Thursday 20 February 2014

Sejarah II : Anak Sang Rajuna Tapa Difitnah Dan Disula

Hari ini, pengkaji menyingkap pula kisah sejarah yang berlaku di Singapura iaitu kisah mengenai puteri Sang Rajuna Tapa yang difitnah oleh dayang istana. Raja Iskandar Syah pula tanpa usul periksa telah menjatuhkan hukuman sula kepada anak Sang Rajuna Tapa.

Menurut Ismail Ahmad (2005), kisahnya bermula apabila perempuan kesayangan Raja Iskandar Syah iaitu anak kepada Sang Rajuna Tapa telah difitnah. Fitnah itu datangnya dari dayang-dayang istana yang iri hati terhadap anak Sang Rajuna Tapa yang menjadi kesayangan Raja Iskandar Syah. Dayang istana itu telah menabur fitnah kononnya anak Sang Rajuna Tapa itu telah bermukah. Fitnah itu akhirnya sampai ke pengetahuan Raja Iskandar Syah. Baginda amat marah dan kesal. Oleh kerana baginda teramat marah, tanpa usul periksa baginda telah memanggil menterinya.

"Sudahkan Datuk mendengar berita itu ?" Soal Raja Iskandar Syah.
"Ada tuanku, patik ada mendengar berita itu, akan tetapi apakah benar atau fitnah, patik tidak tahu," jawab menterinya.
"Ada orang yang menconteng arang di muka beta, orang yang amat beta kasihi lebih daripada yang lain-lain telah melakukan perbuatan yang terkutuk, inikah balasannya kepada beta." sahut Raja Iskandar Syah. Melihat tingkah Raja Iskandar tidak begitu marah, menterinya pun cuba menyejukkan hatinya.
"Tuanku, ada baiknya kalau diperiksa berita itu. Patik takut-takut itu fitnah belaka," kata menterinya.
"Perbuatannya itu balasannya adalah sula," kata Raja Iskandar Syah. "Perbuatannya itu balasannya adalah sula," ulang baginda.
Menterinya terperanjat dan cuba bersuara akan tetapi Raja Iskandar berkata lagi. "Esok sebelum terbit matahari, pergilah bawa perempuan itu, sula di hujung pasar. Biarlah itu menjadi pengajaran kepada yang lain-lain."
Tiba-tiba menterinya bersuara. "Tuanku, ada baiknya tuanku fikirkan masak-masak perkara ini. Jangan mengambil keputusan secara membabi buta sahaja."
"Datuk Menteri! Tunaikan apa yang beta katakan tadi. Beta tidak mahu mengulangnya lagi. Cukuplah beta berkata setakat itu. Pergilah! Biarkan beta seorang diri di sini."

Berita tersebut sampai ke telinga Sang Rajuna Tapa. Berita itu amat menggemparkan dan semua anggota keluarga Sang Rajuna Tapa penuh dengan kesedihan. Sang Rajuna bersuara, "Fitnah! Fitnah! Ini semua Fitnah! Lalu dia bangun mendapatkan utusan yang datang dari istana itu. Utusan itu dihantarkan secara sulit oleh Datuk Menteri dan meminta Sang Rajuna agar bersabar.

Fajar terbit membawa kejadian yang amat malang kepada keluarga Sang Rajuna Tapa. Puterinya (anaknya) yang di bawa oleh Datuk Menteri akhirnya telah mati disula di hujung pasar yang disaksikan oleh orang ramai. Seluruh rakyat Singapura bersugul kecuali si pemfitnah kelihatan gembira seolah dendam telah terbalas.

Kejadian itu telah menyebabkan Sang Rajuna Tapa telah bersekongkol dengan Majapahit melalui utusan surat yang dikirimnya ke Betara Majapahit. Beliau memberitahu bahawa jika Majapahit ingin menyerang Singapura, inilah masanya. Masanya sudah tiba dan satu peluang untuk menyerang Singapura sudah terbuka. Dan selepas itu, Sang Rajuna Tapa menunggu kedatangan angkatan tentera Majapahit yang menyerang Singapura (Ismail Ahmad, 2005).

Dalam pertempuran itu, tentera Majapahit dan orang-orang Jawa telah berjaya mengalahkan Singapura. Raja Iskandar Syah telah berundur dan menuju ke arah utara. Tentera Majapahit dan orang Jawa itu telah pun kembali ke Majapahit setelah mengalahkan Singapura.


Rujukan :

Ismail Ahmad. 2005. Cerita-Cerita Sejarah Melayu. Pahang : PTS One Sdn. Bhd.



No comments:

Post a Comment