Sunday 2 June 2013

Jaket Kebal Mat Salleh


Hari ini, pengkaji terus menelusuri Sejarah lampau. Kali ini, pengkaji menceritakan tentang Jaket Kebal Mat Salleh yang mempunyai Tulisan Jawi - Al-Quran. Mat Salleh atau Datu Paduka Mat Salleh bin Datu Balu merupakan Pahlawan Suluk - Bajau yang terkenal di Borneo pada masa lampau (Asreemoro, 2007). Usaha tentera British untuk memusnahkan Mat Salleh sering gagal kerana beliau dikatakan mempunyai kekuatan yang luar biasa, malah dikatakan Mat Salleh boleh bergerak di seluruh pelusuk Borneo dengan begitu pantas sekali sehingga amat menyukarkan tentera penjajah menjejakinya (Mohd Rosli Saludin, 2011). Datu Paduka Mat Salleh bukan sahaja memiliki kekuatan luaran malah yang paling utama ialah kekuatan dalaman sehinggalah ia amat disegani oleh para pengikutnya seperti Kamunta, Antanom, Mat Sator, Pak Musa dan Si Langkap (Ismail Abbas). Menurut Mohd Rosli Saludin (2011), di antara kelebihan pahlawan terbilang itu ialah beliau mempunyai Jaket Kebal yang mempunyai tulisan petikan daripada Al-Quran.

Jaket tersebut mempunyai dua lapisan. Lapisan luar diperbuat daripada kain tenunan yang dihiasi dengan tulisan jawi yang disulam dengan benang, dan dibahagian dalam tulisan (tersebut) terdapat kepingan kertas yang berfungsi untuk membentuk tulisan jawi tersebut. Lapisan kedua jaket tersebut diperbuat daripada kain jenis kapas (Mohd Rosli Saludin, 2011). Menurutnya lagi, jaket ini digunakan ketika berhadapan dengan penjajah Inggeris yang sering kali memburu beliau dan pengikutnya. Dipercayai juga terdapat beberapa lagi jenis jaket yang sama dipakai oleh para pengikutnya.

Datu Paduka Mat Salleh diisytiharkan mati ditembak dengan meriam di kuburnya di Kampung Tibabar, Tambunan. Ketika itu Pahlawan ini tidak memakai jaketnya ketika sedang mengambil air wuduk bagi persiapan untuk menunaikan solat (Mohd Rosli Saludin, 2011).

Pihak Muzium Sabah masih lagi dalam proses pengkajian kesahihan jaket ini, namun ianya sudah menjadi bahan pameran di Galeri Terowang Masa dan Galeri Tamadun Islam bagi memberi peluang kepada orang ramai untuk melihat sendiri jaket yang dianggap telah memberi mukjizat kepada Datu Paduka Mat Salleh. Satu jaket lagi yang didakwa pernah dipakai oleh Mat Salleh dipamerkan di Galeri Muzium Tamadun Islam  bagi menjelaskan kepada pelawat muzium tentang penglibatan Mat Salleh dan pengikutnya dalam pengembangan syiar Islam di Sabah.


Rujukan :

Mohd Rosli Saludin (2011). Etnik Suluk. Kuala Lumpur : BS Print (M) Sdn Bhd.

Asreemoro (2007). Tausug dan Kesultanan Sulu. Selangor : RNH Marketing Sdn. Bhd.



No comments:

Post a Comment