Saturday 25 April 2015

Rasuah : Ada 6 Tipologi Menurut Syed Hussien Al Atas

Rasuah! Sebut saja perkataan tersebut, semua orang tahu mengenainya. Bagi pengkaji, pengkaji tidak perlu lagi menerangkan secara terperinci mengenainya. Bagaimanapun, menurut Syed Hussien Al Atas (1995), ada 6 tipologi maksud rasuah. Berikut adalah 6 tipologi yang dimaksudkan oleh Syed Hussien Al Atas :
  1. Rasuah Transaktif : rasuah transaktif bermaksud perbuatan kesepakatan timbal balik antara pihak pemberi dan penerima demi keuntungan kedua belah pihak dengan aktif diusahakan tercapainya keuntungan ini oleh kedua-duanya.
  2. Rasuah Memeras : erti rasuah jenis ini, pihak pemberi dipaksa untuk menyuap guna bagi mencegah kerugian yang mengancam dirinya, kepentingannya atau orang-orang dan hal-hal yang dihargainya. Pihak pemberi dipaksa untuk melakukan rasuah bagi mengelakkan sebarang kerugian yang bakal menimpa dirinya atau kepentingannya.
  3. Rasuah Investif : rasuah jenis ini pula bermaksud satu pemberian barang atau jasa tanpa ada pertalian langsung dengan keuntungan tertentu, selain keuntungan yang dibayangkan akan diperoleh di masa akan datang.
  4. Rasuah Perkerabatan : rasuah jenis ini membawa maksud penunjukkan yang tidak sah terhadap teman atau sanak saudara untuk memegang jawatan dalam pemerintahan, atau tindakan yang memberikan perlakuan yang mengutamakan dalam bentuk wang atau bentuk-bentuk lain kepada mereka secara bertentangan dengan norma dan peraturan yang berlaku. 
  5. Rasuah Defensif : rasuah defensif bermaksud perilaku korban rasuah dengan pemerasan dalam rangka mempertahankan diri atau rasuah yang dilakukan oleh seseorang untuk mempertahankan dirinya.
  6. Rasuah Autogenik : rasuah autogenik pula dilakukan oleh seorang diri atau secara individu. Salah satu bentuk rasuah yang tidak melibatkan orang lain dan pelakunya hanya seorang sahaja.

Rujukan :

Syed Hussien Al Atas (1995). Rasuah : Sifat, Sebab dan Fungsinya. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka.