Saturday 10 August 2013

Raja Ismail Dalam Sulalatus Salatin

Pada hari ini pengkaji terus menelusuri kisah sejarah lampau. Dalam Sulalatus Salatin hasil karya A. Samad Ahmad (2008) ada menyebut nama Raja Ismail. Menurutnya :

Sebermula, Sultan Alau'd-Din setelah Sultan Pahang kembali itu, maka Raja Omar dianugerahkan baginda istana Sultan Pahang itu, akan anakanda baginda dua laki isteri pun pindah ke sana, dengan segala inang pengasuh dayang-dayang sekalian; dan akan anakanda Raja Muzzafar pun diberi baginda beristeri akan cucu Bendahara Seri Maharaja, yang bernama Tun Emas Jiwa, anak Tun Hassan Temenggung.

Hatta datanglah peredaran dunia, maka Sultan Alau'd-Din pun mangkatlah. Maka dikebumikan oranglah betapa istiadat yang termasyhur perintah segala raja-raja Melayu mangkat, demikianlah diperbuat Bendahara dengan segala Orang Besar-Besar; itulah yang disebut orang Marhum di Johor Lama. Maka anakanda baginda Raja Muzzafarlah kerajaan, menggantikan ayahanda baginda, bergelar Sultan Muzzafar Syah. Baginda kerajaan itu umur baginda baru 19 tahun. Dan Sultan Mansur Syah, Raja Pahang pun telah mangkat, Raja Ismail lah kerajaan, bergelar Sultan Jamal Syah. Adapun Sultan Muzzafar Syah sungguh baginda muda, terlalu baik bicara baginda tiada melepaskan perintah Bendahara dan Seri Nara diraja, dan Temenggung Seri Wak Raja.

Begitulah serba sedikit ceritera yang empunya ceritera.


Rujukan :

A. Samad Ahmad (2008). Sulalatus Salatin: Sejarah Melayu. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka.




Keris Laksamana Bentan


Pada hari ini, pengkaji menyingkap kisah sejarah Laksamana Bentan yang menentang kezaliman Raja. Kisahnya bermula apabila isteri Laksamana Bentan (Dang Anum) dibunuh oleh Sultan hanya memakan seulas nangka untuk santapan raja. Pada masa itu, Dang Anum mengidamkan nangka kerana hamil lalu Sultan murka kepadanya kerana memakan santapannya. Akibatnya, dengan titah Raja Dang Anum telah dibunuh. Perutnya dibelah. Dengan kuasa Allah, setelah perut Dang Anum dibelah, kelihatan mayat Bayi memakan seulas nangka. Sultan merasa menyesal dengan tindakannya itu. Lalu tercetuslah penentangan Laksamana Bentan terhadap Sultan setelah beliau pulang dari Jambi. Berikut adalah serba sedikit dialog yang ditulis oleh Mana Sikana (1997) :

LAKSAMANA : Kau mati rupanya Anum, kau meninggalkan aku, Anum. Oh! Anakku, Apa kesalahan isteri dan anakku ?
TUN ARIA : Simpan rahsia ini Datuk. Kalau tidak, mati hamba dibunuh baginda.
LAKSAMANA : Apa ? Dibunuh baginda ? Tidak Aria, aku sanggup menggalang leher berdepan dengan keris baginda kerana Anum dan anakku. Aku mesti membela. Aku sanggup hantarkan nyawaku ke hujung mata keris Sultan. Oh Tuanku. Sultan yang ku junjung, sampai hati Tuanku membunuh isteri dan anak patik yang tak berdosa. Alangkah kejam dan zalimnya Tuanku. Mana janji Tuanku akan memberikan perlindungan pada isteriku ? Ya, Pepat diluar rencong di dalam, Mulut manis hati beracun.
TUN ARIA : Melayu derhaka kepada raja, Datuk ? Tidak, Tidak, jangan Datuk. Berfikirlah dua kali sebelum melangkah, melangkah berdepan dengan keris raja. Hamba berharap Datuk beringat sebelum kena, berjimat sebelum habis. Carilah jalan lain, Datuk. Lebih baik kita undur dengan teratur daripada mara mendapat bahaya. Ingat Datuk, sumpah Melayu dari zaman-berzaman, berpantang Melayu derhaka kepada Raja.
LAKSAMANA : Tidak! Darah Bentan berpantang maut sebelum ajal. Kali ini tetap Melayu derhaka kepada Raja. Sia-sia peluhku mengalir di Haru dan Jambi. Kalau ku tahu begini rendahnya budi Raja, aku tetap menolak titahnya.

Selepas itu, terjadilah pembunuhan Sultan oleh Laksamana Bentan.

Keris Laksamana Bentan membuat riwayat, memutuskan darah keturunan raja-raja Melayu Melaka yang berdaulat. Sebab baginda tidak berputera dan berputeri, Bendahara Abdul Jalil dilantik menjadi Sultan. Hutang Darah dibayar darah, hutang jiwa dibayar dengan jiwa, kerana anak isteri menderhaka.

Siapakah yang bersalah ?
Derhakakah Laksamana Bentan ?


Rujukan :

Mana Sikana (1997). Keris Laksamana Bentan. Shah Alam : Penerbit Fajar Bakti Sdn. Bhd.



Sunday 4 August 2013

Matinya Seorang Pahlawan


Hari ini, pengkaji mengimbau semula Pahlawan Hang Jebat di zaman lampau hasil karya Allahyarham Usman Awang. Baginya, Hang Jebat adalah Pahlawan Melayu terbilang yang bangkit menentang kezaliman. Berikut adalah serba sedikit dialog yang ditulis oleh Usman Awang.

Jebat menerkam dan kedua pun bertikam-tikaman.

SUARA LATAR : 
Mata keris menari-nari di udara,
tergetar, melayang, menyusup dan menyisih
ah!, siapa terkejut seketika,
betapa sejuk Taming Sari meresapi dalam kelembutan
daging dan urat-urat
mengalirkan darah ! Darah merah mengental

Alangkah dinginnya Taming Sari,
dan betapa ia memutuskan pertalian daging
mudah, lembut dalam saat-saat yang genting
lalu meninggalkan bisa yang dalam 
menyentak-nyentak merenggut segala urat dan jantung
ah, Hang Jebat berdirinya mula terhuyung!
Sepasang mata yang tajam dalam kepudarannya
di mana terpancar sinar kehairanan
dan bersamanya suatu pandangan kesayuan
di dalamnya tak kelihatan suatu penghinaan,
tertuju tertumpu langsung kepadanya
temannya
Hang Tuah menundukkan kepalanya,
mengelakkan
ah, pandangan yang mengharukan hatinya,
pasangan mata yang dahulu dalam usapan kasih
pada saat-saat terakhir ditembusi oleh merah darah
dan keputihannya menghilang di bawah takhta Raja
yang memisahkan mereka berdua!
Lambat-lambat Hang Tuah meninggalkan ruangan
seorang pahlawan merasa kehilangan pegangan!
Hang Jebat menyambar sehelai selendang Raja
ia membalut luka, denyut bisa kian mendemba,
Istana raja dalam bayangannya pudar
degup jantung keras mendebar,
sayup-sayup suara teriakan dalam nada kegirangan
"Hang Jebat kena tikam! Hang Jebat kena Tikam!"
Luka dibebatnya,
di dadanya dendam bergema! Dengan kekuatan suaranya yang terakhir, ia bersuara :

HANG JEBAT :
Hai orang-orang Melaka,
aku telah menentang kezaliman dengan darah,
darahku sendiri,
buat baik berpada-pada, kalau jahat, jahat sekali,
Darah ini telah mengalir, darahku bercucuran
hanya atas keyakinan membela keadilan
dan untuk itulah pula darah ini ku berikan.

Hang Jebat melompat laksana singa lapar
diamuknya orang ramai
yang ada di sekeliling istana
dan darah! darah! darah orang-orang Melaka
mengalir arus dalam gema maut menyapa!


Rujukan :

Usman Awang (1997). Matinya Seorang Pahlawan. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka.