Saturday 4 January 2014

Cabaran Umat Islam : Cabaran Akidah, Undang-Undang Islam dan Politik

Pejam celik, pejam celik akhirnya kita melangkah ke Tahun baru 2014. Apabila berada di tahun baru, sudah pastinya tahun lalu 2013 menjadi kenangan dalam hidup samaada ia meninggalkan satu kenangan pahit ataupun sebaliknya. Setiap manusia akan menghadapi cabaran hidup. Itulah lumrah kehidupan. Begitu juga seluruh umat Islam yang berada di muka bumi ini akan menghadapi pelbagai cabaran dan rintangan. Antara cabaran-cabaran tersebut adalah :

(i) Cabaran Sekularisme 
Sekularisme merupakan ancaman besar terhadap umat Islam. Menurut Sayyid Qutb, ia merupakan fahaman yang cuba memisahkan urusan keduniaan dengan urusan akhirat. Ia meninggalkan peranan agama dan Tuhan daripada segala urusan kehidupan manusia. Dalam takrif ini, ia juga memberi  maksud memisahkan ilmu pengetahuan daripada pengaruh dan tuntutan agama secara mutlak. Tegas beliau lagi, Islam menentang fahaman ini kerana, pertama konsep yang diketengahkan itu jauh terasing daripada Islam yang sebenar sama ada yang berkaitan tentang aktiviti kehidupan mahupun cara beribadat. Masyarakat Islam mempunyai had-had tertentu yang berada dalam lingkungan bidang kuasa syariah yang amat jauh berbeza dengan fahaman sekularisme. Kedua, Islam menolak sama sekali fahaman sekularisme ini kerana ia berkonsepkan dualisme. Sebaliknya, Islam tertegak atas dasar tauhid. Sayyid Qutb menegaskan lagi bahawa dalam Islam adanya hubungan antara kehidupan dunia dan akhirat. Malah, kehidupan dunia penting bagi menentukan kehidupan di akhirat.

(ii) Cabaran Liberalisme
Menurut Sayyid Qutb, liberalisme merupakan aliran pemikiran yang bertujuan untuk menggugat kebebasan yang diberi kepada individu. Fahaman ini lebih memberikan kebebasan kepada individu dalam bidang ekonomi, politik, perundangan dan sosial. Menurut pandangan Zamihan Mat Zin (2013) pula, golongan Islam Liberal menganggap bahawa kenabian Rasulullah s.a.w hanyalah menggambarkan kemampuan seseorang manusia yang memimpin kelompok tertentu. Bagi mereka, sesiapa sahaja mampu mengambil alih sifat kenabian apabila memimpin manusia ke arah kebaikan malah golongan ini tidak menghormati ulama. Bagi mereka ulama hanyalah manusia biasa yang terikat kepada pentafsiran jumud ulama sebelumnya. Selain itu, ulama dianggap menyembah teks. Fahaman seperti ini juga adalah ditolak oleh ajaran Islam.

(iii) Cabaran Pluralisme
Fahaman pluralisme ini pula ialah semua agama adalah sama. Tiada beza di antara satu sama lain. Yang parahnya adalah Islam disamakan dengan agama-agama lain. Sebagai contoh, hak suami menjatuhkan talak boleh dilupuskan, kes penceraian hanya boleh diputuskan hakim mahkamah biasa, poligami dilarang, wanita diberikan hak sama rata dalam persaksian jenayah, kes hudud boleh diubah mengikut zaman, arak tidak haram jika tidak memabukkan, waktu ibadat seperti solat boleh diubah mengikut keperluan individu dan menutup aurat hanyalah peradaban di zaman awal Islam sahaja. Menurut Zamihan Mat Zin (2013), jelaslah bahawa aliran ini memberi ancaman besar terhadap ketulenan Islam. Ia produk barat yang bertentangan dengan akidah Islam bahkan boleh menjadikan seseorang itu sesat dan terkeluar daripada landasan agama.

(iv) Cabaran Kapitalisme
Dalam membicarakan soal Kapitalisme, Sayyid Qutb menjelaskan bahawa Islam menolak sistem Kapitalisme barat dengan alasan bahawa Kapitalisme itu teori ciptaan manusia. Ia banyak bertentangan dengan syariat ciptaan Allah s.w.t. Hanya peraturan Islam yang dianugerahkan oleh Allah s.w.t kepada manusia untuk menerapkan peraturan yang terbaik dan sesuai dalam masyarakat pada setiap zaman. Tegas beliau lagi, sistem Kapitalisme amat jauh terpesong dengan ajaran Islam kerana sistem ini membolehkan golongan kaya memakan riba dan menganggap riba suatu yang penting dalam kehidupan mereka. Islam melarang sama sekali amalan tersebut dalam segala bentuk.

(v) Cabaran Komunisme
Menurut  Mohd Kamil Majid (2010), Sayyid Qutb berpendapat bahawa aliran komunis sebagai masyarakat jahiliah. Keadaan ini disebut olehnya setelah melihat kepada beberapa sebab. Pertama, masyarakat komunis mengingkari Allah s.w.t dan kewujudannya sama sekali, mengembalikan corak kehidupan ekonomi dan penghasilannya. Kedua, masyarakat komunis membuat peraturan pengabdian yang hanya ditujukan kepada kumpulan tertentu, bukannya Allah s.w.t. Undang-undang Islam menolak fahaman komunisme kerana secara keseluruhannya, komunisme merupakan tindakan manusia untuk merebut hak Allah s.w.t. Manusia sebagai makhluk tentu tidak sanggup membuat undang-undang yang akan diterapkan kepada dirinya sendiri. Oleh itu, komunisme merupakan ancaman besar umat Islam yang boleh merosakkan akidah dan pemikiran.

Kesimpulannya, kesemua fahaman di atas merupakan satu ancaman kepada umat Islam dan boleh merosakkan akidah. Oleh itu, kita (semua umat Islam) dan pihak berwajib seperti JAKIM, Jabatan Agama Islam Negeri, Jabatan Mufti, Mahkamah Syariah, Pertubuhan Islam serta golongan cendikiawan Islam perlu bergabung tenaga dalam usaha menangkis dan membongkar penyelewengan golongan ini.


Rujukan :

Mohd Kamil Abd. Majid, Norafifah Abd. Hamid & Norhidayah Mohammad. 2013. Sayyid Qutb, Cetusan Idea Seorang Pejuang. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka.

Zamihan Mat Zin. 2013. Ancaman Liberalisme dan Pluralisme. Harian Metro 30/12/2013, halaman 12.




Sunday 29 December 2013

Jangan Pandang Rendah Orang Lain

Harian Metro, 30 Disember 2013 - Oleh Wan Jemizan Wan Deraman & Mohd Ridwan Roslan (Jabatan Pematuhan Syariah, Takaful Ikhlas Sdn. Bhd) : Hakikatnya semua manusia adalah sama, tanpa mengira sama ada seseorang itu memiliki harta, pangkat dan rupa paras ataupun tidak. Semua mempunyai hak dan amanah yang perlu ditunaikan dan disempurnakan. 

Walaupun seseorang itu membesar di rumah buruk yang kecil dan seorang lagi membesar di istana, sebenarnya ia tidak memberi sebarang perbezaan di sisi Allah s.w.t. Penilaian Allah s.w.t hanya terletak pada takwanya. Firman-Nya dalam surah al-Hujarat, ayat 13 yang bermaksud :

"Sesungguhnya semulia-mulia kamu disisi Allah ialah orang yang paling bertaqwa di antara kamu. Sesungguhnya Allah maha mengetahui lagi maha mendalam pengetahuan-Nya."

Jadi, mereka yang beriman kepada Allah hendaklah memandang mulia pada setiap orang. Ini kerana kita tidak tahu kedudukannya di sisi Allah s.w.t. Islam mencegah kita daripada merendahkan darjat orang lain, meremehkan dan mengungkit keburukan atau kekurangannya, apatah lagi sekiranya ia menjadi bahan ketawa seperti meniru-niru percakapan dan perbuatan dengan maksud menghina. 

Justeru, janganlah kita merendah-rendahkan orang lain dengan mengeji dan memperlekehkannya atau tidak memberi layanan baik kepadanya. Pernah suatu ketika Nabi Muhammad s.a.w ditegur Allah s.w.t kerana tidak mempedulikan sahabat yang buta, Abdullah bin Makhrum RA yang bertanyakan soalan kepada baginda s.a.w. Teguran itu dirakamkan dalam Surah Abasa, ayat 1 hingga 6 yang bermaksud :

"Dia memasamkan muka dan berpaling, kerana dia didatangi orang buta. Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui tujuannya, wahai Muhammad ? Barangkali dia mahu membersihkan hatinya (dengan pelajaran agama yang didapatinya daripadamu) ataupun dia mahu mendapat peringatan supaya peringatan itu memberi manfaat kepadanya. Adapun orang yang berasa keadaannya lebih cukup, tidak berhajat lagi (kepada ajaran al-quran), maka engkau bersungguh-sungguh melayaninya."

Pengajaran daripada ayat ini ialah kita perlu memberi layanan yang adil kepada semua manusia. Allah s.w.t mengharamkan kita berbuat zalim sesama manusia walaupun terhadap orang yang kita benci.

Namun senario dwistandard masih berlaku termasuklah dalam organisasi. Sering kali kita dapati apabila suatu permohonan dibuat seseorang berkedudukan, prosesnya pantas dan diberi layanan terbaik. Sebaliknya apabila permohonan itu daripada orang tidak berpangkat, prosesnya lama. Tidakkah kita merasakan ini juga adalah suatu kezaliman ?

Begitu juga sekiranya sebuah organisasi itu didominasi sesuatu bangsa atau kaum, kakitangan daripada bangsa lain akan disisihkan, malah tidak diberi layanan dan hak secara adil. Oleh itu, marilah kita menjauhi sikap suka memandang rendah pada orang lain. Anggaplah pangkat, kedudukan harta dan rupa paras itu sebagai pemberian daripada Allah s.w.t yang mungkin akan ditarik balik pada bila-bila masa sahaja.


Rujukan :

Harian Metro. 2013. Jangan Pandang Rendah Orang Lain. Halaman 12.





Isu Ikan Tamban Di Lahad Datu : Sengaja Cetus Panik

Harian Metro, 30 Disember 2013 - Oleh, Rukut-Rukut (Mohd Razlan Mat Salleh) : Kehadiran ribuan ikan spesies tamban yang naik ke darat baru-baru ini bukan saja menggemparkan penduduk setempat, malah di seluruh negara. Fenomena luar biasa itu menyebabkan ada penduduk memberi andaian kononnya negeri ini bakal dilanda Tsunami besar. Tambahan pula ia berlaku awal sehari daripada kejadian Tsunami di Aceh, Indonesia pada 26 Disember 2004 yang mengorbankan ribuan nyawa. Apa yang penulis mahu perkatakan adalah sikap 'nakal' beberapa pemilik laman sosial yang menyebarkan pelbagai cerita tidak benar semata-mata mahu mencetuskan panik. Pasti ramai menerima maklumat ombak besar yang menghampiri pantai barat Sabah, kehadiran ikan paus pula yang naik ke pantai. Tidak cukup dengan itu, disertakan juga foto kononnya diambil dari pelantar minyak Brunei, melalui helikopter dan paling melucukan apabila mengaku merakam sendiri kejadian itu sedangkan penyebar itu sendiri tidak pernah ke laut.

Agensi Meteorologi Jepun (JMA) sudah mengesahkan tiada sebarang gempa bumi yang boleh mencetuskan Tsunami. Di sini, kita dapat melihat dan menilai sendiri mentaliti pemilik akaun facebook atau laman sosial yang sengaja mahu mencetuskan perasaan panik. Sikap sebegini perlu dikikis kerana bukan saja menyusahkan orang ramai tetapi pada masa sama turut menyebabkan ramai sesawang hilang kepercayaan terhadap anda. Selamat Tahun Baru 2014. RUKUT-RUKUT.


Rujukan :

Harian Metro. 2013. Sengaja Cetus Panik. Halaman 6.




Gelora Kategori Ketiga Dijangka Berterusan

Harian Metro, 30 Disember 2013 - Kuala Lumpur : Angin kencang dan laut bergelora kategori ketiga (paling bahaya) di kawasan perairan Pahang, Kelantan, Terengganu dan Johor dijangka berterusan sehingga Selasa depan. Menurut kenyataan Jabatan Meteorologi, angin kencang timur laut dengan kelajuan melebihi 60 km sejam itu boleh menyebabkan ombak mencapai ketinggian melebihi 5.5 meter.

Kawasan pantai di negeri berkenaan turut terdedah kepada kejadian kenaikan paras air laut. Kedua-dua keadaan ini berbahaya kepada semua aktiviti pantai dan perkapalan termasuk menangkap ikan, pekerja di pelantar minyak serta perkhidmatan feri. Kenyataan itu menyebut aktiviti ribut petir juga berlaku di kawasan perairan Sarawak iaitu Mukah, Bintulu dan Miri dijangka berterusan lewat malam - BERNAMA


Rujukan :

Harian Metro. 2013. Gelora Kategori Ketiga Dijangka Berterusan. Halaman 4.




Pembantu Tadbir Solat Hajat Mohon Kenaikan Gred


IPOH 4 Dis. - Kira-kira 300 pembantu tadbir mengadakan solat hajat dan bacaan Yasin bagi memohon kenaikan gred yang didakwa tidak disemak oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) sejak 40 tahun lalu.Timbalan Presiden Kesatuan Pembantu Tadbir (Pendidikan) Semenanjung Malaysia (Keptan), Che Saad Hashim berkata, beliau yang mewakili lebih 130,000 pembantu tadbir di seluruh negara merasa terpinggir, apatah lagi golongan itu tidak termasuk dalam 81 skim perkhidmatan awam yang ditambah baik di bawah Bajet 2014.

"Kita tiada jalan lain dan tidak mahu mengadakan demonstrasi. Hanya kepada Allah kami memohon agar pemimpin atasan melihat golongan pembantu tadbir (pekeranian/operasi) dan pembantu tadbir (kewangan) yang merupakan kelompok kedua terbesar selepas guru."Kita telah pun menghantar cadangan kenaikan gred ini kepada Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam di Kuching, Sarawak pada September lalu."Oleh itu, kita berharap Perdana Menteri yang dijangka merasmikan Konvensyen Tahunan Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) pada 17 Disember ini dapat mengumumkan sesuatu tentang perkara ini," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas selesai menunaikan solat hajat perdana dan bacaan Yasin di Masjid Sultan Idris Shah II (Masjid Negeri Perak) di sini. Solat hajat dan bacaan Yasin itu masing-masing dipimpin oleh Imam Besar masjid berkenaan, Abdul Farid Salleh dan Timbalan Mufti Perak, Zamri Hashim. Dalam pada itu, Che Saad berkata, selain Keptan, solat hajat tersebut turut disertai oleh ahli berdaftar daripada Kesatuan Kakitangan Perkhidmatan Tadbir dan Awam Pasukan Polis Semenanjung Malaysia (PACSU), Gabungan Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Kerani dan Bersekutu Kerajaan (Auegcas) dan Kesatuan Pembantu Tadbir Kementerian Kesihatan (KepTaKes).

"Kami memohon kenaikan gred daripada N17 ke N27 tetapi difahamkan JPA memberi alasan kenaikan gred itu terlalu tinggi. Bagaimanapun, terdapat ura-ura JPA bersetuju meningkatkan tiga lapisan gred N17, N22 dan N26 kepada N21, N26 dan N28. Itu kami terima.
"Ini disebabkan beberapa perjawatan yang sama dengan kelulusan darjah enam telah diberi satu perkhidmatan lebih baik dalam kedudukan gred 17, antaranya tukang masak," katanya.


Rujukan :

Utusan Malaysia. 2013. Pembantu Tadbir Solat Hajat Mohon Kenaikan Gred. (Blog Cuepacs).




Rasuah Bukan Disebabkan Gaji Kecil Tetapi Berkaitan Dengan Integriti

Utusan Malaysia 25/12/2013, Kajang, Selangor : Beberapa hari lepas, kita dikejutkan dengan penangkapan beberapa orang Pegawai Kerajaan yang terlibat dengan rasuah berkaitan urus niaga dadah. Kenyataan seorang Timbalan Presiden CUEPACS yang mengatakan bahawa gaji penguat kuasa kurang punca rasuah, pada saya tidak tepat. Ini kerana, rasuah berkaitan dengan integriti dan jika penguatkuasa berkenaan seorang Islam yang memahami dan mengamalkan Islam sepenuhnya, pasti tidak akan mengambil rasuah. Isu ini sering dikaitkan dengan gaji kurang, bukan penguat kuasa sahaja pernah ditahan malah pegawai atasan yang bergaji puluhan ribu ringgit sebulan pun pernah ditahan. Siapa yang tidak kelabu mata kalau dalam sekelip mata ditawarkan puluhan malah ratusan ribu ringgit untuk melepaskan satu sindiket dadah ? Bagi kita yang beragama Islam, soal keberkatan adalah isu utama dalam mencari rezeki, kerana kalau tidak berkat, bagi satu lembah emas pun tidak pernah akan cukup.


Rujukan :

Utusan Malaysia. 2013. Rasuah Bukan Disebabkan Gaji Kecil Tetapi Berkaitan Dengan Integriti. (Blog Cuepacs).