Friday 4 October 2013

Tanpa Usul Periksa : Mahsuri Di Hukum Bunuh

Hari ini, pengkaji menelusuri sejarah di negeri Kedah iaitu kisah Mahsuri. Seperti yang kita sedia maklum, kisah Mahsuri memang terkenal dalam sejarah negeri Kedah. Peristiwa pembunuhan Mahsuri ini berlaku semasa pemerintahan Sultan Muhammad Jiwa Zainal Azilin Muazam Shah II. Sultan Muhammad Jiwa merupakan sultan Kedah yang ke-19 yang memerintah dari tahun 1710-1778 (Zurina Ismail, 1987).

Menurut Zurina Ismail (1978), Mahsuri adalah anak kepada Pandak Maya, seorang penduduk kampung yang miskin. Isterinya bernama Mak Endang Alang. Tambahnya lagi, satu kejadian aneh telah berlaku ke atas keluarga ini sebelum kelahiran Mahsuri. Kehidupan Pandak Maya tiba-tiba bertukar menjadi kaya-raya. Kekayaan yang diperolehinya itu adalah hasil daripada jualan sarang burung layang-layang yang dijumpainya dalam sebuah gua.

Setelah kelahiran Mahsuri dan Mahsuri mula meningkat dewasa, kecantikan Mahsuri menjadi mahsyur di seluruh Pulau Langkawi. Ramai orang lelaki yang ingin memiliki Mahsuri, baik yang belum berkahwin mahupun yang sudah berkahwin. Mereka benar-benar terpegun dengan kecantikan Mahsuri. Ini menyebabkan ramai anak gadis dan isteri orang cemburu dengan Mahsuri. Salah seorang daripada mereka ialah Mahura. Beliau adalah isteri kepada Datuk Seri Kerma Jaya. Mahura sangat marah apabila Datuk Seri Kerma Jaya menyatakan hasratnya ingin mengahwini Mahsuri untuk dijadikan isteri kedua. Sebagai seorang isteri, Mahura tidak mahu di madukan. Tidaklah jadi Datuk Seri Kerma Jaya mengahwini Mahsuri, sebaliknya mereka berdua ingin mengambil Mahsuri untuk dijadikan menantu. Dengan itu, Mahsuri pun dikahwinkan dengan Mat Deris anak lelaki mereka (Zurina Ismail, 1978).

Malangnya, walaupun telah bersuami dan mempunyai seorang anak lelaki (Mat Arus), Mahsuri telah difitnah oleh Mahura (Emak mentua sendiri) yang menuduh Mahsuri berlaku curang dengan Deramang. Sebenarnya, Mahura berasa iri hati dan cemburu kerana ramai orang yang datang ke rumah Mahsuri untuk mendengar Deramang bersyair dan membaca hikayat. Deramang merupakan seorang miskin dan pandai bersyair. Oleh kerana kepandaiannya dalam bersyair, Mahsuri telah menugaskan Deramang untuk menghiburkan hatinya lantaran menunggu kepulangan suaminya yang berniaga ke Siam (Zurina Ismail, 1978).

Tanpa usul periksa, Ketua Pemerintah Langkawi telah menjatuhkan hukum bunuh ke atas Mahsuri. Hukumannya ialah ditikam tombak hingga mati. Hairannya semua tombak yang digunakan tidak dapat menembusi tubuh Mahsuri. Akhirnya, Mahsuri memberitahu mereka hanya tombaknya sahaja yang boleh menembusi badannya. Setelah ditikam menggunakan tombaknya, darah putih telah keluar dari jasadnya dan bukannya darah merah. Sebelum beliau ditikam, Mahsuri telah bersumpah bahawa Pulau Langkawi tidak akan aman sehingga genap 7 keturunan (Zurina Ismail, 1978).

Akibat daripada pembunuhan itu, Pulau Langkawi telah diserang oleh Siam dan habis semua jelapang padi di Padang Masirat dibakar. Datuk Kerma Jaya dan Isterinya Mahura turut terbunuh. Negeri Kedah pada masa itu huru-hara. Berlakunya perebutan kuasa di antara adinda Sultan Muhammad Jiwa dengan Sultan Muhammad Jiwa. Sultan Muhammad Jiwa meminta bantuan daripada Raja Bugis (Lima bersaudara) manakala adindanya telah meminta bantuan dari Kerajaan Siak yang dipimpin oleh Raja Kecil. Dalam peperangan itu, Sultan Muhammad Jiwa telah berjaya menewaskan adindanya (Zurina Ismail, 1978).

Begitulah serba sedikit ceritera yang empunya ceritera.


Rujukan :

Zurina Ismail (1978). Kedah Darul Aman : Siri Sejarah Ringkas Tanahair. Selangor : Pelanduk Publication (M) Sdn. Bhd.




Socrates Di Fitnah Dan Dihukum Bunuh Oleh Algojo Athens

Hari ini, pengkaji menyingkap sejarah Athens yang dulunya gah tetapi dengan pemfitnaan terhadap Socrates akhirnya Athens mengalami kejatuhan selepas Socrates dihukum mati. Kisahnya bermula pada tahun 399 SM, Socrates diadili di mahkamah Athens atas tuduhan menyebarkan ajaran ketuhanan baharu yang bertentangan dengan ajaran dewa-dewa Athens (Muhammad Alexander, 2013). Tuduhan itu mendakwa bahawa Socrates adalah ejen provokasi yang merosakkan jiwa anak-anak muda. Beliau tidak mempercayai dewa-dewa yang dipercayai oleh warga kebanyakan. Sebaliknya, mempercayai dewa (daimonia) yang lain.

Socrates tampil berpidato membela diri di hadapan mahkamah Athens. Dalam pembelaan beliau, Socrates dengan yakin menunjukkan kesalahan-kesalahan penuduhnya, iaitu Miletus. Socrates mampu mematahkan setiap hujah Miletus. Socrates berjaya membuka rahsia fitnah-fitnah yang ditujukan kepada beliau. Akan tetapi, akibat daripada plot jahat yang dirancang sejak awal oleh Miletus dan sekutunya, Anytus, serta barisan orang yang sakit hati kepada Socrates, maka kesudahan perbicaraan itu adalah hukuman mati ke atas Socrates (Muhammad Alexander, 2013).

Keputusan hukuman mati yang dijatuhkan ke atas Socrates melalui dua tahap undian. Tahap pertama, suara-suara yang setuju menjatuhkan hukuman mati kepada Socrates adalah seramai 280 orang. Socrates kemudian membela diri lagi. Kemudian, sekali lagi undian dibuat. Dalam undian kali kedua ini, majoriti juri yang menjatuhkan hukuman mati ke atas Socrates berjumlah 360 orang (meningkat 80 orang). Akhirnya, tepat pada musim bunga tahun 399 SM, Socrates meninggal dunia dengan dihukum minum racun oleh algojo Athens (Muhammad Alexander, 2013).

Kematian Socrates diikuti dengan kehancuran armada laut Athens ketika melawan pakatan Sparta dan Corinthia. Kekalahan ini berlaku 12 tahun selepas Socrates dihukum mati oleh rejim demokrasi Athens. Semua orang yang terlibat dalam pembunuhan Socrates mendapat balasan setimpal, seperti mana yang pernah diramal Socrates sendiri ketika beliau membela diri di hadapan hakim Athens (Muhammad Alexander, 2013).

"Aku memperingatkan kamu semua, para hakim pembunuhku. Aku bersumpah, sejurus selepas aku dihukum mati, maka akan berlaku pembalasan ke atas kamu semua yang jauh lebih kejam berbanding hukuman yang kalian berikan kepadaku." (Plato, Apology, 39c).


Rujukan :

Muhammad Alexander (2013). Menyingkap Rahsia Ahli Falsafah Agung Yunani : Luqmanul Hakim Adalah Socrates Berkulit Hitam. Kuala Lumpur : BS Print Sdn. Bhd.