Barcelona [The Catalan]



Berita Harian - 26 Mei 2014 : Kelab bola sepak Barcelona di Sepanyol memiliki barisan bintang yang terkemuka dan dicemburui di seluruh dunia. Bagaimana agaknya cara kelab gergasi itu membentuk pasukan yang boleh dianggap sebagai antara yang terulung di abad ini ?

Beberapa tahun lalu, sebuah akhbar British mendedahkan bahawa kejayaan kelab gergasi The Catalan itu bermula daripada usaha mereka mewujudkan sistem akademi remaja. Pemain seperti Lionel Messi, Adres Inesta, Carles Puyol, Victor Valdes, Pedro Rodriguez, Xavi Hernandez, Gerard Pique, Sergio Busquets, Bojan Krkic dan Jeffren merupakan produk hebat yang dilahirkan dari sistem yang dinamakan asas bola sepak Barca.

Sebahagian besar daripada pemain bola sepak hebat itu ialah bekas graduan La Masia, sebuah akademi bola sepak remaja yang terletak bertentangan dengan stadium Nou Camp di Barcelona. La Masia menempatkan 60 orang bakat bola sepak remaja terbaik yang keluarganya tinggal di kawasan pedalaman Sepanyol atau di luar negara. Bangunan La Masia setinggi 2 tingkat, memiliki sebuah dewan makan, enam buah bilik tidur, sebuah perpustakaan, sebuah bilik komputer dan sebuah bilik rekreasi.

Hanya 12 orang kanak-kanak tidur di bangunan itu manakala selebihnya menginap di bilik asrama yang terletak di tingkat satu Stadium Nou Camp, kira-kira 30 meter dari La Masia. Messi, Inesta, Puyol, Valdes dan Pedro tinggal di La Masia bertahun-tahun lamanya. Krkic dan Jeffren turut menginap di situ manakala Xavi pergi ke sana untuk makan bagi membolehkan kelab itu mengawasi dietnya. 

La Masia memulakan operasinya pada tahun 1979 sedang beroperasi dengan 70 orang kakitangan yang terdiri daripada doktor, jurulatih, pakar pemakanan, tukang masak, pakar fisioterapi dan ahli psikologi. Pelajar terdiri daripada remaja berumur 11 hingga 18 tahun dengan jumlah maksimum sebanyak 75 orang untuk satu pengambilan. Setiap pelajar diberikan biasiswa, makanan, penginapan, kemudahan pengangkutan dan wang manakala kelengkapan latihan turut ditaja sepenuhnya.


Sumber : Berita Harian. 2014. La Masia, Barcelona Sepanyol. Halaman D3.


No comments:

Post a Comment