Saturday 17 August 2013

Tercetusnya Tiga Golongan Di Zaman Khulafa-Rasyidin

Hari ini, pengkaji meninjau kisah sejarah lampau pada zaman Khulafa-Rasyidin bagaimana tercetusnya aliran Syiah yang semakin menular dan membimbangkan pada hari ini. Menurut Hj. Dusuki Hj. Ahmad (1983), kisahnya bermula apabila berlakunya pembunuhan Khalifah Islam yang ke-3 iaitu Saidina Osman dan perlantikan Saidina Ali sebagai khalifah yang ke-4. Peristiwa pembunuhan ini telah menimbulkan perselisihan dan perang saudara yang menjadikan Saidina Ali sibuk menghalangnya daripada mengadakan sebarang sumbangan yang membina sepanjang waktu pemerintahannya selama lima tahun. Daerah Syam yang dikuasai oleh Muawiyah bin Abu Sufian yang menganggap bahawa perlantikan Saidina Ali itu tidak sah kerana Muawiyah menuduh Saidina Ali adalah antara mereka yang bertanggungjawab di atas pembunuhan Khalifah Osman. 

Sebaik sahaja Saidina Ali bin Abu Talib dilantik sebagai Khalifah yang ke-4, beliau terus bertindak  tegas memberhentikan semua gabenor yang dilantik oleh Khalifah Osman. Alasannya bahawa salah satu daripada sebab-sebab mengapa orang ramai berasa tidak puas hati dengan pemerintahan Khalifah Osman ialah langkahnya melantik sebilangan besar keluarganya sendiri memegang jawatan penting dalam pentadbirannya (Hj. Dusuki Hj. Ahmad, 1983). Tindakan Khalifah Ali ini menimbulkan perasaan tidak puas hati di kalangan setengah rakyat dan sahabat-sahabat, terutamanya bagi mereka yang ada hubungan keluarga dengan Khalifah Osman dan mereka yang masih bersimpati dengan tragedi pembunuhan itu. Tindakannya itu mengikut pandangannya sahaja tanpa meminta fikiran dan nasihat dari sahabat-sahabat yang terkemuka pada zamannya. Ini juga merupakan satu kesempatan yang baik bagi mereka yang sudah lama ada perbalahan peribadi dengan Khalifah Ali untuk bertindak.
  1. Penentangan Aisyah - Sahabat-sahabat seperti Talhah dan Al Zubir telah mengambil kesempatan di atas tindakan itu. Mereka berpindah ke Mekah dengan alasan hendak mengerjakan Haji. Di Mekah mereka membuat pakatan dengan Aisyah. Gerakan mereka ini mendapat sokongan ramai daripada orang Mekah, terutamanya Bani Umayyah. Pusat pergerakan mereka ini akhirnya berpindah ke Basrah, kemudian mempengaruhi pemimpin-pemimpin di sana antaranya Al-Munzir, Al-Ahnaf dan lain-lain lagi (Hj. Dusuki Hj. Ahmad, 1983).
  2. Penentangan Muawiyah - Salah seorang yang terlibat dengan tindakan Khalifah Ali ini ialah Muawiyah yang mempunyai kedudukan yang tinggi dan pengaruh yang kuat di Syam. Muawiyah menyusun satu barisan tentera yang besar dan melakukan penentangan yang hebat. Beliau melakukan demikian dengan alasan menuntut Khalifah Ali agar menjatuhkan hukuman ke atas penderhaka-penderhaka yang bertanggungjawab dengan pembunuhan Khalifah Osman  (Hj. Dusuki Hj. Ahmad, 1983). Khalifah Ali menolak tuntutan itu tetapi memberi kesanggupan akan menyiasat apabila umat Islam terlebih dahulu membulatkan taatsetia mereka kepada Khalifah. Muawiyah tidak puas hati dengan alasan yang diberi. Beliau mengambil keputusan menentang Khalifah Ali secara sungguh-sungguh dengan tuduhan Khalifah Ali berkomplot dengan pembunuhan Khalifah Osman dan mendakwa Khalifah Ali membiarkan pembunuh itu berada dalam pasukan tenteranya. Sebenarnya tuduhan Muawiyah itu hanya merupakan alasan secara langsung sahaja untuk dijadikan sebab baginya melakukan pemberontakan (Hj. Dusuki Hj. Ahmad, 1983).
Akibatnya, terjadilah Perang Saudara pada zaman pemerintahan Khalifah Ali iaitu Perang Jamal dan Perang Saffin. Juga terjadinya Perundingan Tahkim. Setelah berlakunya Rundingan Tahkim di mana Saidina Ali dan Muawiyah terlucut dari jawatan masing-masing, kemudian menyerahkan  sahaja soal  pemilihan Khalifah itu kepada orang ramai. Dengan berlakunya  perundingan tahkin ini jelas sekali bahawa tujuannya bukan kerana mencari penyelesaian dan kesefahaman tetapi ia  adalah helah Muawiyah untuk menghindarkan kekalahan mereka di tangan tentera Saidina Ali. Langkah ini merupakan  satu tamparan hebat buat kepada Saidina Ali. Peluang untuknya  mencapai kemenangan yang pasti di Medan perang telah luput. Langkah ini juga telah menyebabkan pecah-belah dan kekacauan dikalangan tenteranya (Hj. Dusuki Hj. Ahmad, 1983).
  1. Golongan Syiah - Golongan ini pro, kasih dan menyanjung Saidina Ali. Mereka mahu supaya Saidina Ali menjadi Khalifah sejak zaman Abu Bakar lagi. Mereka berpendapat bahawa Saidina Ali dan keturunannya sahaja yang berhak dan mewarisi takhta Khalifah. Mereka mengenali jawatan Khalifah dengan nama Imamah. Pada pandangan mereka, Saidina Ali adalah imam yang pertama kerana beliau adalah menantu Rasulullah yang menurunkan keturunan baginda. Kemudian jawatan imam itu turun kepada anaknya iaitu Imam Hassan dan Imam Hussien. Golongan Syiah ini sentiasa patuh kepada imamnya, bukan sahaja dari aspek politik, bahkan melibatkan aspek-aspek ibadat dan aqidah. Di samping itu, mereka juga mengembangkan satu dasar yang disebut taqiah yang bererti bahawa mereka diizin menyembunyikan watak mereka yang sebenar ketika berhadapan dengan ancaman musuh kerana sifat-sifat ganas dan kejam yang dilakukan oleh Kerajaan Umayyah terhadap mereka terutamanya keturunan Saidina Ali  (Hj. Dusuki Hj. Ahmad, 1983).
  2. Golongan Khawarij - Golongan ini pula mereka membenci dan marah kepada Saidina Ali, Muawiyah dan Amru Ibnul Al-As. Mereka bercita-cita dan berusaha hendak membunuh ketiga-tiga pemimpin yang terlibat dalam perundingan Tahkim. Dengan terbunuhnya mereka ini, maka satu susunan politik yang baharu bagi mewujudkan sebuah kerajaan islam yang kukuh dan gagah dapat dilaksanakan. Muawiyah telah kufur kepada Tuhan kerana menuntut jawatan khalifah kepada dirinya secara kekerasan. Saidina Ali pula terlibat dengan kekufuran itu kerana menerima tawaran  damai melalui perundingan Tahkim yang dianjurkan oleh Muawiyah. Dan Amru Ibnul Al-As pula kufur kerana merancang perundingan tersebut. Begitulah pendapat Golongan Khawarij ini. Pendapat mereka yang paling agresif sekali ialah mempertahankan kebaikan Islam hendak dilakukan walaupun secara kekerasan (Hj. Dusuki Hj. Ahmad, 1983).
  3. Golongan Ahli Sunnah / Sunni - Golongan ini pro kepada Muawiyah yang berpendapat bahawa jawatan Khalifah dalam Islam bukanlah suatu perkara yang diwarisi seperti harta pusaka. Khalifah hendaklah dipilih dari orang ramai yang cukup syaratnya dengan tidak membezakan antara seorang dengan yang lain. Mereka juga berpendapat  bahawa perselisihan dikalangan sahabat-sahabat adalah semata-mata suatu perkara ijtihad. Ertinya perselisihan ini tidaklah merupakan suatu perkara asasi yang merosakkan iman. Walau pun mereka bersimpati dengan tuntutan Golongan Syiah ini terhadap jawatan Khalifah, tetapi mereka menyokong orang yang berkuasa dan memusatkan minat kepada pelaksanaan ibadat dan pengajian agama. Golongan As-Sunnah ini berpegang kepada Sunnah (Hadith) dan Al-quran serta amalan-amalan Rasulullah s.a.w  (Hj. Dusuki Hj. Ahmad, 1983).
Begitulah serba sedikit ceritera yang empunya ceritera,


Rujukan :

Haji Dusuki Haji Ahmad (1983). Ikhtisar Perkembangan Islam. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka.



Friday 16 August 2013

Sultan Zainal Abidin : Di Terengganu Darul Iman

Hari ini, pengkaji berpatah balik ke Negeri Terengganu Daru Iman pula. Menurut Buku Sejarah Darul Iman, Sultan Zainal Abidin yang pertama mempunyai empat orang putera dengan isterinya Cik Puan Besar dari Patani, dan dua putera dari isteri anak Datuk Pulau Manis (Syeikh Abdul Malik bin Syeikh Abdullah) iaitu Ku Tana Mansur dan Ku Embong tetapi ada cerita menyatakan Ku Tana Mansur itu dari isteri baginda yang berkahwin di Kampung Langgar (boleh jadi dialah anak Tuk Pulau Manis). Menurut cerita, ketika putera bungsunya yang bernama Ku Tana Mansur lahir ke dunia, Datuk Pulau Manis telah mengazan dan qamat bagaimana yang disunatkan oleh agama, serta berdoa memohon diberkati putera itu dan khabarnya beliau telah meramalkan putera ini akan menjadi pemerintah yang masyhur.

Ku Tana Mansur dari kecil lagi telah menunjukkan beberapa sifat yang luar biasa kewibawaan dan keistemewaan kebolehannya, hingga ada cerita yang menyatakan baginda kebal tidak lut senjata. Apabila ayahandanya Sultan Zainal Abidin mangkat, ketiga-tiga putera yang sulung telah sepakat menolak takhta Seri Paduka ayahandanya dan bersetuju menyerahkan takhta kerajaan itu kepada adiknya Ku Tana Mansur yang pada  ketika itu baharu berusia 11 tahun. Dari semenjak itu, Ku Tana Mansur dikenali dengan nama Tun Dalam atau Tun Kechik juga dikatakan bergelar Yang Dipertuan Raja Kechik. Oleh kerana beliau masih kecil, maka pemerintahan negeri dijalankan oleh Tun Husain Bendahara, saudara sepupunya, dan menurut setengah riwayat dikatakan oleh Ku Tana Wangsa kekandanya.

Begitulah serba sedikit ceritera yang empunya ceritera.


Rujukan ;

_____, Buku Sejarah Terengganu Darul Iman.



Thursday 15 August 2013

Kota Samarkand : Uzbekistan

                                Amuk : Samarkand (Penyanyi asal: Bloodshed)

Hari ini, pengkaji menelusuri pula kisah sejarah di Kota Samarkand, Uzbekistan. Samarkand merupakan kota terbesar kedua di Uzbekistan dan selari dengan Kota Babylon atau kini dipanggil Rome. Menurut para arkeologi (ahli sejarawan), kota ini telah berkembang pada abad ke 14-15 dan dijadikan sebagai Ibu Kota Vast Empire oleh Panglima Amir Timur yang merupakan seorang penguasa terkenal pada ketika itu. Kebudayaan Samarkand terbentuk dan merupakan gabungan antara Iran, India, Mongol, sedikit budaya Eropah dan Timur.


                                           Kota Samarkand : Di Uzbekistan

Di Kota ini mempunyai keindahan daya tarik monumen yang arsitektur dengan keselarasan antara, madrasah dan masjid. Di kota ini juga bersemadinya The Blue Domes Gus Emir di mana Tenur dan cucunya Astronom Ulughbek pada abad ke-15. Selain daripada itu, makam dan muzium Abu Abdullah Bin Ismail Bin Ibrahim Al-Mughairah atau lebih dikenali sebagai Imam Bukhari yang dilahirkan pada tahun 184 hijrah di Bukhara, di mana beliau buta sewaktu masih kecil dan berkat doa orang tuanya, akhirnya beliau telah sembuh dan dapat melihat semula. Imam Bukhari selama hidupya telah mengumpulkan lebih dari 7275 hadith-hadith yang sahih daripada Rasulullah s.a.w dan kitab sahihnya ini telah diikitiraf sebagai kitab rujukan dan panduan untuk semua umat islam dalam ilmu hadith.

Begitulah serba sedikit ceritera yang empunya ceritera.


Rujukan :

Alia Wisata ___. Samarkand : Uzbekistan. Jakarta : Puri Sentra Niaga Sdn. Bhd.


Wednesday 14 August 2013

Ikrar Perwira : Semangat Perjuangan

Hari ini, marilah kita sama-sama menghayati lagu ini dari Bandi (Amuk) dengan lagunya 'Ikrar Perwira' yang dinyanyikan semula (diberi nafas baru). Penyanyi asalnya adalah Rusty Blade



Pedang yang usang
dibersihkan buat pameran
mempertahankan kemenangan

Kemuliaan untuk hadapi kesukaran
keberanian kepada satriawan muda
semangat perjuangan
oh semangat perjuangan

Ikrar perwira bersemadi di sudut nurani
jiwa satria semat di hati teguh pasti
semangat perjuangan
oh semangat perjuangan

Lagu : J. Yantzen
Lirik : Ainah Aman
Nyanyian : Bandi (Amuk)




Monday 12 August 2013

Singapura Dilanggar Todak : Budak Cerdik Dibunuh Raja

Pada hari ini pengkaji menyingkap kisah kezaliman Raja. Dengan titahnya,  maka orang-orang Besar telah membunuh seorang budak yang pintar. Menurut A. Samad Ahmad (2008) dalam karyanya, ada menceritakan peristiwa itu. 

Kisahnya bermula apabila Tuan Jana Khatib menggunakan ilmu sihirnya untuk memikat wanita. Kebetulan pula wanita itu adalah isteri Raja. Tuan Jana Khatib adalah seorang hamba Allah yang datang dari Pasai. Perbuatannya itu telah dilihat oleh Paduka Seri Maharaja. Berikut adalah kenyataan A. Samad Ahmad (2008) :

Setelah dilihat oleh Paduka Seri Maharaja perihal itu maka baginda pun terlalu murka; titah baginda, "Lihatlah kelakuan Tuan Jana Khatib, diketahuinya isteri kita ada dipintu maka ia menunjukkan ilmunya." Maka disuruh baginda bunuh; Tuan Jana Khatib pun dibawa orang akan dibunuh, hampir ujung negeri tempat orang membuat bikang; di sanalah ia ditikam orang.

Ada diceriterakan orang, badan Tuan Jana Khatib terhantar di Lengkawi berdasarkan pantun di bawah :

Telur itik dari Singora,
Pandan tersandar di batang tui,
Darahnya titik di Singapura,
Badan terhantar di Lengkawi.

Hatta tiada berapa lama peristiwa itu, maka datanglah todak menyerang Singapura, berlompatan lalu ke parit. Maka segala orang yang di pantai itu banyak mati dilompati todak itu; barang yang kena terus-menerus olehnya. Maka tiadalah dapat orang berdiri di pantai itu lagi. Maka gemparlah orang berlari-larian ke sana ke mari, semuanya mengatakan, "Todak datang menyerang kita". Maka Paduka Seri Maharaja pun segera naik gajah, lalu baginda ke luar diiringkan segala menteri hulubalang sida-sida bentara sekalian. Setelah datang ke pantai, maka baginda pun hairanlah melihat perihal todak itu (A. Samad Ahmad, 2008).

Setelah melihat ikan-ikan todak itu menyerang dan berlompatan, maka baginda menitahkan orang berkotakan betis. Namun, serangan todak itu seperti hujan dan semakin banyak orang yang mati. Maka pada ketika itu, datang seorang budak memberikan pandangan bahawa "Apa kata Tuanku jika kita berkotakan batang pisang alangkah baiknya ?". Apabila raja itu mendengar pandangan seorang budak, maka dikerahkah rakyatnya agar membuat benteng menggunakan batang pisang. Ikan-ikan todak yang menyerang di pantai itu, terpacak di batang pisang. Akhirnya, serangan todak itu berjaya dipatahkan.

Menurut A. Samad Ahmad (2008) lagi dalam karyanya itu :

Setelah itu maka raja pun kembalilah ke istana baginda. Maka sembah Orang-Orang Besar, "Tuanku, akan budak itu terlalu sekali besar akalnya. Sedang ia lagi budak sekian ada akalnya, jikalau sudah ia besar betapa lagi ? Lebih baik ia kita bunuh tuanku." Maka dengan titah raja, "Benarlah bagai kata tuan hamba sekalian itu, bunuhlah ia! Maka adalah budak itu, tatkala ia akan dibunuh, maka ia menanggungkan haknya atas negeri itu; lalu ia pun dibunuh oranglah.

Akibat daripada khianat itu, akhirnya Singapura dikalahkan oleh tentera Majapahit. Begitulah serba sedikit ceritera yang empunya ceritera.


Rujukan :

A. Samad Ahmad (2008). Sulalatus Salatin : Sejarah Melayu. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka.




Siti Aminah Kampung Tembioh, Johor

Pada hari ini, pengkaji menceritakan tentang peristiwa luar biasa yang berlaku di negeri Johor pada zaman lampau. Kampung Tembioh terletak di pinggir Sungai Kota Tinggi, tidak jauh dari bandar Kota Tinggi. Di seberang sungai itu terdapat Kota Makam Tauhid yang pernah menjadi pusat pemerintah negeri Johor pada tahun 1637, zaman pemerintahan Sultan Abdul Jalil Syah (1623-1677). Setelah kawasan itu diserang wabak penyakit pada tahun 1642 lalu ditinggalkan. Pada zaman pemerintah Bendahara Sultan Abdul Jalil Riayat Syah (1699-1718), kota tersebut dijadikan ibu negeri sebelum berpindah ke kawasan Panchor (Matlob dan Zam Ismail, 2002).

Di kampung tersebut pernah hidup seorang wanita jelita keturunan pembesar istana di antara zaman-zaman itu. Namanya Siti Aminah Tanah masyhur (Kampung Tembioh) atau Cik Siti Jalang. Perkataan 'jalang' tidak bermaksud beliau melakukan perbuatan curang, tetapi disebabkan dia bersuami banyak. Dikatakan Siti Aminah telah berkahwin dengan 99 orang lelaki (Matlob dan Zam Ismail, 2002).

Oleh kerana setiap lelaki yang berkahwin dengannya didapati mati pada keesokan harinya, beliau telah mengenakan syarat, setiap lelaki yang ingin mengahwininya hendaklah menyediakan sebuah keranda dan tiga kayu kain kafan. Walau pun begitu, masih ramai juga lelaki yang sedia mengorbankan nyawanya untuk berkahwin dengan Siti Aminah. Hanya lelaki yang ke-100, telah terselamat daripada mala petaka itu, dan mereka hidup bahagia sehingga ke akhir hayat (Matlob dan Zam Ismail, 2002).

Begitulah serba sedikit ceritera yang empunya ceritera.


Rujukan :

Matlob dan Zam Ismail (2002). Siti Aminah Kampung Tembioh : Imbasan Peristiwa Bersejarah Johor. Johor : Yayasan Warisan Johor Sdn. Bhd.