Wednesday 20 February 2013

Tragedi Berdarah, Angkara Perkauman: Peristiwa 13 Mei

Peristiwa berdarah ini adalah satu peristiwa yang paling menyedihkan di Tanah Melayu yang berlaku pada suatu ketika dahulu. Antara puncanya ialah :

(a) dasar pecah perintah oleh British
(b) dasar diskriminatif Jepun
(c) kekejaman MPAJA
(d) ancaman PKM dan darurat
(e) Isu-isu politik yang berunsur perkauman dalam pilihan raya umum 1955

Apa kata Mahathir ? Beliau menegaskan punca tercetusnya 13 Mei ialah kerana sikap Tunku Abdul Rahman yang terlalu "lembut" dengan golongan perkauman. Tegasnya lagi, orang Melayu telah hilang kepercayaan dan tidak menghormatinya lagi. Akibatnya pada 12 Julai 1969, Dr. Mahathir telah dipecat oleh Tunku Abdul Rahman daripada UMNO.

Kisah 1 : Sedikit gambaran berdasarkan buku Memoir Seorang Pejuang.

" Pada petang 13 Mei itu, Aisah Ghani bersama dua rakan pergi ke Batu 9, Gombak. Sejam kemudian, suami saya datang dan menyuruh saya pulang segera ke Kampung Baru. Tangan saya menggeletar apabila saya ternampak beratus-ratus pemuda Melayu memegang parang, lembing dan kapak berarak menuju ke Setapak,"

Kisah II : Nyawa di bucu peluru.

" Semalaman tidak ada sesiapa pun dapat tidur kerana bunyi tembakan tidak berhenti-henti. Kira-kira pukul 11:00 malam, Aisah Ghani melihat sendiri bangunan 4 tingkat dekat pasar Chow Kit dibakar. Di Kampung Baru sendiri, beribu-ribu orang berkumpul di masjid (untuk mencari perlindungan),".

Kisah III : Kemarahan tidak terkawal lagi.

" Keadaan pemuda-pemuda Melayu pada malam itu seperti dirasuk hantu. Mereka keluar tidak berbaju, hanya memakai seluar dan kain lilit di kepala berwarna hitam sambil membawa sebilah parang berkilat dilumur dengan minyak,"

Kisah IV : Si cacat, mangsa ekstremis perkauman.

" Cerita yang paling menyedihkan ialah seorang kanak-kanak cacat (Melayu) di Kampung Hujung Pasir, Kuala Lumpur yang tidak dapat melarikan diri bersama-sama keluarganya ketika rumahnya dibakar oleh persusuh anti Melayu. Dia hangus terbakar bersama-sama rumahnya dan ketika mayatnya yang tinggal tulang dijumpai, kanak-kanak ini masih menggenggam wang syiling 20 sen di tangannya,"

Kisah V : Kuku Komunis.

" Pada malam 4 Mei, polis terserempak dengan sekumpulan pemuda Cina yang membawa tong cat merah di Kepong. Mereka tidak lari tetapi membaling dan memukul polis, oleh sebab bertindak kasar, polis melepaskan tembakan dan terkena salah seorang daripada mereka,"

" Dalam suasana kacau sebegitu rupa,  Cik Liza Ahmad telah didatangi oleh pemuda Cina sambil memegang kayu meluru ke arahnya. Ketika itu juga seorang peniaga Cina menarik Liza masuk ke dalam kedai dan meyorokkannya di celah-celah kain yang bergulung-gulung,"

Kisah IV : Bukan semua menyukai perkauman.

" Rumah saya (Aisyah Ghani) di Jalan Daud, didatangi oleh ramai orang yang mencari perlindungan. Saya masih teringat bagaimana seorang pemuda Cina yang lari lintang-pukang tidak berkasut tersu masuk ke rumah saya meminta pertolongan,"

Akhirnya pada 13 Mei, peristiwa 13 tercetus pada sebelah malamnya. Semoga akan mejadi satu pengajaran yang berguna kepada generasi akan datang supaya jangan bermain api.


Rujukan :

Aisah Ghani (1992).  Memoir Seorang Pejuang. Dewan Bahasa dan Pustaka : Kuala Lumpur


Tuesday 19 February 2013

Tuntutan Filipina Terhadap Sabah: Wujudkah ?

Bagi mengupas permasalahan ini, kita perlu melihat terlebih dahulu "Ikrar Malaysia dan Filipina" yang dimeterai. Nampaknya, kedua-dua buah negara telah berjanji dalam Persetujuan Manila dan Pernyataan Bersama. Ketiga-tiga ketua negara telah menerima dan mengambil tindakan penyelesaian yang dinyatakan dalam memenuhi kehendak perenggan 10 dan 11 Persetujuan Manila sebagai syarat terdahulu sebelum Indonesia dan Filipina mengalu-alukan Penubuhan Malaysia. Tidak diragui Malaysia sentiasa mematuhi peruntukan perjanjian itu. Malaysia telah menyatakan dalam satu nota bertarikh 7 Februari 1966 bahawa Malaysia tidak pernah berganjak daripada Persetujuan Manila 31 Julai 1963 dan Pernyataan Bersama yang menyertainya (Mohd Arif, 1988). Malaysia juga telah memberi jaminan bahawa Malaysia akan mematuhi perjanjian itu, khususnya perenggan 12 Persetujuan Manila dan perenggan 8 Pernyataan Bersama, yang ketiga-tiga ketua negara mengambil perhatian tentang kedudukan tuntutan Filipina terhadap Sabah selepas penubuhan Persekutuan Malaysia. Dalam pengumuman 3 Jun 1966 kedua-dua buah negara itu telah pun sebenarnya berikrar untuk mematuhi Persetujuan Manila dan Pernyataan Bersama itu.

Hasil daripada ikrar bagi kedua-dua negara itu, tidak syak lagi bahawa setiap pihak terus menekankan bahawa masing-masing mempunyai hak terhadap wilayah Sabah itu. Jika keadaan demikian berterusan, sikap ini akan sentiasa menjadi punca bahaya. Barangkali, seseorang tidak perlu memandang jauh untuk mendapatkan jawapan kepada persengketaan ini. Jawapan itu pada halnya telah pun diperuntukkan dalam perenggan 13 Persetujuan Manila yang mungkin tidak jelas ketika perdebatan hangat. Perenggan itu menyatakan :

"Berdasarkan pertalian sejarah yang rapat di antara rakyat Filipina dengan rakyat Borneo Utara dan berhampiran dengan kedudukan geografinya, Menteri bersetuju bahawa sekiranya Borneo Utara memasuki Persekutuan Malaysia yang dicadangkan oleh Kerajaan Malaysia, dan Kerajaan Filipina hendaklah memelihara keharmonian dan hubungan persahabatan yang sedia di rantau mereka untuk memastikan keselamatan dan kestabilan kawasan itu,"

Mereka harus menerimanya jika mereka benar-benar memandang berat tentang keamanan dan keharmonian rakyat negara masing-masing. Kedua-dua buah negara itu adalah ahli anggota ASEAN dan ASA yang menjadi harapan besar dalam kestabilan ekonomi dan politik. Filipina seharusnya menggugurkan tuntutannya dan menumpukan segala usahanya untuk bekerjasama dengan Malaysia dalam konteks ASA dan ASEAN. Jika tidak, amat sukar untuk dibayangkan apa yang berlaku nanti. Lagipun, Borneo telah bersetuju menyertai Penubuhan Malaysia dan Filipina sendiri sebenarnya telah bersetuju dalam Perjanjian Manila. 

Oleh yang demikian, masih wujudkah tuntutan Filipina itu ? atau hanya semata-mata dipolitikkan ? 


Rujukan :

Mohd Arif Othman (1988). Tuntuan Filipina Terhadap Sabah. Dewan Bahasa dan Pustaka: Kuala Lumpur.


Monday 18 February 2013

Kisah Hang Tuah dan Hang Jebat, Siapa benar ?

Sebelum penulis menjelaskan tajuk di atas, kita perlu melihat 'Perjanjian Demang Lebar Daun dengan Sang Sapurba' terlebih dahulu. Perjanjian ini dibuat sebelum kedatangan Islam ke Melaka. Perjanjian di antara Demang Lebar Daun dan Sang Sapurba adalah satu ikatan perjanjian yang melahirkan konsep bersultan dan berhamba dalam masyarakat Melayu Beraja (Darmabakti, 1990). Konsep perjanjian itu adalah daulat dan derhaka di mana rakyat tidak derhaka kepada raja walaupun raja itu zalim dan jahat. Begitu juga halnya dengan Raja, tidak berbuat zalim kepada rakyat. Seperti yang tercatat dalam Sejarah Melayu :

"Barang siapa mengubahkan perjanjian itu dibalikkan Allah bumbung-nya ke bawah, kaki tiangnya ke atas,"

Perjanjian Demang Lebar Daun dengan Sang Sapurba seperti yang dicatatkan dalam Sejarah Melayu adalah seperti berikut :

Sembah Demang Lebar Daun : "Adapun Tuanku segala anak cucu patik sedia akan jadi hamba ke bawah Duli Yang Dipertua: hendaklah ia diperbaiki  oleh anak cucu duli Tuanku. Dan jika ia berdosa, sebesar-besar dosanya pun, jangan difadihatkan, dinista dengan kata-kata yang jahat: jikalau besar dosanya dibunuh, itupun jikalau berlaku pada hukum Syarak,"

Titah Sang Sapurba : "Hendaklah pada akhir zaman kelak anak cucu bapa hamba jangan derhaka pada cucu kita, jikalau zalim dan jahat sekalipun,"

Maka sembah Demang Lebar Daun :
"Baiklah Tuanku, tetapi jikalau anak buah Tuanku dahulu mengubahkan dia, maka anak cucu patik pun mengubahkanlah,"

Apa yang kita boleh simpulkan daripada perjanjian di atas adalah, Raja tidak boleh berbuat zalim kepada rakyatnya, begitu juga dengan rakyat, rakyat mesti patuh dan taat setia kepada Raja walaupun Raja itu zalim atau jahat. Apabila Hang Tuah difitnah oleh Pati Karma Wijaya, Sultan Melaka tanpa usul periksa telah menjatuhkan hukuman bunuh kepada Hang Tuah. Pada saat inilah muncul Hang Jebat bangkit menuntut keadilan. "Raja Adil Raja disembah, Raja Zalim Raja disanggah," Berbalik kepada perjanjian di atas, ternyata Raja yang dahulu telah mengubahnya, tanpa usul periksa, baginda menjatuhkan hukuman bunuh kepada Hang Tuah walau pun sebelum ini Hang Tuah begitu setia dengan Sultan Melaka. Hang Tuah sanggup berkorban mempersembahkan kekasihnya iaitu Tun Teja kepada Sultan Melaka. Namun, Sultan tidak mengenang jasa-jasa Hang Tuah. Hang Jebat pula menuntut keadilan, mengamuk dan menyerang istana, sehinggakan Sultan menyesal dengan peristiwa itu. "Kalaulah Hang Tuah masih ada, sudah pasti kekacauan ini tidak akan berlaku," kata Sultan Melaka. Kemudian, Bendahara Melaka telah menjelaskan kepada Sultan bahawa Hang Tuah sebenarnya masih hidup. Selepas itu, Sultan memohon maaf kepada Hang Tuah dan menitahkannya agar membunuh Hang Jebat yang derhaka. Sebelum pertikaman di antara Hang Tuah dan Hang Jebat, Hang Tuah cuba memujuk Hang Jebat supaya memohon maaf kepada Sultan.

"Di daku tak ada erti menyesal Tuah. Aku berbuat atas keyakinanku, sebab Tuah atas nama persahabatan dan persaudaraan kita dan untuk apakah kesal itu bagiku kalau ia akan berbalik pula padamu kalau nanti kau akan membunuhku? Ya, barangkali benar kematianku ditanganmu, Apakah yang akan ku kesalkan pula, malah kalau nanti aku pula yang membunuhmu? pahlawan yang berbuat atas keyakinannya, percayalah Tuah, aku tak pernah menyesal," Kata Hang Jebat.

"Baiklah Hang jebat derhaka, aku tahu kau memang begitu dan untuk itu bukalah pintu supaya aku boleh naik dan bertikam denganmu," Jawab Hang Tuah.

"Engkau tidak berdosa memang ku akui Tuah, tapi taat setiamu itu menyebabkan aku tertawa dan begitu anehnya ku rasakan sekarang ketika orang yang menitahkan kematianmu kau junjung dengan segala kerelaan: seperti kau menjunjung titahnya sekarang untuk membunuh orang yang membela kematianmu," sahut Hang Jebat. 

"Aku datang tidak untuk mempertengkarkan siapa membela dan siapa menitahkan, aku datang untuk menentukan, menghukum, yang diwakilkan padaku untuk baginda menamatkan hidupmu yang telah derhaka," Hang Tuah melompat ke dalam. Kemudian, pertikaman telah tercetus di antara mereka berdua. Akhirnya, Hang Jebat rebah ditusuk Hang Tuah dengan keris Taming Sari.

Pada zaman sekarang, ajaran Agama Islam adalah tunggak dalam kehidupan, di mana Allah s.w.t adalah tempat kita memohon perlindungan dan menumpahkan taat setia kepada-Nya. Hang Jebat telah melangkaui zaman, sedangkan perjanjian itu hanyalah dibuat sebelum kedatangan Islam. Oleh itu, dalam hal ini untuk menentukan siapa benar dan siapa salah, biarlah kita menjawab dengan "Mata Hati" kita. Semoga kita mendapat pengajaran dan iktibar daripada kisah ini.


Rujukan :

A. Samad Ahmad (2008). Sulalatus Salatin Sejarah Melayu. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka.

Darmabakti (1990). Sejarah Melayu. Negeri Sembilan : Minerva Publications.

Mana Sikana (1984). Keris Laksamana Bentan. Selangor : Penertbit Fajar Bakti Sdn. Bhd.