Wednesday 12 February 2014

Sejarah : Pengaruh Barat


Kuasa barat terutamanya British telah menjajah Tanah Melayu lebih daripada 400 tahun. Antara kesan yang paling ketara ialah negeri-negeri Melayu, mengutamakan sistem pemerintahan dan perundangan British walaupun membenarkan orang Melayu mengamalkan Islam (Anwar Ridhwan, 2005). Secara tidak langsung, dengan meletakkan agama Islam di bawah kuasa raja Melayu, pihak British terus menguasai politik, pemerintahan, perniagaan dan lain-lain mengikut cara mereka seperti yang mereka sendiri amalkan di negara mereka. Inilah sekularisme yang diperkenalkan kepada orang Melayu tanpa disedari.

Walaupun demikian, terdapat pertentangan daripada kelompok tertentu khususnya kalangan yang berpendidikan Islam dari Timur Tengah dan sekolah pondok. Mereka mungkin tidak sedar bahawa sekularisme sedang menular, tetapi yang jelas kepada mereka banyak yang tidak kena (Anwar Ridhwan, 2005). Misalnya pendidikan agama terabai, undang-undang Islam tidak digunakan dan amalan agama semakin berkurangan. Ramai juga orang Islam yang terpengaruh dengan cara hidup orang barat. Masjid-masjid tidak dikunjungi, kemungkaran berleluasa, kod pakaian Islam tidak diikuti oleh lelaki mahupun perempuan, semuanya ini dibolehkan kerana tidak mengganggu kepercayaan kepada Islam, kononnya. Berbahasa Inggeris merupakan suatu kebanggaan. Belajar di sekolah Inggeris lebih tinggi nilainya (Anwar Ridhwan, 2005).


Rujukan :

Anwar Ridhwan. 2005. Minda Melayu, Pengaruh Barat. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka.