Sunday 6 December 2015

Analisis : Apa itu Drama ?


Berdasarkan etimologi, perkataan drama berasal dari Bahasa Yunani iaitu dram yang membawa maksud gerak-geri. Drama juga membawa maksud sandiwara. Perkataan sandiwara berasal dari Bahasa Jawa iaitu sandi yang bermaksud rahsia dan warah pula bermaksud ajaran. Sandiwara bererti ajaran yang disampaikan secara rahsia. Mengapa ? Kerana dalam drama mengandungi unsur-unsur pengajaran (Asul Wiyanto, 2002).

Menurut Zakaria Mohd Yassin (2007),  drama digunakan untuk menguja sebuah cerita agar lebih menarik. Dengan demikian, drama tersebut akan meningkatkan minat penonton supaya mengikuti cerita yang disampaikan. Pengisah boleh bercerita tentang pertarungan antara dua pendekar, tentang sukan, tentang keganasan, pasangan bercinta, peperangan dan sebagainya. Namun begitu kalau peperangan itu disampaikan melalui drama, ia akan meningkatkan lagi minat penonton pada drama tersebut. Begitulah juga dengan kisah-kisah yang lain. Tegasnya, drama perlu didukung oleh rentetan konflik dan krisis yang kian meningkat sehingga mencapai kemuncak (klimaks). 

Di samping itu, drama perlu ada cerita. Misalnya cerita tentang kisah manusia, keganasan, peperangan, sukan dan lain-lain. Kadangkala ada cerita yang disebut simbolik yang bukan kisah manusia seperti kisah-kisah binatang, batu, kayu, besi dan seumpama dengannya. Namun begitu, simbolik tersebut sebenarnya adalah cerita-cerita kiasan. Ia sebenarnya ditujukan kepada manusia. Jadi, simbolik tersebut juga dianggap sebagai kisah manusia.

Tegas beliau lagi, dalam cerita pula perlu ada watak dan beberapa peristiwa. Watak ini adalah gambaran manusia. Oleh itu, watak akan berinteraksi dengan cerita. Dalam proses interaksi itu, watak mungkin akan berkonflik, bersatu, marah, benci dan sebagainya. Mengenai peristiwa, kadangkala peristiwa yang berlaku amat ajaib dan sukar untuk dipercayai jika dipersembahkan dalam bentuk drama. Manusia biasa akan bertindak di luar dugaan. Tindakannya itu mungkin ada sebab-sebab tertentu yang menyebabkan beliau bertindak diluar dugaan. Jadi, dapatlah disimpulkan bahawa peristiwa dalam pengalaman seseorang boleh menjadi idea kepada drama. Namun, ada juga yang berunsurkan sejarah, sukan, agama, sains dan imaginasi atau khayalan semata-mata.

Kehidupan alam yang kita lalui ini adalah pancaran daripada alam hakiki. Selaras dengan pandangan itu, alam drama adalah pancaran daripada alam yang kita lalui ini. [Plato]


Rujukan :

Asul Wiyanto 2002.  Terampil Bermain Drama. Jakarta : Gramedia Indonesia.

Zakaria Mohd Yassin 2007. Panduan Menulis Skrip Drama : Filem, Radio dan Televisyen. Kuala Lumpur : Creative Enterprise Sdn. Bhd.