Sunday 12 July 2015

Sekilas Pandang V : Tok Janggut Kecewa Dengan Cukai Hasil


Tok Janggut atau nama sebenarnya Haji Mat Hassan bin Panglima Munas merupakan salah satu pahlawan Kelantan yang menentang penjajahan. Pada awal abad ke-20, iaitu pada zaman pemerintahan Sultan Muhammad IV, orang Melayu Kelantan terlibat secara langsung dan aktif dalam pertukangan dan perusahaan seperti padi, getah, tembaga, kelapa, tenunan dan sebagainya (Rogayah A.Hamid & Mariyam Salim, 2006). Tegas beliau lagi, kegiatan mereka ini dapat meningkatkan ekonomi keluarga khasnya dan negeri Kelantan amnya. Begitu juga dari segi pungutan hasil-hasil negeri dicatat dalam bentuk statistik untuk mengukur peningkatan ekonomi kerajaan Kelantan secara terperinci dari tahun ke tahun.

Dari aspek ekonomi, antara perkara yang kerap disentuh adalah tentang beberapa kejadian kebakaran yang telah berlaku sekitar tahun 1909 di Kota Bahru yang melibatkan lebih kurang 390 buah rumah dan kerugiannya sekitar $200 000, kebakaran di Tumpat, kebakaran di penambang, Kota Bahru yang melibatkan 25 buah rumah dengan anggaran kerugian sebanyak $8000, kebakaran kecil melibatkan 3 atau 4 buah rumah sahaja di Pasir Mas dan Kampung Laut pada tahun 1910 dan kebakaran di Kota Bahru pada tahun 1919 yang menyebabkan kerugian sebanyak $500 000.

Sejajar dengan itu, Tok Janggut dan pengikut-pengikutnya yang kecewa dengan sistem pungutan cukai hasil dan bertindak tidak mahu membayar hasil cukai tanahnya telah melakukan pemberontakan yakni menentang Sultan Muhammad IV. Beliau bersama-sama dengan Engku Besar [Raja Jeram] telah memberontak menentang pemerintah.

Akibatnya, beliau mati ditembak oleh askar-askar Melayu. Kisah ini diakhiri dengan penggantungan mayat Tok Janggut secara songsang selama tiga hari untuk dipertontonkan kepada rakyat jelata.


Rujukan :

Rogayah A. Hamid & Mariyam Salim. 2006. Kesultanan Melayu Kelantan. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka.