Saturday 1 February 2014

Wira Melayu

Setiap rumpun bangsa mempunyai tokoh wiranya sama ada beliau merupakan tokoh ciptaan yang muncul dalam karya sastera atau tokoh dalam sejarah lampau dan sejarah dalam era moden dan kini. Wira dilahirkan melalui karya sastera oleh para sasterawan, pengkaji sejarah dan masyarakat masa kini kerana memenuhi tuntutan semasa (Anwar Ridhwan, 2005).

Suatu masa dulu, Hang Tuah dianggap wira ulung bangsa Melayu melalui sebuah karya epik yang sudah dikategorikan sebagai karya Agung. Hang Tuah dianggap wira bukan sekadar kerana ilmu dan keperwiraannya tetapi tidak kurang pentingnya ialah kerana nilai kesetiannya yang dijunjung tinggi. Minda masyarakat dan terutama sekali para sarjana dan pengkaji sastera Melayu tidak statik tetapi sentiasa berubah. Apabila nilai demokrasi yang bermaksud hak kebebasan untuk bersuara merata menggantikan nilai feudal yang mengongkong kebebasan bersuara, Hang Jebat yang pernah diletakkan dalam kategori penderhaka dipertimbangkan juga sebagai wira kerana menegakkan prinsip 'raja zalim raja disanggah' dan 'tunduk kepala bukan minta untuk dipijak,'. Seorang penentang terhadap kezaliman seperti Hang Jebat, Megat Seri Rama di Johor, Panglima Nayan di Kedah, Keris Laksamana Bentan dan Sang Rajuna Tapa di Singapura juga pada zaman moden boleh diterima sebagai penentang terhadap kezaliman yang perlu dihormati kerana cuba menegakkan prinsip keadilan kalau pun tidak sebagai wira orang Melayu (Anwar Ridhwan, 2005).

Menyusul kemudian ramai tokoh Melayu yang diketengahkan sebagai penentang terhadap kezaliman, penindasan dan penjajahan. Mereka termasuklah Datuk Maharaja Lela (Perak) dan kumpulan pemberontaknya iaitu Datuk Bahaman, Mat Kilau dan Tok Gajah (Pahang), Hj. Abdul Rahman Limbong (Terengganu), Dol Said (Naning), Tok Janggut (Kelantan), Rentap (Sarawak), Sharif Masahor (Sarawak), Roslie Dhobi (Sarawak), Mat Salleh (Sabah), Kamunta (Sabah), Sharif Usman (Sabah), Antanom (Sabah) dan sebagainya. Para sejarawan tempatan melihat mereka dari perspektif kesarjanaan Melayu dan pribumi serta menolak label awal oleh penulis Barat yang mereka adalah penderhaka dan pemberontak (Anwar Ridhwan, 2005).

Apabila pengkajian dan kesarjanaan Melayu semakin matang dan mendalam, lebih ramai tokoh Melayu lampau dalam ilmu persuratan pada abad ke-20, mereka telah dinobatkan sebagai tokoh atau wira bangsa antaranya ialah Tun Sri Lanang, Hamzah Fansuri, Raja Chulan, Za'ba, Syeikh Tahir Jalaludin, Abdul Rahim Kajai dan Ishak Hj. Muhammad. Tokoh atau wira Melayu tidak terhad kepada golongan sasterawan, penentang penjajahan, wartawan dan ulama sahaja tetapi diketengahkan juga tokoh politik yang merintis jalan untuk membawa negara mencapai kemerdekaan seperti Ibrahim Yaacob, Ahmad Boestamam, Dr. Burhanuddin, Dato Onn Jaafar, Tunku Abdul Rahman, Tun Abdul Razak, Hussien Onn, Dr. Mahathir dan sebagainya.

Dalam bidang sukan nama seperti Rashid Sidek, Misbun Sidek, Razif Sidek dan Jailani Sidek merupakan wira Melayu. Dalam dunia seni hiburan pula, Tan Sri P. Ramlee kekal berada ditempat yang tertinggi. Penobatan seseorang atau segolongan orang Melayu sebagai wira atau tokoh mengikut zamannya adalah satu watak peribadi Melayu yang dikongsi bersama dengan bangsa lain di dunia. Ia suatu tradisi yang berterusan dengan bidang yang dirangkumi semakin meluas. Mungkin penobatan mempunyai kesan secara tidak langsung untuk meningkatkan rasa kesetiaan dan sayang kepada bangsa dan negara serta menanam semangat patriotisme di kalangan generasi muda.


Rujukan :

Anwar Ridhwan. 2005. Minda Melayu. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka.



Tuaran : Saman Tetap Saman


Tuaran, 2/2/2014 - Ahad, 8:26am : Seorang Polis Trafik telah menjalankan tugasnya dengan penuh amanah dan tanggungjawab. Sebelum ini, pemandu sudah dinasihatkan agar tidak meletakkan kereta digarisan kuning tepi jalan raya. Namun, masih ada juga para pemandu meletakkan (parking) ditempat yang salah. Bukan sekali dua, malah setiap hujung minggu di Tamu Tuaran, ada sahaja pemandu yang meletakkan kereta di garisan kuning tepi jalan raya. Cuba anda lihat gambar di atas, 2 buah kereta tersebut telah disaman oleh Polis Trafik kerana melanggar peraturan jalan raya. 3 buah kereta lagi (tiada dalam gambar) juga telah disaman kerana melakukan kesalahan yang sama. Saman tetap saman.

Oleh : Tongkat Besi




Friday 31 January 2014

Minda Melayu : Sejarah Lampau dan Alam Melayu

Menurut UNESCO 1972, Bangsa Melayu merujuk kepada suku bangsa Melayu yang menjadi penutur asli Bahasa Melayu dan menduduki kawasan-kawasan seperti seluruh Semenanjung Malaysia, Kepulauan Borneo, Brunei, Pantai Timur Sumatera, Kepulauan Riau, Lingga, Bangka, Natuna, Belitung, Banda, Selatan Thailand, Selatan Filipina, Campa, Singapura, Sri Lanka, Madagascar dan Afrika Selatan (kawasan penghijrahan Bangsa Melayu).

Kedatangan Barat adalah kehadiran penjajahan dan penaklukan di Alam Melayu, walau apa pun nama yang digunakan untuk memberikan fenomena ini-berdagang, naungan, koloni, jajahan dan pembukaan. Kini penjajahan dan penaklukan menjadi norma hubungan antarabangsa dan negara (Anwar Ridhwan, 2005). Kehadiran Portugis dan Belanda di Kota Melaka selama 300 tahun tidak menakluki negeri-negeri Melayu dan masyarakat Melayu seluruhnya tetapi melalui dasar monopoli, kawalan tentera terhadap hasil bumi dan perkapalan serta perdagangan Melayu, maka sistem dagangan paksaan itu telah membunuh perdagangan Melayu. Nakhoda dan pembesar Melayu yang selama itu menjadi tunjang dan akar umbi sistem Melayu. Dikalangan raja dan pembesar lumpuh dan musnah oleh paksaan serta tuduhan sebagai perompak, lanun serta jahat dalam sistem peperangan Eropah terhadap keganasan tempatan yang dinamakan secara rasmi sebagai Piracy (Anwar Ridhwan, 2005).

Menurut Anwar Ridhwan (2005) lagi, sistem perairan Melayu dengan dagangan antara pelabuhan, pulau dan sungai musnah sehingga dalam tempoh satu kurun muncul kekosongan pedagang Melayu lalu dengan mudah diisi oleh para pedagang Cina yang datang bersama penjajahan Portugis, Belanda dan kemudian British dalam pelabuhan bebas yang terbuka luas.

Tegasnya, Melayu tersingkir daripada sistem perdagangan lalu digalak menetap di darat, membuka tanah sebagai petani kecil, petani miskin yang kemudiannya terperangkap oleh undang-undang tanah penjajahan Belanda, Sepanyol dan British yang memastikan pendaftaran tanah oleh petani kecil dari hulu yang tidak tahu dan tidak faham akan perdagangan itu. Maka penerokaan tanahnya hilang menjadi bahagian dari tanah orang, ladang Orang Inggeris dan Cina kerana tidak didaftar mengikut undang-undang tanah British, Belanda dan Sepanyol.

Lebih parah lagi ialah kuasa penjajahan yang berupaya membahagi wilayah Melayu tanpa berunding dengan raja-raja Melayu sekali gus merombak dan meruntuhkan negeri Melayu menjadi kawasan kerajaan kecil dan sebahagiannya menjadi takluk Belanda, British dan Siam. Orang Melayu sendiri tidak sedar akan perbuatan dan perjanjian kuasa penjajahan sehingga akhirnya mendapati negeri mereka terpisah dan terjajah. Sultan Johor-Riau terpaksa menerima akibat perjanjian British-Belanda di London dan The Hague yang menghancurkan negerinya menjadi kawasan British dan Belanda. Pusat kerajaannya di Riau dikuasai oleh Belanda dan baginda kehilangan negeri dan jajahan takluknya yang sudah menjadi kawasan pengaruh British. Disebelah utara semenanjung pula, Siam dan British telah membahagikan negeri Melayu sebagai kawasan takluk mereka tanpa rundingan dengan Raja Melayu, Maka hancurlah negeri Melayu Terengganu, Kelantan, Pattani, Narathiwat, Songkla, Sentul dan Kedah menjadi takluk Siam dan British berjanji tidak campur tangan walaupun perjanjian menyerahkan Pulau Pinang 'selagi ada bulan dan bintang' menjanjikan bantuan kepada Sultan Kedah jika berlaku peperangan dengan Siam. Abad ke-18, 19 dan 20 adalah zaman kejatuhan dan kemerosotan negeri Melayu menjadi tanah jajahan dan penaklukan Eropah (Anwar Ridhwan, 2005).

Penjajahan menghapuskan Bahasa Melayu dalam perundangan yang kemudiannya digantikan dengan Bahasa Inggeris. Perundangan menghapuskan hukum adat dan Islam digantikan dengan hukum penjajah iaitu the common law. Raja Melayu hanya menjadi pemerintah nominal perundangan negerinya dibuat oleh bangsa asing (penjajah) atas namanya. Para penasihat dan Residen yang berkuasa atas nama raja, suatu proses usurpation kuasa berlaku atas nama indirect rule. Kehancuran kuasa Melayu diganti dengan protectorate atau naungan merubah segala kuasa Melayu hingga orang lain menjadi warganegara dan mempersoalkan pula hak Melayu sebagai pemilik negerinya (Anwar Ridhwan, 2005).

Ekonomi Melayu atas nama free enterprise dan pembukaan ladang yang besar, perdagangan istemewa untuk badan agensi dagangan British serta Cina dan jadilah Melayu sebagai penghuni tanah reserve yang terkurung dalam kawasan kecil dan sebagai pedagang kecil. Negerinya yang terbuka luas telah dieksploitasi oleh pemodal British dan Cina (Anwar Ridhwan, 2005).

Demikianlah penjajahan dan kehilangan kuasa politik menyebabkan jatuhnya segala sistem kemasyarakatan dan budaya Melayu sehingga menjadi bangsa yang lemah. Oleh itu, tercetuslah Melayu sebagai gambaran segala yang negatif, buruk, mundur, lemah dan keji. Inilah kesan sebahagian daripada penjajahan (Anwar Ridhwan, 2005).

Gambaran atau citra yang digembar-gemburkan oleh para penjajah Inggeris, Belanda dan Sepanyol semasa mereka menjajah Tanah Melayu, Indonesia dan Filipina adalah tidak berasas. Malah tanggapan dan idea tersebut dimanafaatkan untuk kepentingan ideologi mereka - Syed Hussien Al-Atas (2009).


Rujukan :

Anwar Ridhwan. 2005. Minda Melayu. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka.

Syed Hussien Al-Atas. 2009. Mitos Pribumi Malas. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka.




Sukan : Kes Rasuah Serius

Berita Harian, 8/1/2014 : Pengerusi Jawatankuasa Tatatertib Persatuan Bola Sepak (FAM), Datuk Taufek Abd Razak sebak dan menitiskan air mata pada sidang media, petang semalam, selepas menangguhkan keputusan perbicaraan 7 pemain Kuala Lumpur yang didakwa terbabit rasuah dan mengatur perlawanan musim lalu. Penangguhan itu dibuat kerana jawatankuasa berkenaan perlu mengambil keterangan 6 lagi pemain dan 4 pegawai pasukan berkenaan untuk membantu siasatan.

Perlakuan spontannya itu menggambarkan betapa seriusnya skandal rasuah membabitkan skuad Kuala Lumpur. "Saya berasa simpati kerana ada dalam kalangan pemain yang didakwa terbabit rasuah dan mengatur perlawanan hendak bertunang. Mereka juga menangis ketika memberi keterangan. Inilah cabaran besar yang perlu saya dan jawatankuasa saya hadapi dalam menangani kes ini. Sebab itu saya tak dapat nak buat keputusan hari ini (semalam)."

Kita akan bantu apa yang boleh kerana kita memerlukan kerjasama semua pihak. Itu saja yang boleh saya katakan buat masa ini, katanya pada sidang media di Wisma FAM, Kelana Jaya, petang semalam. 2 dariapada 7 pemain Kuala Lumpur yang memberi keterangan semalam ialah S. Sivaraj dan Amirul Asyraf Mohd Noor. 2 lagi pemain, Azizon Kadir dan Benidict Martin berbuat demikian pada 27 disember lalu manakala J Mughilan Kartik, Syazwan Rani serta Azwan Jatin, Jumaat lalu.

*** Apa pun, selagi ada Bookie barah Rasuah dalam bidang sukan ini tak dapat di atasi. Bagi pengkaji, Bookie juga perlu ditangkap dan diberi hukuman. Dalam hal ini, pemain Bola Sepak yang menerima rasuah ditangkap dan disoal siasat. Pemberi rasuah atau (Bookie) pula bagaimana ? ***


Rujukan :

Berita Harian. 2014. Kes Rasuah Serius. Halaman 40.




Thursday 30 January 2014

Politik Di Thailand : Pegawai SPR Sedia Letak Jawatan

Harian Metro, 28/12/2013. Bangkok : Beberapa pegawai Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Thailand mempertimbangkan untuk meletak jawatan berikutan pertempuran yang meragut nyawa seorang pegawai polis dan mencederakan ramai lagi kelmarin.

Anggota SPR yang baru dilantik buat kali pertama kelmarin menegaskan secara terbuka pilihan raya yang dijadualkan pada 2 Februari ini tidak dapat diteruskan berikutan keadaan semasa.

"Tidak sukar meramalkan pilihan raya tidak akan berjalan lancar, adil dan telus berikutan keadaan semasa," kata Pengerusi SPR Thai, Supachai Somcharoen pada sidang akhbar sejurus selepas cabutan nombor undian bagi calon parti. SPR Thai menggesa kerajaan menangguhkan pilihan raya yang dijadualkan berlangsung pada 2 Februari ini berikutan pertempuran antara polis dan penunjuk perasaan anti kerajaan di luar Stadium Thai-Jepun di Din Daeng, lokasi pendaftaran pencalonan diadakan.

Penunjuk perasaan daripada pertubuhan Rangkaian Penuntut dan Rakyat bagi Pembaharuan Thailand cuba merempuh pintu pagar untuk mengganggu proses itu. AGENSI.


Rujukan :

Harian Metro. 2013. Pegawai SPR Thailand Sedia Letak Jawatan. Halaman 7.



Pendidikan : Hukum Macam Lembu

Harian Metro, 26/01/2014 : Seorang guru Bahasa Inggeris sebuah sekolah kebangsaan Cina, di sini, bertindak melampaui batas apabila memperlakukan 2 muridnya seperti lembu dengan menggantungkan lonceng di leher dan memberi rumput sebagai makanan. 

Hukuman tidak masuk akal itu dikenakan terhadap murid tahun 4 itu hanya kerana mereka gagal menyiapkan kerja sekolah diberi. Terkejut selepas mengetahui kejadian itu, ibu seorang daripada mereka membuat laporan di Balai Polis Sungkai, kelmarin. Yarnis Kasuma Dewi Zainal Aripin, 32 berkata, anaknya kini trauma dengan kejadian itu berikutan dikutuk dengan panggilan 'lembu' oleh murid lain, terutama rakan sekelas serta turut takut untuk ke sekolah.

"Ketika buat laporan polis, guru Bahasa Inggeris itu bersama guru besar turut hadir dan mereka mengaku mengenakan hukuman tidak masuk akal itu dan meminta maaf. Bagaimanapun, lebih memeranjatkan kami, guru besar terbabit mengakui, hukuman menggantung loceng di leher beberapa kali dikenakan terhadap beberapa murid lain sebagai denda tidak membuat kerja sekolah, " katanya dalam sidang media di Surau Awamiah, Taman Permai, di sini semalam. Yarnis berkata, guru besar itu mendakwa hukuman menggantung loceng dileher tidak mendapat bantahan ibu bapa lain. "Saya kesal dengan tindakan pihak sekolah terutama guru Bahasa Inggeris yang baru tahun lalu dipindahkan ke sekolah itu. Saya bukan hantar dia ke sekolah tentera hingga perlu didenda sedemikian rupa. "Harap Pejabat Pendidikan Daerah PPD mengenakan hukuman setimpal terhadap guru berkenaan, termasuk memindahkannya kerana anak kami takut ke sekolah lagi untuk berdepan dengannya," katanya. 

Ibu seorang lagi murid yang turut dikenakan hukuman sama, Siti Aisyah Hashim, 32 kecewa kerana tidak menyangka guru berkenaan sanggup melakukan perbuatan seumpama itu. Katanya, memang guru terbabit dan guru besar menemui mereka di balai polis selepas laporan dibuat serta meminta maaf, namun ia seperti tidak ikhlas. Sejurus selepas berbincang di balai polis dan memohon maaf, mereka terus berlalu pergi tanpa menemui atau berkata apa-apa kepada kami. Malah, kami pula diberi cadangan oleh PPD untuk memindahkan anak ke sekolah lain. Kami terpaksa menghantar anak ke sekolah sama kerana berdekatan rumah. Anak kami mengikuti pelajaran aliran Cina sejak tadika lagi, lebih baik pindahkan guru itu, bukan anak kami, katanya.

Anak Siti Aisyah yang hadir sama dalam sidang media berkenaan, turut menceritakan apa berlaku dan melakonkan semula bagaimana dia dan rakan sekelasnya di denda dengan hukuman memakai loceng serta diberi rumput.


Rujukan :

Harian Metro. 2014. Hukum Macam Lembu. Halaman 2.