Friday 15 November 2013

Roh Dibawa Naik Ke Langit

Selepas malaikat maut mencabut roh, malaikat maut akan membawa roh naik ke langit. Jika roh itu milik orang yang beriman, ia akan dibenarkan memasuki langit untuk bertemu dengan Allah s.w.t dalam keadaan yang redha dan diredhai. Kemudian roh itu akan dikembalikan ke bumi kepada jasadnya untuk menghadapi soalan di dalam kubur (Ahmad Adnan Fadzil, 2012). Rasulullah s.a.w telah bersabda yang bermaksud :

[Setelah dicabut roh orang beriman itu], malaikat-malaikat akan membawa roh yang berbau wangi itu naik ke langit. Maka setiap kali berjumpa dengan sekumpulan malaikat, mereka akan bertanya, Siapakah roh yang amat baik keadaannya ini ? Malaikat-malaikat yang membawa roh itu menjawab, Roh si pulan bin pulan. Dengan menyebut nama yang paling baik yang diberikan kepadanya di atas muka dunia. Sehinggalah sampai di langit dunia, para malaikat yang membawanya itu meminta supaya dibukakan pintu langit untuknya, lalu dibukakan untuk mereka (melaluinya). Di setiap pintu langit, roh orang mukmin itu diiringi oleh malaikat penjaga langit untuk naik ke langit berikutnya hinggalah ia sampai ke langit ketujuh. Maka datanglah firman Allah kepadanya, tulislah ketentuan hambaku di dalam Illiyin (tempat orang-orang mulia di dalam syurga) dan bawalah ia kembali ke bumi kepada tubuhnya kerana sesungguhnya darinya Aku menjadikan mereka, kepadanyalah Aku akan kembalikan mereka dan daripadanya juga Aku akan mengeluarkan mereka sekali lagi (apabila berlakunya kiamat). Maka dikembalikanlah roh itu kepada jasadnya. [Riwayat Ahmad].

Adapun roh orang kafir, munafik, zalim dan orang yang tidak beriman, tidak akan dibukakan kepadanya pintu langit. Oleh yang demikian, roh itu akan dikembalikan kepada jasadnya dengan penuh penghinaan. Allah s.w.t telah berfirman yang bermaksud :

Sesungguhnya orang-orang yang mendustakan ayat-ayat kami dan yang angkuh daripada mematuhinya, tidak sekali-kali akan dibukakan bagi mereka pintu-pintu langit, dan mereka tidak akan masuk Syurga sehingga unta masuk melalui lubang jarum. Demikianlah kami membalas orang-orang yang melakukan kesalahan. Disediakan untuk mereka hamparan-hamparan daripada Api Neraka, dan di atas mereka lapisan-lapisan penutup (daripada api neraka). Dan demikianlah kami membalas orang-orang yang zalim disebabkan keingkarannya. [Surah al-Araf ayat 7:40].

Amru bin Dinar menceritakan : Tidak ada satu mayat yang mati melainkan rohnya dipegang oleh malaikat sedang ia melihat akan jasadnya bagaimana dimandikan, bagaimana dikafankan, bagaimana dibawa ke kubur dan bagaimana jasadnya duduk di dalam kubur.

Menurut Abu Al-Hassan al-Qabisi pula : Apabila mayat dimandikan dan dikapankan, rohnya dikembalikan dan diletakkan atas kain kapan dan jasadnya. Apabila diusung ke perkuburan, ia mendengar ucapan orang ramai siapa yang mengucapkan yang baik tentangnya dan siapa yang mengucapkan yang buruk tentangnya. Apabila sampai di kubur, dikembalikan semula roh kepada jasad dan mayat itu diletakkan dalam keadaan mempunyai roh dan jasad. Kemudian datang kepadanya dua malaikat penyoal. Rasulullah s.a.w telah bersabda yang bermaksud :

Apabila diletakkan jenazah (di dalam keranda) dan para lelaki mengusungnya di atas bahu-bahu mereka (ke perkuburan), jika jenazah itu seorang yang soleh, maka ia akan berkata, bawalah aku segera! bawalah aku segera!. Namun jika jenazah itu tidak soleh, maka ia akan berkata, alangkah celakanya! Ke mana mereka ingin membawa jasadku ? Suaranya dapat didengari oleh sekalian makhluk kecuali manusia dan jika manusia turut mendengarnya nescaya akan pengsanlah mereka. [Riwayat al-Bukhari].


Rujukan :

Ahmad Adnan Fadzil (2012). Rahsia Kematian, Alam Barzakh Dan Roh. Kuala Lumpur : Telaga Biru Sdn. Bhd.



Wednesday 13 November 2013

Pulau Leyte dan Pulau Samar Filipina Di Landa Taufan Haiyan

Hari ini, pengkaji menoleh sejenak ke Filipina yang di landa Taufan Haiyan. Sebelum pengkaji membicarakan tajuk di atas, pengkaji cuba menyingkap sejarah Pulau Leyte dan Pulau Samar. Negara Filipina terdiri daripada rangkaian ribuan pulau yang besar dan kecil (sekitar 7.100 pulau). Tetapi, dari semua pulau tersebut hanya sekitar 880 yang berpenduduk (Mila Saraswati & Ida Widaningsih, 2006). Tambahnya lagi, pulau-pulau terbesar di antaranya adalah Pulau Mindanao, Pulau Palawan, Pulau Ilocos, Pulau Luzon, Pulau Leyte, Pulau Samar, Pulau Negros, Pulau Panay, Pulau Mindoro, Pulau Cebu dan Pulau Bohol.

Pulau Leyte merupakan salah satu pulau terbesar di bahagian timur Filipina yang termasuk dalam Wilayah Visaya. Keluasannya dianggarkan 7.214 km persegi dan jumlah penduduknya dianggarkan 1.95 juta orang. Etnik yang mendiami pulau ini pula kebanyakannya adalah kaum Visaya, Waray, Cebuano dan Tagalog. Manakala Pulau Samar merupakan pulau ketiga terbesar selepas Pulau Luzon dan Pulau Mindanao. Pulau ini termasuk juga di wilayah Visaya.

Baru-baru ini, kedua-dua pulau berkenaan telah dilanda Taufan Haiyan. Menurut Laporan AFP : 

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) hari ini memberi amaran agar pengiraan angka kematian akibat Taufan Haiyan yang melanda Filipina segera dilakukan selepas kira-kira 10,000 orang dikhuatiri maut hanya di Bandar Tacloban saja. Pegawai kemanusiaan tertinggi PBB berkata, PBB menjangkakan jumlah kematian itu lebih tinggi lagi apabila pengiraan tepat dilakukan selain perlunya bekalan air minuman bersih dan makanan untuk disampaikan segera kepada mangsa yang terselamat. Pengarah Operasi Kemanusiaan PBB, John Ging, berkata lebih 660,000 meninggalkan kediaman kerana Taufan Haiyan dan PBB akan menyalurkan bantuan kemanusiaan antarabangsa yang diperlukan kepada mangsa mulai hari ini. “Keadaan kemusnahan adalah teruk sekali dan justeru itu kita perlu menggerakan jentera bantuan dalam skala yang besar," katanya yang menyifatkan reaksi kerajaan Filipina terhadap bencana itu amat mengagumkan setakat ini. - AFP


Rujukan :

Mila Saraswati & Ida Widaningsih (2006). Be Smart Ilmu Pengetahuan Sosial.________________.

Berita Harian - AFP



Di Ambang Maut : Malaikat Maut Dan Sakaratul Maut

Malaikat maut adalah malaikat yang ditugaskan oleh Allah s.w.t untuk mencabut nyawa manusia apabila sampai ajal kematiannya (Ahmad Adnan Fadzil, 2012). Firman Allah s.w.t yang bermaksud :

Katakanlah (wahai Muhammad), Nyawa kamu akan diambil oleh malaikat maut yang ditugaskan berbuat demikian ketika habis ajal kamu, kemudian kamu akan dikembalikan kepada Tuhan kamu (untuk menerima balasan). [Surah as-Sajadah ayat 32:11].

Malaikat maut ini dikenali juga dengan nama Izrail yang bermaksud 'abdul jabbar' (hamba kepada Tuhan Yang Maha Memaksa). Malaikat maut atau Izrail ini dalam sebahagian kitab digambarkan sebagai malaikat yang besar, menggerunkan dan sungguh menakutkan. Malaikat maut tidak hanya ditugaskan mencabut nyawa manusia, tetapi juga makhluk-makhluk Allah yang lain.

Manakala sakaratul maut pula bermaksud kepayahan dan kesengsaraan yang mencengkam manusia dan menguasai akalnya ketika ia hampir mati (Ahmad Adnan Fadzil, 2012). Kepayahan ini akan dirasai oleh semua manusia sama ada mukmin atau bukan beriman (kafir) serta para nabi dan rasul. Dalam riwayat at-Tarmizi, ada menerangkan bahawa Rasulullah s.a.w ketika baginda sakit lalu baginda berdoa yang bermaksud :

Ya Allah, bantulah aku untuk berhadapan dengan sakaratul maut.

Melihat kesakitan yang dihadapi oleh Rasulullah s.a.w. pada saat hampir kematiannya, maka Sayyidatina Aisyah berkata :

Aku tidak berasa iri hati kepada seseorang dengan kematian yang mudah, setelah apa yang aku lihat beratnya kematian Rasulullah s.a.w. [Riwayat at-Tarmizi].

Menurut Imam Ibnu al-Arabi : Sesungguhnya Allah s.w.t dengan kuasa dan kebijaksanaan-Nya boleh memudahkan keluarnya roh dan boleh menyukarkannya bergantung kepada keadaan hamba-Nya. Allah s.w.t menyukarkan keluarnya roh daripada hamba-Nya kerana adakala ia sebagai satu azab dan itu adalah bagi orang kafir. Ada kalanya sebagai Kafarah [penebus dosa] dan itu adalah bagi orang mukmin yang berdosa. Ada kalanya juga untuk mengangkat darjat dan menambahkan kebaikan. Itu adalah bagi para wali. Dan ada kalanya sebagai hujah kepada makhluk dan juga sebagai contoh serta qudwah, sebagaimana kesusahan yang dihadapi oleh Rasulullah s.a.w.

Bersedia atau tidak, Bolos Saja Dinding itu [Zizan Razak] gurau je ...
Bersedia atau tidak, Kematian pasti akan datang [Ahmad Adnan Fadzil]

Begitulah serba sedikit ceritera yang empunya ceritera.


Rujukan :

Ahmad Adnan Fadzil (2012). Rahsia Kematian, Alam Barzakh dan Roh. Kuala Lumpur : Telaga Biru sdn. Bhd.



Tuesday 12 November 2013

Golongan dan Orang-Orang Yang Dijanjikan Nikmat Dalam Kubur

Menurut Ahmad Adnan Fadzil (2012), golongan yang tidak disoal oleh Malaikat Munkar dan Nakir di dalam kubur adalah :
  1. Golongan para Nabi dan Rasul
  2. Para as-Siddiqin 
  3. Orang Gila
  4. Kanak-kanak kecil yang meninggal sebelum baligh
Selain daripada di atas, orang-orang yang mendapat nikmat di alam kubur ialah :

(a) Orang Yang Mati Pada Malam Jumaat - Ini selaras dengan sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud :

Tidak ada seorang muslim yang mati pada hari Jumaat atau malam Jumaat, melainkan Allah s.w.t akan menyelamatkannya daripada fitnah atau ujian kubur.

(b) Orang Yang Mati Syahid - Ini selaras dengan sabda Rasulullah s.a.w mafhumnya :

Bagi orang yang mati syahid ada enam kelebihan di sisi Allah s.w.t iaitu akan diampunkan dosanya bermula daripada pancutan pertama darahnya, diperlihatkan tempat duduknya di dalam syurga, dilindungi daripada azab kubur, diselamatkan daripada kegemparan yang besar, dipakaikan di kepalanya mahkota kemuliaan, dikahwinkan dengan 72 bidadari dan diberi keizinan untuk memberi syafaat kepada 70 orang ahli keluarganya.

(c) Orang Yang Mati Kerana Sakit Perut - Ini selaras dengan sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud :

Sesiapa mati kerana penyakit di dalam perutnya, ia tidak akan di azab di dalam kuburnya.

(d) Orang Yang Mati Kerana Musibah - Ini selaras dengan sabda Rasulullah s.a.w mafhumnya :

Orang-orang yang mati syahid itu ada enam selain berperang ke jalan Allah iaitu seorang yang mati kerana taun, seorang yang mati kerana lemas, seorang yang mati kerana sakit perut, seorang yang mati kerana terbakar, seorang yang mati tertimpa runtuhan dan wanita yang mati kerana melahirkan anak.

(e) Orang Yang Mati Kerana Membela Hak - Ini selaras dengan sabda Rasulullah s.a.w mafhumnya :

Sesiapa yang terbunuh kerana mempertahankan hartanya dia adalah syahid, sesiapa yang terbunuh kerana mempertahankan agamanya dia adalah syahid, sesiapa yang terbunuh kerana mempertahankan darahnya (nyawanya) dia adalah syahid dan sesiapa yang terbunuh kerana mempertahankan keluarganya dia adalah syahid.

Begitulah serba sedikit ceritera yang empunya ceritera.


Rujukan :

Ahmad Adnan Fadzil (2012). Rahsia Kematian, Alam Barzakh dan Roh. Kuala Lumpur : Telaga Biru Sdn. Bhd.



Monday 11 November 2013

Nabi Ibrahim a.s Berdebat Dengan Hakim dan Raja Namrud

Nabi Ibrahim a.s merupakan anak kepada Azar Bin Sam Bin Nuh. Nama sebenar ayahnya ialah Tarikh Bin Sam. Ayahnya terkenal dengan gelaran Azar kerana pekerjaannya mengukir patung berhala yang dijadikan penyembahan mereka (Muhammad Abdul Wahab, 2011).

Menurut Muhammad Abdul Wahab (2011) lagi, Nabi Ibrahim a.s dilahirkan pada tahun 2295 sebelum masihi, dinegeri Mausul, Palestin pada zaman Raja Namrud. Beliau seorang Rasul yang diutuskan oleh Allah s.w.t kepada satu kaum di negara Iraq pada ketika itu dikuasai oleh Raja Namrud. Tambahnya lagi, Raja Namrud mengamalkan pemerintahan tanpa sebarang kecundang sebagaimana situasinya ketika itu. Raja Namrud seorang raja yang zalim dan mengaku dirinya sebagai Tuhan. Kaum Raja Namrud mempercayai dan mengamalkan penyembahan berhala. Nabi Ibrahim a.s menyeru mereka untuk menyembah Tuhan yang sebenarnya.

Setelah Nabi Ibrahim memulakan dakwahnya dalam menegakkan syiar Islam, beliau kemudiannya merencanakan sesuatu sebagai membuktikan kepada kaumnya dengan perbuatan yang nyata dan boleh dilihat dengan mata kasar. Beliau menyatakan bahawa berhala dan patung-patung mereka benar-benar tidak berguna bahkan tidak dapat menyelamatkan dirinya sendiri (Muhammad Abdul Wahab, 2011). Ketika kaum Raja Namrud mengadakan pesta dan tempat penyembahan mereka ditinggalkan seketika, pada masa itu Nabi Ibrahim mengambil kesempatan untuk menghancurkan patung-patung berhala mereka. Beliau kemudian menendang dan menampar patung berhala tersebut lalau dihancurkannya. Beliau memotong patung tersebut dengan kapak yang berada digenggamannya (Muhammad Abdul Wahab, 2011).

Selepas peristiwa tersebut, terdapat individu yang mengetahui bahawa Nabi Ibrahim memasuki perkarangan itu. Keterangan tersebut disampaikan kepada Raja Namrud. Akhirnya, Nabi Ibrahim a.s dihadapkan ke muka pengadilan.

Hakim Mahkamah : Apakah engkau yang menghancurkan dan merosakkan Tuhan-Tuhan penyembahan kami ?
Nabi Ibrahim : Patung besar yang berkalung kapak di lehernya itulah yang melakukannya. Cuba tanya saja kepada patung-patung itu, siapakah yang menghancurkannya ?
Hakim mahkamah : Engkau telah mengetahui bahawa patung-patung itu tidak mampu bercakap atau berkata-kata, mengapa engkau minta kami untuk bertanya kepadanya ?
Nabi Ibrahim : Jika demikian halnya, mengapa kamu sembah patung-patung itu, yang tidak dapat berkata, tidak dapat melihat dan tidak dapat mendengar, tidak dapat membawa manafaat atau menolak kemudaratan, bahkan tidak dapat menolong dirinya dari kehancuran dan kebinasaan ? Alangkah bodohnya kamu dengan kepercayaan dan penyembahan kamu itu! Tidakkah kamu dapat berfikir dengan akal yang sihat. Mengapa kamu tidak menyembah Tuhan yang menciptakan kamu dan menciptakan alam ini ?
Hakim Mahkamah : Selepas Nabi Ibrahim berpidato, akhirnya hakim telah memutuskan bahawa Nabi Ibrahim mesti dibakar hidup-hidup kerana menghina Tuhan mereka dan menghancurkan Tuhan mereka. 

Walau bagaimanapun, Nabi Ibrahim a.s terselamat daripada api yang panas itu dengan izin dan kekuasaan Allah s.w.t. Hal ini selari dengan firman Allah s.w.t yang bermaksud :

"Wahai api! Jadilah engkau sebagai dingin dan selamatkan Nabi Ibrahim." (Surah al-Anbiya : ayat 59)

Selepas peristiwa pembakaran Nabi Ibrahim a.s. dan terselamatnya Nabi Ibrahim, sekali lagi Raja Namrud telah berdebat dengan Nabi Ibrahim. Berikut adalah perdebatan antara mereka berdua :

Raja Namrud : Ibrahim! Siapakah yang menjadikan alam ini ?
Nabi Ibrahim : Alam ini merupakan kurniaan Zat yang dapat menghidupkan dan mematikan serta berkuasa atas segala-galanya. 
Raja Namrud : Aku juga berkuasa, barang siapa yang aku perintahkan untuk membunuhnya, maka matilah ia, dan apabila aku tidak bunuh ia, maka hiduplah ia.
Nabi Ibrahim : Tuhan kami ialah yang menerbitkan matahari dari sebelah timur, maka cubalah kamu putar terbitannya dari arah barat.

Mendengar kata-kata Nabi Ibrahim itu, Raja Namrud tercengang dan tidak dapat menjawab. Akhirnya Raja Namrud dan pengikutnya menerima azab Allah dengan didatangi nyamuk yang sangat banyak tidak terkira. Raja Namrud sendiri dimasuki nyamuk hingga ke lubang telinganya sampai mati. Begitulah serba sedikit ceritera yang empunya ceritera.


Rujukan :

Muhammad Abdul Wahab (2011). Kisah Hidup 25 Nabi dan Rasul. Selangor : Berlian Publications Sdn. Bhd.



Rahsia Kematian : Nikmat dan Azab Kubur


Menurut Ahmad Adnan Fadzil (2012), kematian di dunia adalah permulaan kepada kehidupan di alam barzakh. Tiada siapa yang mengetahui hakikat sebenarnya melainkan Allah s.w.t. Berita-berita kedahsyatan kiamat kecil ini serta gegak gempitanya, kehidupan di alam barzakh hanyalah bersandarkan daripada mutiara-mutiara hadis baginda Nabi Muhammad s.a.w yang berbicara dengan panduan wahyu ilahi. 

Menurutnya lagi, tiada siapa boleh menceritakan betapa sakitnya saat kematian kerana mereka sudah berpindah ke alam yang lain. Tiada siapa juga boleh mengkhabarkan keadaan di alam barzakh kerana mereka sudah tidak boleh kembali ke alam fana ini. Justeru, manusia tiada pilihan lain melainkan beriman dan meyakini perkara ini dengan pertimbangan mata hati, bukannya hawa nafsu.

Antara sebahagian nikmat-nikmat yang diperolehi bagi orang-orang yang beriman setelah mati menurut Ahamd Adnan Fadzil (2012) adalah :
  1. Diluaskan kubur sehingga 70 hasta daripada segenap arah atau diluaskan sejauh mata memandang
  2. Disediakan untuknya hamparan dari syurga
  3. Dibukakan satu pintu pada kuburnya dari syurga
  4. Kubur dipenuhi dengan bau-bauan yang wangi
  5. Dijadikan kubur sebagai taman dari taman syurga
  6. Diterangi kubur mereka
  7. Ditemani oleh amalan-amalan kebaikan
Manakala, ini pula sebahagian daripada bentuk-bentuk azab seksaan kubur bagi orang-orang yang tidak beriman :
  1. Memukul kepala mereka sendiri dengan batu
  2. Memakai pakaian koyak-rabak dan makan umpama haiwan ternakan
  3. Dihidang daging yang elok dan daging yang busuk tetapi mereka memilih daging yang busuk
  4. Ahli kubur didedahkan kepada bahang api neraka setiap hari iaitu pada waktu pagi dan petang
  5. Disediakan untuknya hamparan daripada api neraka
  6. Kubur disempitkan hingga tulang-tulang rusuk saling bersilang
  7. Ditemani seorang lelaki yang berwajah buruk dan berbau busuk
  8. Didatangkan 99 ekor ular yang berbisa dan menggerunkan
Begitulah serba sedikit ceritera yang empunya ceritera. Wallah hu alam bisawab.


Rujukan :

Ahmad Adnan Fadzil (2012). Rahsia Kematian, Alam Barzakh dan Roh. Kuala Lumpur : Telaga Biru Sdn. Bhd.