Friday 30 August 2013

Pemerintahan Yang Zalim Akan Menimbulkan Huru-Hara

Hari ini, pengkaji menelusuri kisah Panglima Nayan (Kedah) dan Hang Jebat (Melaka). Dalam buku Mansor Abdullah (1959), beliau menerangkan bagaimana watak Panglima Nayan yang berada di Kedah, telah menolong rakyat tempatan dengan cara mencuri harta benda orang-orang kaya dan membahagi-bahagikan kepada orang-orang miskin. Panglima Nayan telah menentang Golongan tuan tanah atau orang-orang kaya yang melakukan pemerasan ke atas Golongan Rakyat yang miskin dengan cara mengeksploitasi tenaga rakyat bawahan untuk mengusahakan tanah-tanah mereka tetapi sebaliknya keuntungan hanya dinikmati oleh Golongan Kaya sahaja. Maka Panglima Nayan telah mengambil tindakan tersebut bersama-sama rakyat tempatan. Di sini memang tidak dinafikan bahawa Panglima Nayan di gambarkan sebagai 'Bandit Sosial'. Namun demikian, kita harus ambil kira juga mengenai struktur pentadbiran pada masa itu. Pada masa itu, ternyata Golongan Kaya bertindak zalim kepada Golongan Miskin. Pengkaji sebenarnya ingin berbicara bahawa setiap pemerintahan yang zalim akan menimbulkan hura-hara. Mungkin negatif ataupun yang positif akan berlaku. Tindakan seperti yang dilakukan oleh Panglima Nayan walaupun bertentangan dengan ajaran Islam, beliau sanggup melakukannya kerana menentang kezaliman.

Contoh yang lain pula, pada zaman pemerintahan Kesultanan Melayu Melaka di bawah tadbir Sultan Mahmud Syah yang mana membawa kehancuran Kerajaan Melaka. Pengkaji melihat, ia disebabkan berlakunya pemerintahan yang zalim. Misalnya, Sultan Mahmud mengerahkan rakyatnya agar menyerahkan rantai, kalung, cincin dan subang kepada Temenggung dengan tujuan membina jambatan emas dari Melaka ke Gunung Ledang. Di samping itu, Sultan Mahmud juga ingin menunaikan syarat-syarat Puteri Gunung Ledang jika baginda mahu mengahwini Puteri Gunung Ledang.

Selain daripada itu, berlakunya rasuah dan pemfitnaan terhadap Hang Tuah. Tanpa usul periksa, maka Hang Tuah telah dihukum bunuh oleh Sultan. Hal ini, muncul Hang Jebat bangkit menentang Sultan. 'Raja Adil Raja Disembah, Raja Zalim Raja disanggah'. Hang Jebat telah bangkit untuk menentang kezaliman Raja biarpun beliau tersungkur di tangan Hang Tuah dan megamuk diluar istana setelah ditinggalkan oleh Hang Tuah selepas Hang Tuah berjaya menikamnya.

Bukan itu sahaja, Sultan Mahmud Syah juga telah membunuh keluarga Tun Mutahir kerana Sultan Mahmud ingin mengahwini Tun Fatimah walaupun pada masa itu Tun Fatimah telah bertunang dengan Tun Ali. Sultan Mahmud Syah telah membunuh Tun Ali dan keluarga Tun Fatimah (Tun Mutahir) kecuali Tun Fatimah. Hal ini, telah memperlihatkan kepada kita bagaimana sesuatu kezaliman telah berlaku pada ketika itu.

Sebenarnya, pengkaji ingin membawa pembaca menyelami keadaan ini di mana jika sesebuah kerajaan yang pemerintahnya zalim pasti akan timbul kekacauan dan huru-hara. Hal inilah yang berlaku kepada Panglima Nayan dan Hang Jebat. Pengkaji bukannya pula menyokong tindakan Panglima Nayan dan Hang Jebat itu, tetapi tindakan itu disebabkan oleh pemerintahan yang zalim. 

Oleh itu, kita sebagai manusia tidak dapat menghakimi mereka dengan mata kasar termasuk pengkaji sendiri. Inilah yang dinamakan Pengadilan Moral dalam sejarah. Mungkin sesetengah ahli sejarah mengenakan hukuman terhadap Panglima Nayan kerana mencuri dan merompak harta orang-orang kaya tersebut adalah bercanggah dengan Agama Islam. Begitu juga dengan Hang Jebat di mana tindakannya itu telah membunuh rakyat Melaka yang tidak berdosa. Jika itu diambil kira, pemerintahan yang zalim juga adalah bercanggah dengan Agama Islam. Tindakan Panglima Nayan dan Hang Jebat itu tercetus akibat daripada pemerintahan yang zalim.

Dalam ajaran Islam, ada disebutkan bahawa jika seseorang pemimpin yang menerajui sesebuah negara itu mengamalkan (kuku besi) atau zalim, rakyat perlulah bersabar dan menyerahkannya sahaja kepada Allah s.w.t. Firman Allah s.w.t yang bermaksud :

"Tidak ada sesuatu musibah pun yang menimpa seseorang kecuali dengan izin Allah s.w.t (Surah Al-Thagabun 64:11)

Jalan terbaik untuk mengatasi masalah ini, rakyat hendaklah bersabar dan menyerahkannya sahaja kepada Allah s.w.t. Namun, berapa ramaikah manusia diluar sana yang mampu bersabar apabila sesuatu pemimpin mereka mengamalkan corak pemerintahan kuku besi dan autokratik ? Pasti akan timbul penentangan dan rasa tidak puas hati segelintir rakyat. Jika itu berlaku, maka huru-hara dan kekacauan dalam negara akan terjadi. 

Wallah Hu Alam Bisawab.


Rujukan :

Mansor Abdullah (1959). Panglima Nayan. Kuala Lumpur : Sinaran Bros Sdn. Bhd.



Apa Erti Sebuah Kemerdekaan ?



Tanggal 31 Ogos, maka genaplah negara kita merdeka selama 56 tahun. Namun, ramai yang belum memahami erti sebenar sebuah kemerdekaan. Erti kemerdekaan menurut pandangan pengkaji ialah merdeka dari kezaliman, merdeka dari kesempitan dunia kepada keluasan akhirat dan bebas dari hamba manusia kepada hamba Allah. 

Pengkaji hanya menumpukan kepada merdeka dari kezaliman. Jika diimbau semula pada zaman Rasulullah s.a.w. dahulu, baginda hidup di Makkah yang dikuasai oleh masyarakat Arab Jahilliah lalu baginda bangkit memperjuangkan agama Islam untuk memerdekakan Makkah dan Madinah dari cengkaman masyarakat Arab jahilliah. Perjuangan inilah yang dikatakan oleh pengkaji merdeka dari kezaliman.

Di Tanah Melayu, nama-nama seperti Mat Kilau, Tok Janggut dan Haji Abdul Rahman Limbong merupakan tokoh-tokoh pejuang yang menentang penjajahan. Di Borneo nama-nama seperti Mat Salleh, Rentap, Sharif Usman, Antanom, Kamunta, Pak Musa dan lain-lain juga merupakan tokoh yang menentang penjajah di Borneo.

Selain daripada itu, pada zaman penjajahan Sepanyol di Selatan Filipina. Orang Sulu-Mindanao bangkit menentang penjajahan Sepanyol yang ingin mengkristiankan seluruh penduduk Filipina. Inilah misi sebenar penjajahan Sepanyol di Filipina. Seperti yang kita sedia maklum, sebelum kedatangan sepanyol ke Filipina, banyak ahli-ahli sufi yang datang ke Filipina untuk berdakwah dan seterusnya mengasaskan Kesultanan Sulu dan Mindanao.

Apabila Sepanyol berjaya menduduki Bandar Manila, penjajah berazam untuk menakluki Pulau Mindanao dan Sulu di Selatan Filipina. Hal ini, Orang Islam di Selatan Filipina tertindas dan dizalimi oleh penjajah Sepanyol. Faktor inilah mereka bangkit untuk memperjuangkan tanah air mereka dari penjajahan. Malah, perjuangan mereka ini adalah jihad semata-mata kerana Allah s.w.t. 

Sebelum penentangan mereka ini dilakukan, banyak tohmahan dari Sepanyol yang mana penjajah telah melabel atau membuat stigma terhadap Orang Islam di Selatan Filipina iaitu Orang Islam di Selatan Filipina adalah moor dalam bahasa Sepanyol. Moor bermaksud manusia biadap, jahat, dan lanun. Penjajah Sepanyol juga menyamakan Orang Islam di Selatan Filipina dengan Andalusia di Sepanyol. Penjajah bertindak kejam, zalim dan memaksa mereka untuk mengikuti ajaran Kristian. Stigma bermaksud sifat atau perbuatan yang  menjatuhkan maruah, kecelaan dan keaiban (Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka, 2002)

Malah, di bumi Palestine juga tidak kurang hebatnya. Mereka juga dijajah dan dizalimi oleh Israel-Yahudi dan sekutunya Amerika Syarikat. Hingga ke hari ini, mereka terus ditekan dan banyak pembunuhan berlaku di negara mereka misalnya di Tebing Barat dan Setla. Pertumpahan darah ini seringkali kita dengar dan tontoni di televisyen. Perjuangan inilah yang dikatakan oleh pengkaji Merdeka dari kezaliman dan memperjuangkan Agama Islam. Begitu juga dengan perjuangan di Kashmir dan di Selatan Thailand.

Wallah Hu Alam Bisawab.


Rujukan :

Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka (2002).