Saturday 22 June 2013

Pro dan Kontra : Pengadilan Moral Dalam Sejarah

Kalau kita mengamati dan mengkaji mengenai pengadilan moral dalam sejarah maka kita akan temui dua golongan iaitu satu golongan yang pro dan satu golongan yang kontra dalam kes pengadilan moral dalam penulisan sejarah (Hj. Ishak Saat, 2005). 

Pertama, ada golongan ahli sejarah yang berpendapat bahawa pengadilan moral tidak wajar dilakukan kerana seseorang penulis itu tidak dapat menyelami dan mengetahui keadaan sebenar peristiwa sejarah itu berlaku. Sebagaimana yang ditegaskan oleh Butterfield iaitu Sarjana sejarah yang mewakili golongan pertama ini, yang mengatakan bahawa pengadilan moral tidak dianggap penting dalam penyiasatan sejarah kerana ketidakupayaan atau tidak mampu ahli sejarah untuk melihat sesuatu peristiwa dari lubuk hati si pelaku (Hj. Ishak Saat, 2005). Ia menekankan bahawa 'we cannot see inside other people' merupakan faktor penting yang menghalang seseorang ahli sejarah untuk bersikap objektif dalam menjatuhkan hukuman moral (Herbert Butterfield, 1959). Hujah beliau ini tidak saya nafikan memandangkan ia merupakan satu persoalan yang objektif. Malah timbul pula persoalan-persoalan seperti mengapakah ahli sejarah perlu memikul tugas sebagai seorang pengadil atau hakim di dalam mahkamah Sejarah Dunia ? Bukankah persoalan baik dan buruk dalam sesebuah masyarakat dahulu tidak semestinya baik atau jahat dari kaca mata masyarakat hari ini ? Ataupun adilkah seseorang ahli sejarah menghakimi atau menjatuhkan hukuman moral ke atas pelaku sejarah zaman lampau ? Bukankah nilai moral masyarakat dahulu amat berbeza dengan nilai moral masyarakat pada hari ini. Amat tidak wajar kita menghukum mereka berdasarkan pandangan hari ini. Walau bagaimanapun pada pendapat saya, hal ini boleh di atasi apabila kita dapat menentukan satu bentuk ukuran yang sejagat untuk menjatuhkan hukuman moral agar pengadilan moral yang dikenakan ke atas pelaku-pelaku sejarah lampau itu menjadi amat wajar dan diterima oleh para pembaca.

Sebagai contoh mengenai kisah Hang Tuah dengan Hang Jebat. Kisah kesetiaan Hang Tuah yang dianggap membabi buta dan kisah penderhakaan Hang Jebat yang dianggap wajar dengan situasi yang berlaku di masa tersebut kerana demi persahabatan beliau sanggup berkorban dan terkorban demi menuntut keadilan (bela) atas kematian Hang Tuah. Dalam kes tersebut sememangnya Hang Tuah dianggap mewakili golongan yang setia tanpa belah-bagi terhadap Raja atau dengan kata mudah taat setia tanpa bicara. Manakala Hang Jebat mewakili golongan yang akan mempersoalkan kerasionalan sesuatu tindakan dahulu sebelum melakukannya. Penilaian kaca mata hari ini, watak Hang Tuah amat tidak sesuai dengan budaya moden masyarakat hari ini kerana memberikan ketaatan tanpa mempersoalkan segala perintah yang diberikan, walaupun perintah tersebut tidak masuk akal untuk dituruti seperti perintah Raja agar Hang Tuah membunuh Hang Jebat yang membela atas kematiannya yang difitnah. Bukankah gambaran taat setia ini dianggap melulu. Berbeza pula dengan Hang Jebat, kalau menurut kaca mata hari ini beliau dianggap sebagai Hero kerana sanggup membahayakan diri demi untuk menuntut bela atas fitnah yang mengorbankan sahabat karib beliau. Malah kata-kata retorik beliau hingga ke hari ini menjadi sebutan orang iaitu "Raja Adil Raja Disembah, Raja Zalim Raja Disanggah". Di sini juga ahli sejarah harus memperlihatkan tindakan terkutuk Hang Jebat yang terus-terusan melakukan pembunuhan yang bercanggah dengan nilai moral serta agama iaitu membunuh orang-orang yang tidak berdosa. Sekiranya ukuran nilai moral sejagat digunapakai maka tidak sukar untuk menjatuhkan hukuman moral ke atas Hang Jebat dan Hang Tuah.

Kedua, golongan pro yang menyatakan bahawa wajar pengadilan moral dilakukan oleh ahli sejarah seperti apa yang ditegaskan oleh Qasim Ahmad, si pelaku yang melakukan kejahatan dari segi lahiriah atau secara luaran walaupun ia berhasrat atau bermotif suci, ia akan dihukum juga dalam mahkamah dan didakwa melakukan kesalahan dari segi undang-undang dan moral (Hj. Ishak Saat, 2005).

Dengan kata lain, tindakan lahiriah si pelaku atau individu yang mencetuskan sesuatu peristiwa menjadi kayu ukur untuk menjatuhkan hukuman moral. Keadaan ini dilihat bagaimana bumi Palestin yang dirampas secara haram oleh pihak Yahudi melalui peperangan pada tahun 1946, tindakan Yahudi ini tiada bezanya dengan tindakan Nazi di Jerman. Kekejaman dan pembunuhan yang dilakukan oleh pihak Yahudi ke atas rakyat Palestin ini amat kejam dan melangkaui batas-batas kemanusiaan. Malah kekejaman dan kedegilan Yahudi di bumi Palestin ini berlanjutan sehingga ke hari ini. Kita boleh lihat pembunuhan beramai-ramai di Settla mahupun di tebing Barat, kanak-kanak dan orang-orang tidak berdosa dibunuh dengan tanpa belas kasihan. Begitu juga dengan halnya era Perang Moro dengan Sepanyol. Sepanyol bertindak kejam dengan muslim di Filipina. Mereka ditindas dan dipaksa untuk menganut ajaran Kristian. Jika tidak menuruti kehendak mereka, mereka akan dibunuh. Kalau kekejaman dan kezaliman Nazi di Jerman dikenakan hukuman moral maka dalam kes kekejaman Yahudi dan Sepanyol juga mesti dikenakan hukuman moral yang sama. Begitu juga halnya jika Orang Iranun itu lanun, maka Orang Bugis, Jawa, Bajao Laut, Cina, Melayu, Dayak dan Iban juga adalah lanun. Bukankah begitu sejarah harus dipaparkan kepada pembaca ?

Kesimpulannya, sama ada mahu tidak mahu seseorang ahli sejarah harus membuat penilaian moral dalam penganalisisan penulisan sejarah yang dipaparkan. Sikap pro, anti atau neutral dalam persoalan pengadilan moral sudah pasti mengakibatkan rentetan peristiwa sejarah seterusnya. Kalau ahli sejarah tidak mahu menjatuhkan pengadilan moral di atas sesuatu peristiwa sejarah, tidak mustahil pembaca atau bukan ahli sejarah sudah pasti membuat pengadilan moral untuk mereka. Pokoknya, jalan keluar daripada masalah ini bukanlah lari daripadanya tetapi memperlengkapkan lagi para Ahli Sejarah dengan kemahiran yang berkait. Oleh itu, pengadilan moral merupakan satu ciri penulisan sejarah yang tidak boleh diketepikan begitu sahaja. Seandainya unsur pengadilan moral tidak dimasukkan maka pemaparan karya sejarah akan menjadi kaku serta tidak menarik untuk ditatap oleh para pembaca. Sepatutnya sejarah mestilah menjadi suatu bahan bacaan yang menarik kerana di dalamnya terdapat unsur-unsur pengajaran dan pedoman untuk generasi yang akan datang. Tanpa mengenali sejarah maka seorang itu amat sukar untuk maju ke hadapan (Hj. Ishak Saat, 2005).


Rujukan :

Hj. Ishak Saat (2005). Sejarah Sosial Masyarakat Melayu. Selangor : Karisma Publication Sdn. Bhd.




No comments:

Post a Comment