Saturday 22 June 2013

Pro dan Kontra : Pengadilan Moral Dalam Sejarah

Kalau kita mengamati dan mengkaji mengenai pengadilan moral dalam sejarah maka kita akan temui dua golongan iaitu satu golongan yang pro dan satu golongan yang kontra dalam kes pengadilan moral dalam penulisan sejarah (Hj. Ishak Saat, 2005). 

Pertama, ada golongan ahli sejarah yang berpendapat bahawa pengadilan moral tidak wajar dilakukan kerana seseorang penulis itu tidak dapat menyelami dan mengetahui keadaan sebenar peristiwa sejarah itu berlaku. Sebagaimana yang ditegaskan oleh Butterfield iaitu Sarjana sejarah yang mewakili golongan pertama ini, yang mengatakan bahawa pengadilan moral tidak dianggap penting dalam penyiasatan sejarah kerana ketidakupayaan atau tidak mampu ahli sejarah untuk melihat sesuatu peristiwa dari lubuk hati si pelaku (Hj. Ishak Saat, 2005). Ia menekankan bahawa 'we cannot see inside other people' merupakan faktor penting yang menghalang seseorang ahli sejarah untuk bersikap objektif dalam menjatuhkan hukuman moral (Herbert Butterfield, 1959). Hujah beliau ini tidak saya nafikan memandangkan ia merupakan satu persoalan yang objektif. Malah timbul pula persoalan-persoalan seperti mengapakah ahli sejarah perlu memikul tugas sebagai seorang pengadil atau hakim di dalam mahkamah Sejarah Dunia ? Bukankah persoalan baik dan buruk dalam sesebuah masyarakat dahulu tidak semestinya baik atau jahat dari kaca mata masyarakat hari ini ? Ataupun adilkah seseorang ahli sejarah menghakimi atau menjatuhkan hukuman moral ke atas pelaku sejarah zaman lampau ? Bukankah nilai moral masyarakat dahulu amat berbeza dengan nilai moral masyarakat pada hari ini. Amat tidak wajar kita menghukum mereka berdasarkan pandangan hari ini. Walau bagaimanapun pada pendapat saya, hal ini boleh di atasi apabila kita dapat menentukan satu bentuk ukuran yang sejagat untuk menjatuhkan hukuman moral agar pengadilan moral yang dikenakan ke atas pelaku-pelaku sejarah lampau itu menjadi amat wajar dan diterima oleh para pembaca.

Sebagai contoh mengenai kisah Hang Tuah dengan Hang Jebat. Kisah kesetiaan Hang Tuah yang dianggap membabi buta dan kisah penderhakaan Hang Jebat yang dianggap wajar dengan situasi yang berlaku di masa tersebut kerana demi persahabatan beliau sanggup berkorban dan terkorban demi menuntut keadilan (bela) atas kematian Hang Tuah. Dalam kes tersebut sememangnya Hang Tuah dianggap mewakili golongan yang setia tanpa belah-bagi terhadap Raja atau dengan kata mudah taat setia tanpa bicara. Manakala Hang Jebat mewakili golongan yang akan mempersoalkan kerasionalan sesuatu tindakan dahulu sebelum melakukannya. Penilaian kaca mata hari ini, watak Hang Tuah amat tidak sesuai dengan budaya moden masyarakat hari ini kerana memberikan ketaatan tanpa mempersoalkan segala perintah yang diberikan, walaupun perintah tersebut tidak masuk akal untuk dituruti seperti perintah Raja agar Hang Tuah membunuh Hang Jebat yang membela atas kematiannya yang difitnah. Bukankah gambaran taat setia ini dianggap melulu. Berbeza pula dengan Hang Jebat, kalau menurut kaca mata hari ini beliau dianggap sebagai Hero kerana sanggup membahayakan diri demi untuk menuntut bela atas fitnah yang mengorbankan sahabat karib beliau. Malah kata-kata retorik beliau hingga ke hari ini menjadi sebutan orang iaitu "Raja Adil Raja Disembah, Raja Zalim Raja Disanggah". Di sini juga ahli sejarah harus memperlihatkan tindakan terkutuk Hang Jebat yang terus-terusan melakukan pembunuhan yang bercanggah dengan nilai moral serta agama iaitu membunuh orang-orang yang tidak berdosa. Sekiranya ukuran nilai moral sejagat digunapakai maka tidak sukar untuk menjatuhkan hukuman moral ke atas Hang Jebat dan Hang Tuah.

Kedua, golongan pro yang menyatakan bahawa wajar pengadilan moral dilakukan oleh ahli sejarah seperti apa yang ditegaskan oleh Qasim Ahmad, si pelaku yang melakukan kejahatan dari segi lahiriah atau secara luaran walaupun ia berhasrat atau bermotif suci, ia akan dihukum juga dalam mahkamah dan didakwa melakukan kesalahan dari segi undang-undang dan moral (Hj. Ishak Saat, 2005).

Dengan kata lain, tindakan lahiriah si pelaku atau individu yang mencetuskan sesuatu peristiwa menjadi kayu ukur untuk menjatuhkan hukuman moral. Keadaan ini dilihat bagaimana bumi Palestin yang dirampas secara haram oleh pihak Yahudi melalui peperangan pada tahun 1946, tindakan Yahudi ini tiada bezanya dengan tindakan Nazi di Jerman. Kekejaman dan pembunuhan yang dilakukan oleh pihak Yahudi ke atas rakyat Palestin ini amat kejam dan melangkaui batas-batas kemanusiaan. Malah kekejaman dan kedegilan Yahudi di bumi Palestin ini berlanjutan sehingga ke hari ini. Kita boleh lihat pembunuhan beramai-ramai di Settla mahupun di tebing Barat, kanak-kanak dan orang-orang tidak berdosa dibunuh dengan tanpa belas kasihan. Begitu juga dengan halnya era Perang Moro dengan Sepanyol. Sepanyol bertindak kejam dengan muslim di Filipina. Mereka ditindas dan dipaksa untuk menganut ajaran Kristian. Jika tidak menuruti kehendak mereka, mereka akan dibunuh. Kalau kekejaman dan kezaliman Nazi di Jerman dikenakan hukuman moral maka dalam kes kekejaman Yahudi dan Sepanyol juga mesti dikenakan hukuman moral yang sama. Begitu juga halnya jika Orang Iranun itu lanun, maka Orang Bugis, Jawa, Bajao Laut, Cina, Melayu, Dayak dan Iban juga adalah lanun. Bukankah begitu sejarah harus dipaparkan kepada pembaca ?

Kesimpulannya, sama ada mahu tidak mahu seseorang ahli sejarah harus membuat penilaian moral dalam penganalisisan penulisan sejarah yang dipaparkan. Sikap pro, anti atau neutral dalam persoalan pengadilan moral sudah pasti mengakibatkan rentetan peristiwa sejarah seterusnya. Kalau ahli sejarah tidak mahu menjatuhkan pengadilan moral di atas sesuatu peristiwa sejarah, tidak mustahil pembaca atau bukan ahli sejarah sudah pasti membuat pengadilan moral untuk mereka. Pokoknya, jalan keluar daripada masalah ini bukanlah lari daripadanya tetapi memperlengkapkan lagi para Ahli Sejarah dengan kemahiran yang berkait. Oleh itu, pengadilan moral merupakan satu ciri penulisan sejarah yang tidak boleh diketepikan begitu sahaja. Seandainya unsur pengadilan moral tidak dimasukkan maka pemaparan karya sejarah akan menjadi kaku serta tidak menarik untuk ditatap oleh para pembaca. Sepatutnya sejarah mestilah menjadi suatu bahan bacaan yang menarik kerana di dalamnya terdapat unsur-unsur pengajaran dan pedoman untuk generasi yang akan datang. Tanpa mengenali sejarah maka seorang itu amat sukar untuk maju ke hadapan (Hj. Ishak Saat, 2005).


Rujukan :

Hj. Ishak Saat (2005). Sejarah Sosial Masyarakat Melayu. Selangor : Karisma Publication Sdn. Bhd.




Friday 21 June 2013

Kisah Lembing Awang Pulang Ke Dayang : Berlaku Di Johor Pada Abad Ke-19

Peristiwa 'Lembing Awang Pulang Ke Dayang' adalah suatu tragedi yang memilukan berlaku di Parit Raja Laut, Muar kira-kira pada akhir abad ke-19 (Matlob dan Zam Ismail, 2002). Kawasan tersebut termasuk dalam daerah Padang (Parit Bakar ke Bukit Mor) yang diperintah oleh Orang Kaya Aris anak Orang Kaya Mohd Yassin zuriat Daeng Seriuk. Daeng Seriuk menjadi pemerintah Padang dengan gelaran "Orang Kaya" pada tahun 1703 (Matlob dan Zam Ismail, 2002).

Menurut Matlob dan Zam Ismail (2002), Awang dan Dayang adalah pangkat sepupu sebelah ibu. Ibu Dayang kakak kepada ibu Awang. Mereka ditunangkan memandangkan Dayang meningkat remaja (Puteri) dan ramai pemuda yang meminatinya. Seperti adatnya, Awang terpaksa menyediakan wang belanja sejumlah RM370.07 dan sehelai kain mastuli tenunan Orang Bugis sebagai hantarannya. Mereka mengikat janji selama 3 tahun untuk memberi peluang Awang mencari wang belanja dan membeli kain mastuli dari Makassar.

Tambah mereka lagi, Awang telah belayar ke Siak lalu ke Makassar dan bekerja di sana. Kebetulan ada perlawanan Catur di Raja diadakan di Makassar dengan hadiah sepasang Lembing Sakti iaitu (sebilah jantan dan sebilah betina). Awang memasuki pertandingan tersebut dan telah memenanginya. Setelah berhasil mengumpul wang belanja dan kain mastuli, Awang pun segera belayar pulang membawa sepasang lembing kurnia Raja Bugis itu.

Ketika Awang sampai ke kampungnya, didapati orang sedang sibuk menunggu ketibaan pengantin lelaki di rumah Dayang. Rupanya Dayang sudah terlepas ke tangan orang lain iaitu seorang murid Panglima Hitam bekas Ketua Lanun di Tanjung Tohor (Matlob dan Zam Ismail, 2002). Walaupun Awang sedar kepulangannya sudah terlewat 5 bulan dari tarikh perjanjian, namun hatinya kesal kerana keluarga Dayang tidak mengirakan hal pelayaran di laut yang tidak menentu itu (Matlob dan Zam Ismail, 2002).

Dengan mata lembing betina yang terbungkus rapi, ia ke rumah Dayang. Hatinya pilu dan sayu mengenangkan Dayang terlepas ke tangan orang yang tidak disukainya. Ketika pengantin lelaki di usungan, Awang mengeluarkan lembing lalu meradak perut pengantin itu. Tiba-tiba, mata lembing betina itu tercabut sendiri dari perut pengantin lelaki itu lalu menikam satu demi satu pengiringnya. Kemudian melarat kepada orang lelaki yang lain sehingga ke sisi pelamin (Matlob dan Zam Ismail, 2002).

Kebetulan pada waktu itu, ayah Dayang berada di sisi anaknya. Lembing itu terus menujah ke perut ayah Dayang iaitu lelaki yang ke-99 menjadi korban mata lembing betina tersebut. Sebelum menghembuskan nafasnya yang terakhir, beliau mencabut mata lembing itu dari perutnya lalu menyerahkan kepada Dayang. Dalam suasana yang mengharukan, Awang meninggalkan kampungnya buat selama-lamanya (Matlob dan Zam Ismail, 2002).

Kesan kubur panjang yang memuat 99 mayat itu terdapat di Dusun Tua terletak di Parit Besar dengan Parit Raja Laut. Lembing kepunyaan Awang masih tersimpan dalam tangan orang yang berhak, dan di antaranya (mata lembing jantan-betina) terpaksa dipisahkan agar tidak menimbulkan sebarang masalah kepada penjaganya.

Persoalannya ialah, Siapakah murid Panglima Hitam bekas Ketua Lanun di Tanjung Tohor tersebut ?


Rujukan :

Matlob dan Zam Ismail (2002). Imbasan Peristiwa Bersejarah Johor. Johor : Yayasan Warisan Johor Sdn. Bhd.






Thursday 20 June 2013

Aristippus dan Democratus : Pengasas aliran ' Hedonisme '

Dalam satu tinjauan moral dan budaya terhadap hedonisme dalam kalangan generasi muda, mendapati budaya hedonisme merupakan fenomena kefahaman tingkah laku yang sememangnya terjadi di negara berkembang maju. Menurut Achmad Charris Zubair, budaya hedonisme sedang menular dan menyerang moral masyarakat kini terutama generasi muda.

Hedonisme merujuk fahaman golongan manusia yang mementingkan kesenangan dan kemewahan fizikal semata-mata. Hedonisme merupakan istilah yang berasal dari Bahasa Latin disebut 'hedone' yang bermaksud kesenangan. Hedonisme pada prinsipnya menitik beratkan keperluan jasmani daripada rohani.

Dalam sejarah Yunani Kuno, tokohnya Democratus yang membawa aliran hedonisme memandang kesenangan adalah tujuan utama di dalam kehidupan setiap manusia. Bagi Aristippus pula yang merupakan pengikut Socrates berpendapat bahawa kesenangan merupakan satu-satunya perkara yang ingin dicari oleh manusia. Tambahnya, orang yang bijaksana selalu berusaha sedaya mungkin untuk memiliki kesenangan, sebab kesakitan adalah suatu pengalaman yang tidak menyenangkan.

Achmad Charris Zubair menyatakan bahawa hedonisme moden tidak dapat dipisahkan dari perkembangan antroposentrisme  dan positivsm pada abad pertengahan sebagai reaksi terhadap gereja yang secara autoritinya mengembangkan hegemoninya ke atas wilayah akal budi manusia. Ia disusuli gerakan renaisans, humunisme dan rasionalisme, bahkan ateisme-materialisme yang mencapai puncak pada abad ke-18, dikenali sebagai Zaman Enlightenment.

Akhirnya, muncul tanggapan bahawa agama menjadi penghalang perkembangan autonomi manusia sebagai terbentuk fahaman sekularisme yang menjadi sumber moral manusia moden. Modenisasi barat dimulakan oleh industrialisasi  yang secara implicit menjadi punca kehilangan nilai-nilai tradisional. Secara faktualnya, nilai-nilai tradisional itu adalah nilai agama dan nilai rohaniah (Arif Awang, 2008).

Hedonisme saat ini merupakan fahaman perilaku yang khas Negara Maju. Pemilikan barang-barang terkini yang bercirikan teknologi cangggih adalah ciri kemodenan dan ia prestasi yang harus dikejar dan kerana itu prestij tersendiri. Simbol-simbol seperti arsitektur rumah kediaman, pusat membeli-belah, pusat hiburan, makanan moden, gaya hidup, itu harus meniru bangsa moden dan identiti barat (Arif Awang, 2008). Tanggapan itu telah meresap ke setiap lapisan masyarakat termasuk pemimpin, pejabat, ibu bapa dan generasi muda. Ukuran kejayaan hidup tidak lagi berasaskan keunggulan rohaniah, sebaliknya pada kelebihan jasmaniah semata-mata. Akibatnya norma menjadi rapuh, kerana apa pun dapat dilakukan untuk menuju kejayaan bidang kebendaan dan jasmani (Arif Awang, 2008).

Generasi muda adalah pewaris masa depan dan oleh itu wajar jika diisi kehidupan mereka untuk mencapai jatidirinya. Sehubungan itu, perlu ada bimbingan normative rohaniah melalui pemahaman dan penghayatan agama sekali gus elak sampai mereka kehilangan ikon yang dapat dicontohi kebaikannya. Gambaran masa depan negara, dapat dilihat dari perilaku generasi muda yang hidup saat ini.


Rujukan :

Arif Awang (2008). Haluan : Membangun Minda, Mendidik Hati. Pulau Pinang : Percetakan Fadhilat.



Tuesday 18 June 2013

Nama Asal Sultan Mansur : Sultan Terengganu 1740M

Pada hari ini, penulis cuba menyingkap kisah sejarah lampau dalam buku sejarah Terengganu Darul Iman. Kira-kira pada tahun 1739M, semasa Yang Dipertuan Raja Kechik (Sultan Mansur) berada di Riau baginda  telah berkahwin dengan Raja Bakul Puteri Yam Tuan Muda Daeng Chelak kemudian tidak beberapa lama pula baginda berkahwin dengan Raja Bulang puteri Sultan Sulaiman dengan istiadat kebesaran raja-raja (Buku Sejarah Terengganu Darul Iman). Sebelum dari tarikh itu, kira-kira dalam tahun 1735 Sultan Sulaiman berada di Kuala Terengganu, dan dilangsungkan perkahwinan anak saudaranya yang bernama Tun Abdul Majid (anak Bendahara Tun Abas) dengan Tun Enah anak bendahara Tun Husain Terengganu (Buku Sejarah Terengganu Darul Iman).

Semasa Sultan Sulaiman berangkat balik ke Riau di akhir tahun 1735, baginda Sultan Mansur berangkat sama. Dalam tahun 1740 baginda berangkat ke Muar kerana mengiringi Sultan Sulaiman. Adalah diceritakan dalam tahun itu juga Sultan Sulaiman berangkat ke Terengganu bersama puteranya Raja Ibrahim, Tun Sulong Muda, Tun Abdul Majid (anak saudaranya), Tun Pasang, Tun Hassan Indera Bungsu dan beberapa orang pembesarnya mengikut serta kerana pertabalan Sultan Mansur menjadi Sultan Terengganu (Buku Sejarah Terengganu Darul Iman). Selepas tujuh minggu dari ketibaan Sultan Sulaiman di Kuala Terengganu, maka Long Pandak dari Kelantan dengan diiringi oleh pembesarnya telah tiba mengadap Sultan Sulaiman dan beliau telah dianugerah dengan gelaran Datuk Seri Maharaja.

Lebih kurang 5 bulan Sultan Sulaiman berada di Negeri Terengganu lalu berangkat ke Riau dengan diiringi oleh menantunya Sultan Mansur, Bendahara Tun Husain dan beberapa orang pembesar Terengganu. Sultan Mansur telah berangkat pulang ke Terengganu selepas berada di Riau lebih kurang dua tahun dan berangkat sekali lagi ke sana di dalam tahun 1746M (Buku Sejarah Terengganu Darul Iman).

Oleh itu, berdasarkan daripada buku tersebut, jelas bahawa nama asal Sultan Mansur adalah Yang Dipertuan Raja Kechik.


Rujukan :

Buku Sejarah Terengganu Darul Iman.