Tuesday 28 May 2013

Kisah Semerluki : Disuruh Merompak Ke Ujong Tanah

Pada hari ini, pengkaji terus menyingkap Sejarah Lampau pada zaman dahulu. Hari ini, pengkaji cuba menceritakan kisah Semerluki dalam Sejarah Melayu (Sulalatus Salatin). Menurut A. Samad Ahmad dalam Sulalatus Salatin ada menceritakan bahawa :

Alkisah maka tersebutlah perkataan, ada sebuah negeri di Tanah Mengkasar, Meluluki namanya, Keraeng Majiko nama Rajanya ; terlalu besar kerajaan Raja itu, segala negeri di tanah Mengkasar itu takluk kepadanya. Maka ia beristerikan anak Keraeng di Tandering Jikamak tujuh bersaudara. Ketujuhnya dibuat isteri oleh baginda itu ; akan puteri yang bongsu itu terlalu baik parasnya. Adapun puteri yang tua sekali beranak seorang lelaki, dinamai ayahandanya Semerluki. Berapa lamanya Semerluki pun besarlah ; terlalu berani, lagi dengan perkasanya tiada berbagai dalam Tanah Mengkasar itu.

Pada suatu hari, Semerluki masuk mengadap ibunya, ia terpandang kepada emak bongsunya itu ; maka Semerluki pun berahi hendakkan emak bongsunya itu. Maka Keraeng Majiko pun tahu akan kelakuan anaknya itu. Maka tiadalah diberi oleh Keraeng Majiko, katanya pada Semerluki, "Bagaimana engkau hendakkan emak bongsumu ? Kerana ia saudara emakmu, isteri kepada aku. Jikalau engkau hendak beristeri baik paras, pergilah engkau merompak ke Ujong Tanah ; di sana banyak perempuan yang seperti kehendakmu, dan yang lebih daripada emak bongsumu itu."

Maka Semerluki pun berlengkaplah ; 200 banyaknya kelengkapan pelbagai rupa perahu. Setelah sudah lengkap, maka Semerluki pun pergilah, kasadnya hendak mengalahkan segala negeri di bawah angin ini. Pertama-tama ia pergi ke Jawa, banyak dirosakkannya jajahan Jawa ; tiada berani orang mengeluari dia. Maka Semerluki pun lalu ke Siam, banyaklah teluk rantau Siam dialahkannya, tiada juga dikeluari orang Siam.

Maka lalulah ia ke laut Ujong Tanah, dirosakkannya segala teluk rantau jajahan Melaka. Maka dipersembahkan orang kepada Sultan Mansur Syah, "Berapa segala jajahan kita banyak binasa oleh Raja Mengkasar yang bernama Semerluki itu." Maka baginda pun menitahkan Laksmana pergi memairi Semerluki. Maka Laksmana pun berlengkaplah. Setelah sudah lengkap, maka Semerluki pun datanglah ke laut Melaka. Maka Laksmana pun keluarlah dengan segala kelengkapan. Setelah bertemu lalu berperang berlanggar-langgaran ; rupa panah dan sumpitan seperti hujan yang lebat. Maka banyaklah kelengkapan Mengkasar yang rosak oleh kelengkapan Melaka.

Maka perahu Laksmana bertemulah dengan perahu Semerluki. Maka oleh Semerluki disuruhnya campaki sauh terbang ke perahu Laksmana, lekat ; maka disuruhnya putar, maka oleh Laksmana disuruhnya tetas, sambil bertikam. Maka kelengkapan Semerluki pun banyaklah alah oleh kelengkapan Laksmana ; tetapi Orang Melaka banyak mati oleh sumpitan, kerana pada masa itu Orang Melaka belum lagi tahu akan tawar ipuh.

Beberapa persoalan timbul di sini. Adakah Laksmana yang dimaksudkan itu adalah Laksmana Hang Tuah ? Adakah Raja Mengkasar yang menyerang Melaka itu merupakan keturunan Hang Tuah ? Ini kerana Hang Tuah dikatakan oleh A. Samad Ahmad yang ditulis oleh penulis sebelum ini berasal dari Tanah Mengkasar. Wallah hualam Bisawab.


Rujukan :

A. Samad Ahmad (2008). Sulalatus Salatin (Sejarah Melayu). Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka.


Monday 27 May 2013

Daeng Mempawah Nama Asal Hang Tuah

Hari ini, pengkaji terus menyelongkar Sejarah Lampau. Kali ini, penulis cuba berbicara mengenai asal usul Hang Tuah yang dikatakan Pahlawan Melayu pada zaman dahulu. Menurut A. Samad Ahmad dalam Sulalatus Salatin ada menyebut dari mana Hang Tuah berasal. Berikut adalah kenyataan beliau :

Maka sembah Seri Bija Pikrama, " Sebenarnyalah titah tuanku itu ; yang titah paduka adinda pun demikian juga, tuanku." Adapaun anak Raja Bajung itu Daeng Mempawah namanya ; umurnya baru dua belas tahun. Diceritakan orang yang empunya ceritera, sudah dua ia membunuh, mengembari orang mengamuk di negeri.

Setelah ke esokan hari, maka utusan kedua itu pun naiklah mengadap Raja Mengkasar, didapatinya Raja di Goa telah pepak diadap orang. Maka Seri Bija Pikrama dan Tun Sura Diraja pun duduk menyembah. Maka oleh Raja di Goa utusan kedua itu dipersalini dengan sepertinya. Maka keduanya menyembah. Maka titah Raja di Goa, "katakan kepada saudaraku, Orang Kaya, akan Daeng Mempawah ini pertaruhku Orang Kaya kedua kepada saudaraku, Raja Melaka. Perhamba ia baik-baik, dan kalau ada sesuatu yang dikehendaki oleh saudaraku, Raja Melaka, dalam Mengkasar ini menyuruh ia kepada aku." Maka sembah utusan kedua itu, "Baiklah tuanku."

Hatta berapa lamanya di jalan, maka sampailah ke Melaka. Maka dipersembahkan orang kepada Sultan Mansur Syah, mengatakan Seri Bija Pikrama telah datang. Maka baginda pun keluarlah, semayam diadap segala Orang Besar-Besar dan hulubalang sida-sida, bentara, biduanda, hamba raja sekalian. Maka surat itu disuruh baginda sambut dengan istiadatnya. Maka Seri Bija Pikrama dan Tun Sura Diraja pun bersama-sama baginda, serta membawa Daeng Mempawah.

Maka Sultan Mansur Syah pun terlalu suka, serta berkenan baginda memandang rupa dan sikapnya Daeng Mempawah itu, Maka titah baginda, "Bagaimana maka Raja Mengkasar berkirimkan anak Raja Bajung ini ?" Dilanggarkah Raja Bajung maka anaknya tertawan ini ?"

Maka sembah Seri Bija Pikrama, "Tiada Tuanku, Raja Mengkasar bertanya kepada patik akan kegemaran duli tuanku, maka patik katakan gemar akan budak yang baik rupa." Maka semuanya perihal ehwalnya habis dipersembahkannya ke bawah duli Sultan Mansur Syah. Maka baginda pun suka, serta Seri Bija Pikrama dipuji baginda. Maka Daeng Mempawah itu dinamai baginda Hang Tuah. Maka dipeliharakan oleh baginda dengan sepertinya, terlalu kasih baginda akan Hang Tuah, maka dianugerahi akan dia sebilah Keris Tempa Melaka dengan selengkap perhiasannya.

Adapun 'perhangan' ke bawah duli Sultan Mansur Syah yang setelah sudah pilihan delapan orang, iaitu Hang Jebat, Hang Kasturi, Hang Lekir, Hang Lekiu, Hang Ali, Hang Iskandar, Hang Hassan dan Hang Husssin serta tua-tuanya Tun Bija Sura, menjadi sembilan dengan Hang Tuah. Sekaliannya berkasih-kasihan, muafakat, sama berilmu, tetapi kepada barang main tewas semuanya oleh Hang Tuah. Demikianlah diceriterakan oleh yang empunya ceritera.

Kesimpulannya, nama asal Hang Tuah ialah Daeng Mempawah anak daripada Raja Mengkasar. Jika dilihat nama asal Hang Tuah iaitu "Daeng", beliau adalah berketurunan Bugis. Seperti juga Daeng Kemboja, Daeng Chelak, Daeng Parani, Daeng Merewah dan lain-lain.


Rujukan :

A. Samad Ahmad, 2008. Sulalatus Salatin : Sejarah Melayu. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka.




Sunday 26 May 2013

Panglima Awang @ Enrique

Hari ini, penulis cuba menceritakan tentang "Orang Islam Pertama menjadi murtad pada Zaman Penjajahan" iaitu Panglima Awang. Namanya dalam Kristian ialah Enrique. Ada beberapa pandangan mengenai asal-usul Panglima Awang dalam buku sejarah. Berikut adalah pandangan-pandangan mereka  :
  1. Menurut Catatan Antonio Pigaffeta seorang sukarelawan berbangsa Itali turut serta belayar bersama Ferdinand Magellan telah menyatakan bahawa : Enrique adalah seorang Melayu yang ditangkap dan dijadikan hamba dalam kapal. Enrique dikatakan berasal dari 'Zamatra' atau Sumatera.
  2. Menurut Pandangan Sejarawan yang lain : Enrique merupakan seorang hamba dari Sumatera yang telah dibeli  dipasar Melaka. Beliau telah di baptis dan diberi nama Enrique.
  3. Ada juga ahli Sejarawan berpendapat bahawa : Enrique merupakan seorang penduduk Cebu, Filipina yang bekerja di Melaka semasa Portugis menyerang Melaka pada tahun 1511. Enrique dibawa dari Cebu ke Melaka dan diberi nama Enrique of Malacca. Ini dibuktikan dengan bahasa yang digunakan oleh Enrique iaitu Visaya bahasa yang digunakan di Cebu, Filipina.
Walau bagaimanapun, dalam buku ilmiah yang ditulis oleh Abu Talib Ahmad  ada mengatakan bahawa :

"Harun Aminnurrashid experimented with a special way of instilling historical consciousness by writing a novel, Panglima Awang, based on historical facts he obtained from two essays, similar in content, were about a Malay Seaman who was acclaimed as the first person to have sailed around the world for the simple reason that he had followed Ferdinand Magellan on the later historic trip. But Ferdinand Magellan did not complete the trip as he was murdered in the Philippines, and it was the Malay Seaman, known as 'Enrique' in the news-paper essays, who completed the journey. By rights therefore, Enrique should be recognized as the first person to have sailed around the world. Harun Aminnurrashid  suggested that it was western prejudice that had denied Enrique that honor and proposed, it is the duty of historians of the Malay race who have become independent to revise our history, which has been suppressed for about five centuries by western colonialist and it is. Most proper to trace  the background of Enrique. Harun's aim in writing Panglima Awang as a historical novel was to present history from the native point of the view. The book describes the famous adventure as an imaginary trip by the Seaman Awang, a common Malay name chosen to suggest that he could be any person who was an expert sailor,".

Dalam satu kenyataan lain yang berbunyi :

Ferdinand Magellan was able to communicate with the native peoples because his Malay interpreter, Enrique, could understand their language. Enrique was indentured by Magellan in 1511 right after the sacking of Malacca, and was at his side during the battles in Africa, during Magellan's disgrace at the King's court in Portugal, and during Magellan's successful raising of a fleet. They traded gifts with Raja of Mazua who guided them to Cebu.

Dalam Sejarah Melayu pula yang ditulis oleh A. Samad Ahmad ada menyatakan perkara berikut biarpun ia kurang jelas diceritakan. Menurutnya :

"Maka segala cucu-cicit yang duduk hampir Bendahara Lubuk Batu, budak-budak belaka ; maka kata Bendahara Lubuk pada seorang cucunya, Awang, Awang, hendakkah  sepah ?". Maka sahut cucunya, "Mahu, Datuk." Maka kata Bendahara, "Tumbukkan aku sirih," Maka ditumbukkan oleh cucunya, diberikan kepada Bendahara ; Maka dikunyah-kunyah oleh Bendahara Lubuk Batu, diberikannya kepada cucunya. Maka ia memandang pula pada seorang lagi cicitnya, katanya,"Engkau hendakkan sepah ?". Maka sahut cicitnya, "Mahu Datuk," maka kata Bendahara Lubuk Batu, "Tumbukkanlah aku sirih ; maka ditumbukkannya sirih, diberikannya pada Bendahara, maka dikunyahlah oleh Bendahara, diberikannya pada cicitnya. Demikianlah sudah seorang, seorang pula."

Begitulah kisah Panglima Awang pada zaman lampau. Namun asal-usulnya belum jelas lagi ditemui. Walau bagaimanapun, Adakah nama Awang yang terdapat dalam Sejarah Melayu itu adalah Panglima Awang ? Wallah hu alam Bisawab.

Rujukan :

Abu Talib Ahmad (2003). New Terrains In Southeast Asian History. Singapore : National University of Singapore.

A. Samad Ahmad (2008). Sejarah Melayu (Sulalatus Salatin). Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka.