada jumlah keluaran. Sekiranya hasil keluaran banyak, maka tinggilah cukai yang dikenakan. Begitulah juga sebaliknya (Abdullah Zakaria, 1985).

Selain daripada itu, kempen anti-British ini berlaku disebabkan adanya kekasaran yang dilakukan oleh pegawai-pegawai yang bertugas. Orang-orang yang tidak membayar cukai akan ditangkap dan didenda. Kadangkala mereka ini dimaki hamun. Kata-kata kesat ini sesungguhnya menyakiti penduduk Pasir Puteh dan menyebabkan penduduk Pasir Puteh membenci British. Oleh sebab itulah Tok Janggut, Penghulu Adam, Haji Said dan Che Ishak telah menjalankan kempen anti-British agar tidak membayar cukai dan tidak mengikut peraturan baru itu. Penduduk Pasir Puteh turut serta memberi sokongan terhadap perjuangan Tok Janggut dan pengikutnya (Abdullah Zakaria, 1985).

Akibatnya, satu tentangan terbuka tercetus pada tahun 1915 apabila Encik Latif, Pegawai Daerah, menghantar Sarjan Che Wan untuk menangkap Tok Janggut. Dalam pertemuan ini berlaku pertengkaran di antara Tok Janggut dengan Sarjan Che Wan. Ini menyebabkan Tok Janggut telah menikam mati Sarjan Che Wan. Encik Latif telah menghantar beberapa orang Polis untuk menangkap Tok Janggut yang telah membunuh Sarjan Che Wan itu, tetapi dipertengahan jalan Polis ini dinasihatkan pulang kerana angkatan Tok Janggut sedang mara ke Pasir Puteh (Abdullah Zakaria, 1985).

Memandangkan keadaan ini, Encik Latif dan kakitangan lain menyelamatkan diri ke Kota Bharu dengan perahu besar melalui Kuala Semerak. Tok Janggut menduduki bandar Pasir Puteh dan mendudukinya selama 3 hari. Di sini, Engku Besar Jeram dilantik sebagai Pemerintah Pasir Puteh. Setelah 3 hari berada di Pasir Puteh, Tok Janggut dan angkatannya mengundurkan diri. Penasihat British kemudiannya meminta bantuan dari Singapura. Setelah angkatan itu tiba, angkatan itu mara ke Pasir Puteh. Pertembungan akhirnya berlaku di Kampung Dalam Pupuh dan Tok Janggut terkorban. Mayatnya dibawa ke Kota Baharu, diarak serta di kebumikan di Pasir Pekan (Abdullah Zakaria, 1985).


Rujukan :

Abdullah Zakaria Ghazali (1985). Kebangkitan Anti-British Di Tanah Melayu. Kuala Lumpur : Jabatan Penerbitan Universiti Malaya.





Disebalik Rahsia Simbol Bendera Tengkorak Atau Lanun

Hari ini, pengkaji menelusuri pula makna simbol dalam bendera yang berlatar belakangkan gambar tengkorak atau lebih dikenali sebagai lanun. Lihat bendera di bawah ini :


Tahukah anda bahawa simbol tengkorak tersebut merupakan salah satu rahsia simbol Yahudi. Menurut Ibnu Yaacob (2010), simbol ini lebih terkenal dikalangan masyarakat kita sebagai simbol lanun. Simbol tersebut sering dikaitkan dengan lanun maka jika kita diarahkan untuk melukis Kapal Lanun sekalipun, kita pasti meletakkan bendera bersimbol tengkorak dan tulang ini. Tujuan meletakkan simbol ini pada bendera ialah kerana ingin memberitahu ianya Kapal Lanun.

Namun demikian, menurut beliau lagi simbol tersebut merupakan satu agenda Yahudi yang membawa maksud skull and bones. Selain daripada itu, ia juga dikenali sebagai The Brotherhood of Death. Skull and bones adalah suatu pertubuhan rahsia golongan siswazah berbangsa Yahudi dari University of Yale, Connecticut, Amerika Syarikat. Ia ditubuhkan pada tahun 1832. Kebanyakan pemerhati dari barat amat mempercayai kumpulan skull and bones ini mengamalkan upacara penyembahan syaitan sebagai suatu amalan tetap kumpulan rahsia ini. Tujuan pengamalan itu juga ditafsirkan sebagai salah satu usaha untuk mengikat tali kesetiaan antara ahli-ahli kumpulan (Ibnu Yaacob, 2010)

Simbol tengkorak dan tulang ini kebiasaannya dilihat pada bendera-bendera Kapal Lanun yang banyak dipamerkan dalam filem mahupun dalam buku ilmiah sejarah. Bendera lanun ini sebenarnya mempunyai istilah sendiri iaitu Jolie Rogue yang diambil dari perkataan Knight Templer. Simbol ini digunakan oleh golongan Knight Templer dalam upacara pengkebumian mereka. Disamping itu, ia turut digunakan dalam upacara-upacara penyembahan bagi pengamal ajaran Kabbalah. Kabbalah bermaksud suatu amalan mistik atau kerohanian yang diamalkan oleh masyarakat Yahudi bagi penganut Agama Judais (Ibnu Yaacob, 2010).

Oleh yang demikian, maka benarlah penjajah Sepanyol telah melabel tentera Mindanao sebagai (moor) iaitu lanun walaupun pada hakikatnya Mindanao bukanlah lanun atau (moor) sepertimana yang digembar-gemburkan oleh penjajah Sepanyol. Seperti juga Orang Bugis, Bajau Laut, Samal, Jawa, Iban, Dayak dan segelintir Orang Melayu mereka bukanlah lanun tetapi mereka adalah pejuang yang mempertahankan tanah air daripada dijajah.

Kadang-kadang Orang Islam berkata, tipu daya musuh sangat hebat tetapi apa yang patut kita ingat ialah tipu daya itu bukannya muncul pada hari ini atau kelmarin, ia telah pun muncul sejak 14 kurun yang lampau yakni sejak Agama Islam diturunkan - Sayyid Muhammad Qutb

Begitulah serba sedikit ceritera yang empunya ceritera.


Rujukan :

Ibnu Yaacob (2010). Rahsia Simbol Yahudi. Pulau Pinang : ES Publisher Sdn. Bhd.



Kepala Alan Lee Dipenggal Oleh Pahlawan Iban

Hari ini, pengkaji berpatah balik semula ke Negeri Bujang Senang atau lebih dikenali sebagai Sarawak, Bumi Kenyalang. Kali ini, pengkaji menceritakan bagaimana Rentap dan menantunya berjaya memenggal kepala Alan Lee, salah satu pegawai James Brooke. Salah satu faktor penentangan ini berlaku disebabkan James Brooke telah menggambarkan Orang Iban dan Melayu-Saribas adalah lanun-laut dan perompak-darat (Low Kok On, 2010). 

Apabila penentangan ini berlaku, Rentap dan pengikutnya berjaya mengundurkan tentera James Brooke. Menurut Chang Fat Foh (2006) :

Rentap first met and fought the White Raja at Karangan Peris in Skrang on 19 August 1844. He stood bravely blocking the advanced of White Raja's force led by Datu Patinggi Ali with a formidable array of war boats and thousands of men on both banks of the river. The White Raja's force were outnumbered and Datu Patinggi Ali was killed together with George Steward and 29 of his devoted followers with 56 wounded.

Tambahnya lagi, petempuran kali kedua juga Rentap berjaya mengundurkan tentera James Brooke pada 1852. Pada masa itu James Brooke cuba berdamai dan mengutus surat kepada Rentap untuk datang bertemu dengannya. Akan tetapi, Rentap bukan sahaja enggan menerima tawarannya malah telah menyerang Kapal Alan Lee, iaitu Pegawai James Brooke yang mentadbir Lingga di Lintang Batang pada awal 1853. Kapal Alan Lee telah ditenggelamkan oleh pengikut Rentap dan Kepala Alan Lee berjaya dipenggal oleh menantu Rentap. Peristiwa ini turut dicatatkan oleh Hahn (1953).

James Brooke and Charles had already collaborated on one expedition against Rentap, whose forces had defeated Brereton and Alan Lee ; once again Rentap this time on the defensive, succeeded in beating back the Europeans and their forces. These triumph were due in part to the fact that the English for the first time were fighting far inland, where their inexperience put them at a grave disadvantage.

Kemenangan Rentap ini menyebabkan Charles Brooke ditempatkan di Lingga. Akhirnya, Charles Brooke telah merancang tiga siri serangan ke atas Rentap : Ekspedisi Bukit Sadok I (1857), Ekspedisi Bukit Sadok II (1858) dan Ekspedisi Bukit Sadok III (1861). 


Rujukan :

Journal Low Kok On (2009). Rentap dan Penentangannya Terhadap James Brooke. 28 (1) 2010: 151-175.



Monday 2 September 2013

Kapten Barbarossa : Berjihad Demi Islam

Hari ini, pengkaji berkongsi kepada pembaca mengenai watak Kapten Barbarossa dalam filem 'Pirates of The Caribbean'. Bendera hitam dengan gambar tengkorak menjadi simbol armada Kapten Barbarossa di layar perak atau filem. Sedangkan hakikat yang sebenarnya jauh berbeza dengan identiti Barbarossa sebenar. Acap kali kapal dagang Eropah yang belayar membawa muatan berharga, dua beradik ini telah bertindak balas menyerang kapal-kapal dagang Eropah di perairan Laut Mediterreranean yang mendapat jolokan 'The Barbarossa Brothers'. Nama Barbarossa amat popular sehingga menggerunkan tentera salib pimpinan Raja Sepanyol, Raja Ferdinand II (Mastika, 2013). 

Siapakah Kapten Barbarossa yang ditakuti oleh Eropah itu ? Sebenarnya, gelaran itu bukanlah nama seseorang. Perkataan Barbarossa merupakan gabungan dua perkataan dalam Bahasa Latin iaitu 'barber' (janggut) dan 'rossa' (merah). Kapten Barbarossa itu adalah Aruj dan Heyreddin, dua beradik yang memiliki janggut kemerah-merahan. 

Bendera kapal Aruj dan Heyreddin sebenarnya adalah berwarna hijau yang tertulis kalimah surah Ash-Shaff ayat 61:13 berupa doa nashrun. Manakala ditengahnya pula terdapat gambar dua pedang bersilang yang mengambil simbol pedang Zulfikar, milik Rasulullah s.a.w. Empat bulatan di tepi pedang itu semua adalah kaligrafi nama empat khalifah Islam dan lambang memerangi Yahudi. Lihatlah, betapa gahnya pahlawan terbilang ini dipropagandakan oleh barat lalu dimunculkan sebagai watak beraura negatif dan merupakan satu penghinaan terhadap pahlawan Islam. Kapten Barbarossa bukan lanun seperti mana yang digambarkan dalam filem itu sebaliknya, beliau adalah pejuang Islam yang berjihad demi agama (Mastika, 2013).

Dua beradik ini dilahirkan di Turki dan merupakan golongan pelaut yang sering belayar di perairan Yunani dan Turki. Satu ketika, kapal mereka telah diserang oleh tentera Sepanyol sehingga mengorbankan adik bongsu mereka. Sejak itulah, dua beradik ini bertindak balas dan menyerang kapal-kapal bangsa Eropah yang dikuasai oleh Sepanyol. Penaklukan Empayar Islam di wilayah Andalusia pada 1492 di bawah pimpinan Raja Ferdinand II yang mengorbankan jutaan nyawa umat Islam telah membangkitkan jihad dua beradik ini. Pasukan tentera laut Heyreddin telah berjaya mengawal sepenuhnya pelayaran disekitar laut tengah membuatkan tentera Sepanyol berundur. Akibatnya, Itali dipelawa oleh Sepanyol untuk bergabung bagi memerangi Heyreddin. Sebanyak 40 buah kapal laut dengan senjata yang canggih telah disediakan. Namun, dengan kebijaksanaan Heyreddin beliau berjaya mengundurkan tentera itu. Semangat juang jihad Heyreddin dipandang tinggi. Justeru tidak hairanlah, setelah beliau meninggal dunia pada tahun 1546, makamnya di Besiktas, Istanbul tetap dikunjungi oleh orang ramai dan dikenang sebagai Pahlawan Islam terbilang. Walau bagaimanapun, Sepanyol telah berjaya juga mengkristiankan wilayah Andalusia tersebut (Mastika, 2013).

Strategi dan penjajahan Sepanyol di Andalusia tersebut sama dilakukannya ketika cuba menjajah di Selatan Filipina (Sulu-Mindanao). Di Selatan Filipina, (Sulu-Mindanao) digambarkan oleh Sepanyol sebagai lanun (moor) sama seperti Aruj dan Heyreddin. Personaliti Aruj dan Heyreddin digambarkan mempunyai janggut kemerah-merahan tidak pada Sultan Sulu, Mindanao, Brunei, dan Maluku. Akhirnya, Sultan Sulu (Sultan Mawalil Wasit), Mindanao (Sultan Kudarat), Brunei (Raja Sulaiman) dan Maluku (Raja Ternate) telah bergabung memerangi Sepanyol di Laut Sulu (Akhbar Iqrak, 2010).

Cuba anda perhatikan gambar Bendera di bawah ini :

(a) Bendera Asal Kesultanan Sulu                    (b) Bendera Asal Heyreddin
                                                          

(c) Bendera Yang digambarkan oleh Sepanyol



Begitulah serba sedikit ceritera yang empunya ceritera.


Rujukan :

Majalah Mastika (2013). Barbarossa : Berjihad Demi Islam. Halaman 52-55.

Akhbar Iqrak (2010). Sepanyol Gagal Kristiankan Orang Islam Di Selatan Filipina. Halaman 14-15.