Monday 9 December 2013

Fakta Dan Realiti Sejarah

Fakta ialah pernyataan tentang kejadian yang berlaku sama ada yang disediakan oleh akhbar dan sumber-sumber lain. Fakta merupakan nadi ataupun tulang belakang bagi sejarah. Sekiranya fakta tidak ada, maka bermakna seseorang itu seoalah-olah bercakap kosong sahaja. Fakta mempunyai hubungan yang erat dengan sumber kerana daripada sumber lahirnya fakta (Arba'iyah Mohd Noor, 2006).

Sejarah yang telah berlaku tidak akan diulang atau dialami semula tetapi kesannya yang menjadi memori kepada kita untuk diungkapkan kembali. Bentuk pengungkapan kembali tentang kejadian itu adalah pernyataan. Fakta terhasil daripada proses ingatan ahli-ahli sejarah. Jadi, fakta merupakan suatu perkara yang subjektif pada hakikat yang sebenarnya kerana fakta adalah bentuk gambaran atau cerita atau konstruk (pembentukan) yang dilakukan oleh sejarawan (Arba'iyah Mohd Noor, 2006).

Tambah beliau lagi, banyak pendapat yang mengatakan bahawa fakta tidak boleh berubah [sifatnya tetap] tetapi sebenarnya terdapat fakta yang masih belum mantap. Misalnya, fakta tentang pembunuhan John F. Kennedy yang masih menjadi kontroversial iaitu tentang siapakah pembunuh sebenarnya dan akibat daripada kontroversial itu, timbulnya banyak teori yang berbeza tentang peristiwa tersebut.

Terdapat juga fakta tetap seperti tarikh pengisytiharan kemerdekaan Malaysia pada 31 Ogos 1957 yang diterima umum dan tidak berubah. Oleh itu, boleh dikatakan bahawa fakta ialah bahan utama yang digunakan oleh sejarawan untuk menyusun suatu cerita atau analisis sejarah. Fakta adalah suatu konstruk yang dibuat oleh sejarawan yang mengandungi fakta subjektif iaitu unsur subjek [penulis ialah unsur subjek]. Dari itu, sukar untuk mempercayai sama ada suatu fakta itu benar atau sebaliknya kerana fakta ialah perkara yang ditulis atau disusun oleh penulis [subjek]. Contohnya, sesetengah sejarawan mendakwa orang Iranun adalah lanun sedangkan segelintir orang Melayu, Bugis, Jawa, Cina, Sulu, Dayak Laut, Iban, Brunei, Bajak Laut, Samal dan Orang Laut juga terlibat dalam aktiviti pelanunan. Amat tidak wajar jika orang Iranun sahaja dilabel sebagai lanun.

Kemungkinan berlakunya penyelewengan fakta, sama ada fakta tersebut ditokok tambah atau dikurangkan mungkin tinggi. Misalnya, banyak fakta sejarah zaman klasik telah dicampuradukkan dengan cerita fiksyen atau cerita rekaan dan fakta tersebut tidak dapat diterima secara logik. Ini kerana cerita rekaan itu diselitkan dengan tujuan untuk menyedapkan fakta atau jalan cerita tertentu. Atas dasar inilah Ranke cuba menegaskan bahawa tugas sejarawan adalah untuk mengungkapkan sesuatu yang sebenarnya telah terjadi. Dengan penegasan ini beliau seolah-oleh menganggap bahawa setiap fakta adalah bersifat objektif (Arba'iyah Mohd Noor, 2006).

Menurut Arba'iyah (2006) lagi, beliau tidak bersetuju dengan pandangan Ranke kerana kita tidak boleh mengatakan bahawa sesuatu fakta itu merupakan fakta yang setepat-tepatnya. Ini kerana agak sukar bagi kita untuk menemui sesuatu fakta itu tepat [objektif] disebabkan fakta yang keras agak sedikit berbanding dengan fakta-fakta yang kontroversial dan yang ditokok tambah. Selain itu, fakta-fakta yang tidak tepat ini sering diarah berdasarkan nilai-nilai tertentu seperti nilai etika dalam agama, kelas sosial, ras dan ideologi

Tegas beliau lagi, fakta sememangnya mempunyai kaitan dengan nilai. Faktor nilai menentukan relevansinya fakta dengan konteks sejarah. Apabila nilai-nilai dibiarkan mempengaruhi pergolakan fakta, maka subjektivisme akan memain peranan utama dan akan menyebabkan fakta menjadi tidak benar.

Persoalan fakta dan realiti sejarah pula berkait dengan pemahaman manusia tentang konsep kebenaran sejarah. Apakah yang dinamakan kebenaran dan bagaimana menilai sama ada sesuatu perkara itu benar ataupun palsu ? Dalam falsafah Barat, teori tentang kebenaran yang dipegang ramai ialah correspondence theory of truth. Menurut teori ini, sesuatu kebenaran itu dapat dinilai melalui fakta yang diutarakan itu bertepatan dengan realiti diluarnya. Sekiranya perkara itu tidak berlaku dengan sebenar-benarnya, maka tahap kebenaran fakta itu akan berkurangan tetapi fakta itu tetap diterima.

Dalam perspektif Islam pula, penulis-penulis Islam kebanyakannya menulis tentang sejarah Islam dengan menggunakan sumber-sumber atau fakta-fakta yang benar seperti al-Quran dan as-Sunnah sebagai rujukan. Ini kerana dalam Islam, kebenaran (al-haq) bukan sekadar perkara yang berkaitan dengan kenyataan di luar sahaja tetapi merujuk realiti dan hakikat sesuatu. Realiti merujuk sesuatu yang berlaku dan hakikat merujuk sesuatu yang sepatutnya berlaku. Kedua-duanya tidak boleh menyalahi kebenaran yang dibawa oleh al-Quran dan as-sunnah. Jika berlaku perkara yang menyalahi hakikat sebenarnya, maka fakta tersebut merupakan fakta yang bersifat batil (Arba'iyah, 2006). 

Oleh itu, penulis-penulis Islam disarankan agar berpegang teguh kepada nilai-nilai akhlak keagamaan yang mutlak seperti jujur, ikhlas dan amanah agar tidak melakukan kesilapan dalam membuat pentafsiran terhadap fakta-fakta sejarah yang terdapat dalam al-Quran dan as-Sunnah.


Rujukan :

Arba'iyah Mohd Noor (2006). Ilmu Sejarah Dan Pensejarahan. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka.