Saturday 2 May 2015

Rasuah II : Bila Rasuah Berleluasa

Daripada Mu'az Bin Jabal, beliau berkata : Aku mendengar Rasulullah s.a.w bersabda, "Ambillah pemberian itu selama ia masih sebagai pemberian.. Tetapi, apabila ia telah menjadi rasuah dalam pandangan agama maka jangan kamu mengambilnya. Namun kenyataannya kamu tidak tidak akan dapat meninggalkan rasuah itu kerana kamu takut fakir dan kamu sangat berhajat untuk mengambilnya." [Hadis riwayat Thabrani & Abu Nu'aim].

Keterangan oleh Noorazam Yaakob [2012] :

Pada akhir zaman, rasuah akan berleluasa dalam masyarakat dan wang mempunyai kuasa untuk membeli pangkat dan kedudukan serta untuk mendapatkan kemudahan daripada pihak yang berpangkat dan berkuasa. Dalam keadaan yang sebegini rupa, manusia sudah tidak memperdulikan sesiapa. Maka musnahlah akhlak dan runtuhlah segala budi, yang wujud hanyalah kezaliman dan penindasan daripada setiap lapisan terhadap lapisan yang memerlukannya.

Rasuah wujud di segenap tempat dan segenap lapisan masyarakat. Jika diperingkat masyarakat bawahan, kita dapat lihat fenomena ini dalam kes merasuah polis, kastam, JPJ dan beberapa agensi lagi untuk menutup kesalahan mereka daripada didakwa ataupun di saman. Ada juga merasuah pensyarah dan dekan-dekan ataupun yang berkuasa dalam proses  penganugerahan ijazah mahupun sijil.

Di samping itu, terdapat juga segelintir masyarakat yang terlibat dalam perniagaan yang merasuah pihak-pihak tertentu untuk meluluskan projek yang dibuatnya. Keadaan ini bukan sahaja terlibat dalam sektor pendidikan, penguatkuasaan undang-undang, perniagaan malahan turut melibatkan bidang kehakiman. Maka di sini kita dapat lihat bagaimana yang bersalah dapat dilindungi daripada dihukum. Sebaliknya pula yang berlaku. Ini bermakna, sistem keadilan pun boleh dijual-beli. Paling menyedihkan kita, apabila gejala rasuah ini turut melibatkan ahli-ahli politik yang memimpin negara. Mereka menggunakan kedudukan mereka untuk mengaut keuntungan peribadi dan mengetepikan kepentingan rakyat (Noorazam Yaakob, 2012).

Bagi masyarakat bawahan, nilai rasuahnya mungkin bernilai hanya ratusan tinggit. Tetapi, bagi golongan atasan, bagaimana pula nilai rasuah mereka ? Sudah tentu jutaan ringgit bukan ? Biar berapa pun nilainya, gejala rasuah memang amat keji dan satu jenayah. Dalam agama Islam, rasuah adalah haram.


Rujukan :

Noorazam Yaakob (2012). Peringatan Rasulullah s.a.w : Peristiwa Akhir Zaman. Johor Bahru : Pustaka Azhar.