Friday 21 June 2013

Kisah Lembing Awang Pulang Ke Dayang : Berlaku Di Johor Pada Abad Ke-19

Peristiwa 'Lembing Awang Pulang Ke Dayang' adalah suatu tragedi yang memilukan berlaku di Parit Raja Laut, Muar kira-kira pada akhir abad ke-19 (Matlob dan Zam Ismail, 2002). Kawasan tersebut termasuk dalam daerah Padang (Parit Bakar ke Bukit Mor) yang diperintah oleh Orang Kaya Aris anak Orang Kaya Mohd Yassin zuriat Daeng Seriuk. Daeng Seriuk menjadi pemerintah Padang dengan gelaran "Orang Kaya" pada tahun 1703 (Matlob dan Zam Ismail, 2002).

Menurut Matlob dan Zam Ismail (2002), Awang dan Dayang adalah pangkat sepupu sebelah ibu. Ibu Dayang kakak kepada ibu Awang. Mereka ditunangkan memandangkan Dayang meningkat remaja (Puteri) dan ramai pemuda yang meminatinya. Seperti adatnya, Awang terpaksa menyediakan wang belanja sejumlah RM370.07 dan sehelai kain mastuli tenunan Orang Bugis sebagai hantarannya. Mereka mengikat janji selama 3 tahun untuk memberi peluang Awang mencari wang belanja dan membeli kain mastuli dari Makassar.

Tambah mereka lagi, Awang telah belayar ke Siak lalu ke Makassar dan bekerja di sana. Kebetulan ada perlawanan Catur di Raja diadakan di Makassar dengan hadiah sepasang Lembing Sakti iaitu (sebilah jantan dan sebilah betina). Awang memasuki pertandingan tersebut dan telah memenanginya. Setelah berhasil mengumpul wang belanja dan kain mastuli, Awang pun segera belayar pulang membawa sepasang lembing kurnia Raja Bugis itu.

Ketika Awang sampai ke kampungnya, didapati orang sedang sibuk menunggu ketibaan pengantin lelaki di rumah Dayang. Rupanya Dayang sudah terlepas ke tangan orang lain iaitu seorang murid Panglima Hitam bekas Ketua Lanun di Tanjung Tohor (Matlob dan Zam Ismail, 2002). Walaupun Awang sedar kepulangannya sudah terlewat 5 bulan dari tarikh perjanjian, namun hatinya kesal kerana keluarga Dayang tidak mengirakan hal pelayaran di laut yang tidak menentu itu (Matlob dan Zam Ismail, 2002).

Dengan mata lembing betina yang terbungkus rapi, ia ke rumah Dayang. Hatinya pilu dan sayu mengenangkan Dayang terlepas ke tangan orang yang tidak disukainya. Ketika pengantin lelaki di usungan, Awang mengeluarkan lembing lalu meradak perut pengantin itu. Tiba-tiba, mata lembing betina itu tercabut sendiri dari perut pengantin lelaki itu lalu menikam satu demi satu pengiringnya. Kemudian melarat kepada orang lelaki yang lain sehingga ke sisi pelamin (Matlob dan Zam Ismail, 2002).

Kebetulan pada waktu itu, ayah Dayang berada di sisi anaknya. Lembing itu terus menujah ke perut ayah Dayang iaitu lelaki yang ke-99 menjadi korban mata lembing betina tersebut. Sebelum menghembuskan nafasnya yang terakhir, beliau mencabut mata lembing itu dari perutnya lalu menyerahkan kepada Dayang. Dalam suasana yang mengharukan, Awang meninggalkan kampungnya buat selama-lamanya (Matlob dan Zam Ismail, 2002).

Kesan kubur panjang yang memuat 99 mayat itu terdapat di Dusun Tua terletak di Parit Besar dengan Parit Raja Laut. Lembing kepunyaan Awang masih tersimpan dalam tangan orang yang berhak, dan di antaranya (mata lembing jantan-betina) terpaksa dipisahkan agar tidak menimbulkan sebarang masalah kepada penjaganya.

Persoalannya ialah, Siapakah murid Panglima Hitam bekas Ketua Lanun di Tanjung Tohor tersebut ?


Rujukan :

Matlob dan Zam Ismail (2002). Imbasan Peristiwa Bersejarah Johor. Johor : Yayasan Warisan Johor Sdn. Bhd.






No comments:

Post a Comment