Tuesday 4 March 2014

Agama II : Tentang Ghibah dan Fitnah

Hari ini pengkaji membicarakan pula tentang ghibah dan fitnah. Dalam sebuah perbualan di antara Rasulullah s.a.w dengan seorang sahabat, Rasulullah s.a.w ditanya :

"Wahai Rasulullah, apakah itu ghibah ?". Lalu Rasulullah s.a.w menjawab.
"Ghibah adalah menyebut sesuatu yang tidak disukai oleh saudaramu dibelakangnya." Kemudian baginda ditanya lagi.
"Bagaimana sekiranya apa yang disebutkan itu benar?” jawab Baginda, “Kalau sekiranya apa yang disebutkan itu benar, maka itulah ghibah, tetapi jika sekiranya perkara itu tidak benar, maka engkau telah melakukan fitnah (satu pembohongan besar)." Hadis riwayat Muslim, Abu Daud dan At-Tarmizi.

Hadis di sini jelas menunjukkan kepada kita bahawa pembohongan ataupun ghibah (menyebut keburukan orang lain walaupun benar) itu adalah sesuatu perkara yang dikutuk di dalam Islam. Manakala fitnah yang berasal daripada perkataan Arab yang membawa maksud kekacauan, bencana, cubaan dan penyesatan dilarang sama sekali di dalam Islam kerana ia mampu mendatangkan kesan buruk ke atas agama dan masyarakat (Suhaimee & Rusyda, 2005).

Fitnah mempunyai ceritanya tersendiri di dalam sejarah tamadun manusia. Fitnah juga telah menjadi salah satu faktor kejatuhan Kerajaan Othmaniah sebuah kerajaan Islam yang begitu unggul satu masa dahulu. Fitnah juga boleh menjadi punca keretakan dan pergeseran di dalam masyarakat. Di dalam arus pemodenan dan diiringi dengan kemajuan di dalam bidang teknologi dan komunikasi, manusia hari ini boleh menyampaikan maklumat dengan cepat dan mudah. Berbanding dengan masyarakat pra teknologi maklumat, sesebuah maklumat yang ingin disampaikan mengambil masa untuk tiba dan diterima oleh penerima maklumat itu. Dengan wujudnya Teknologi Maklumat (TKM) ia menjadi pemangkin kepada kebebasan maklumat dan membantu sesebuah masyarakat menjadi masyarakat yang kaya dengan ilmu pngetahuan (Suhaimee & Rusyda, 2005).

Dalam Sejarah Melayu, banyak peristiwa-peristiwa berlakunya fitnah yang akhirnya sesebuah kerajaan atau empayar telah mengalami kejatuhan. Misalnya empayar Kesultanan Melayu Melaka di mana Hang Tuah telah difitnah oleh Patih Karma Wijaya. Begitu juga di Singapura, anak Sang Rajuna Tapa telah difitnah oleh dayang istana. Bukan itu sahaja, di Kedah juga ada terjadinya fitnah iaitu Mahsuri dituduh melakukan zina. Akibatnya, kerajaan tersebut telah mengalami kejatuhan.

Dalam arena politik pula, satu kes telah melibatkan saman fitnah yang dilakukan oleh Dato’ Seri Anwar Ibrahim dahulu terhadap penulis buku 50 Dalil Kenapa Anwar Tidak Boleh Menjadi PM, Datuk Khalid Jafri dan isterinya. Di dalam kes ini Hakim Datuk Mohd. Hishamudin Mohd. Yunus telah memerintahkan supaya Anwar Ibrahim dibayar RM4 juta akibat fitnah dan RM500,000 lagi disebabkan konspirasi (Suhaimee & Rusyda, 2005).

Di bidang hiburan pula telah melibatkan gejala fitnah menerusi Internet iaitu kes yang berlaku dahulu yang melibatkan seorang pensyarah kolej, Ahmad Shaharil, yang didakwa atas tiga tuduhan memfitnah penyanyi Siti Nurhaliza Taruddin menerusi penghantaran emel. Tuduhan yang dikenakan adalah memfitnah dengan niat merosakkan reputasi Siti Nurhaliza dengan menyiarkan atau menghantarkan emel tersebut kepada tiga orang wartawan akhbar. Kes ini, Mahkamah Majistret telah membuat keputusan bahawa Datuk Sharifah Aini dilepas tanpa dibebaskan daripada pertuduhan menyiarkan beberapa tuduhan menfitnah Siti Nurhaliza menerusi e-mel. Mahkamah mendapati bahawa mahkamah tidak mempunyai bidang kuasa untuk mendengar kes itu berdasarkan peruntukan Seksyen 131 Kanun Prosedur Jenayah (Suhaimee & Rusyda. 2005).

Pengajaran daripada kes ini boleh mengajar masyarakat agar lebih berhati-hati dalam menyampaikan apa-apa bentuk maklumat yang boleh menjejaskan reputasi seseorang dan perlu memahami bentuk tindakan yang boleh dikenakan jika disabit kesalahan (Suhaimee & Rusyda. 2005).

Oleh yang demikian, marilah kita menghayati tentang bahayanya fitnah. Allah telah berfirman dalam surah al-Hujarat ayat 12 :

“Wahai orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa; dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang; dan janganlah sesetengah kamu mengumpat sesetengahnya yang lain. Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati ? (Jika demikian keadaan mengumpat) maka sudah tentu kamu jijik kepadanya. Oleh itu patuhilah larangan-larangan tersebut dan bertakwalah kamu kepada Allah, sesungguhnya Allah penerima taubat lagi maha mengasihani."


Rujukan :

Kajian Suhaimee & Rusyda. 2005. Fitnah : Satu Tinjauan Dari Sudut Islam, Perlembagaan dan Undang-Undang. Legal Network Series : Universiti Kebangsaan Malaysia.