Saturday 10 August 2013

Keris Laksamana Bentan


Pada hari ini, pengkaji menyingkap kisah sejarah Laksamana Bentan yang menentang kezaliman Raja. Kisahnya bermula apabila isteri Laksamana Bentan (Dang Anum) dibunuh oleh Sultan hanya memakan seulas nangka untuk santapan raja. Pada masa itu, Dang Anum mengidamkan nangka kerana hamil lalu Sultan murka kepadanya kerana memakan santapannya. Akibatnya, dengan titah Raja Dang Anum telah dibunuh. Perutnya dibelah. Dengan kuasa Allah, setelah perut Dang Anum dibelah, kelihatan mayat Bayi memakan seulas nangka. Sultan merasa menyesal dengan tindakannya itu. Lalu tercetuslah penentangan Laksamana Bentan terhadap Sultan setelah beliau pulang dari Jambi. Berikut adalah serba sedikit dialog yang ditulis oleh Mana Sikana (1997) :

LAKSAMANA : Kau mati rupanya Anum, kau meninggalkan aku, Anum. Oh! Anakku, Apa kesalahan isteri dan anakku ?
TUN ARIA : Simpan rahsia ini Datuk. Kalau tidak, mati hamba dibunuh baginda.
LAKSAMANA : Apa ? Dibunuh baginda ? Tidak Aria, aku sanggup menggalang leher berdepan dengan keris baginda kerana Anum dan anakku. Aku mesti membela. Aku sanggup hantarkan nyawaku ke hujung mata keris Sultan. Oh Tuanku. Sultan yang ku junjung, sampai hati Tuanku membunuh isteri dan anak patik yang tak berdosa. Alangkah kejam dan zalimnya Tuanku. Mana janji Tuanku akan memberikan perlindungan pada isteriku ? Ya, Pepat diluar rencong di dalam, Mulut manis hati beracun.
TUN ARIA : Melayu derhaka kepada raja, Datuk ? Tidak, Tidak, jangan Datuk. Berfikirlah dua kali sebelum melangkah, melangkah berdepan dengan keris raja. Hamba berharap Datuk beringat sebelum kena, berjimat sebelum habis. Carilah jalan lain, Datuk. Lebih baik kita undur dengan teratur daripada mara mendapat bahaya. Ingat Datuk, sumpah Melayu dari zaman-berzaman, berpantang Melayu derhaka kepada Raja.
LAKSAMANA : Tidak! Darah Bentan berpantang maut sebelum ajal. Kali ini tetap Melayu derhaka kepada Raja. Sia-sia peluhku mengalir di Haru dan Jambi. Kalau ku tahu begini rendahnya budi Raja, aku tetap menolak titahnya.

Selepas itu, terjadilah pembunuhan Sultan oleh Laksamana Bentan.

Keris Laksamana Bentan membuat riwayat, memutuskan darah keturunan raja-raja Melayu Melaka yang berdaulat. Sebab baginda tidak berputera dan berputeri, Bendahara Abdul Jalil dilantik menjadi Sultan. Hutang Darah dibayar darah, hutang jiwa dibayar dengan jiwa, kerana anak isteri menderhaka.

Siapakah yang bersalah ?
Derhakakah Laksamana Bentan ?


Rujukan :

Mana Sikana (1997). Keris Laksamana Bentan. Shah Alam : Penerbit Fajar Bakti Sdn. Bhd.



No comments:

Post a Comment