Tuesday 26 March 2013

Ferdinand Magellan Dibunuh Oleh Datu Lapu-Lapu

Pada hari ini, penulis cuba menyelongkar sejarah pembunuhan Ferdinand Magellan yang menjadi tokoh Sepanyol membuat pelayarannya ke Filipina. Pada 16 Mac 1521, penjelajah Sepanyol iaitu Ferdinand Magellan (1480-1521) telah mendarat di Cebu ketika dalam misinya mengelilingi dunia disamping mencari tanah jajahan (Dzulasree, 2013). Matlamat Penjajahan Sepanyol di Filipina sebenarnya adalah untuk menguasai kawasan dan laluan rempah. Kedua adalah untuk membina persefahaman di antara Dinasti China dengan Jepun dan ingin mengkristiankan masyarakat Filipina keseluruhannya. Matlamat pertama dan kedua telah pun berjaya dengan cemerlang, cuma matlamat yang ketiga mereka gagal melaksanakannya hingga hari ini kerana terdapat penentangan daripada masyarakat Islam sendiri yang sukar ditewas dan dikalahkan disebabkan punya senjata yang menggerunkan pihak Sepanyol sebagai "Juramentado" atau Berani Mati . Sejarah juga telah memberitahu kita, hanya bahagian selatan Filipina sahaja yang tidak pernah mereka masuki dan tawan secara menyeluruh disebabkan berlakunya tentangan yang hebat daripada masyarakat Islam yang diketuai oleh Sultan-Sultan Magindanao dan Sulu serta Datu-Datunya. Perlu juga diakui bahawa Sepanyol dan misi keagamaannya telah berjaya di bahagian Utara Filipina. Bukti kejayaan mereka ialah hingga ke hari ini majoriti penduduk dari tengah Filipina hingga ke Utara adalah Kristian. Manakala sebelah Selatan Filipina penduduknya adalah Islam (Dzulasree, 2013).

Tanah Pulau Cebu telah dimasukkan sebagai wilayah baru hak milik Raja Charles I di Sepanyol. Sebulan kemudian, Ferdinand Magellan telah dibunuh oleh Datu Lapu-Lapu seorang Panglima Islam dalam satu pertempuran di tepi pantai Maktan. Peristiwa pembunuhan Ferdinand Magellan ini adalah yang paling bersejarah di Filipina hingga ke hari ini sehingga didirikan tugu peringatan Panglima Islam tersebut iaitu Panglima Datu Lapu-Lapu di Bandar Maktan, Cebu (Dzulasree, 2013).

                                           Tugu Peringatan Datu Lapu-Lapu

Pada tahun 1565, Miguel Lopez De Legazpi seorang Gabenor diraja telah sampai ke Pulau Cebu dari Sepanyol, Enam tahun kemudian setelah berjaya melumpuhkan sistem pentadbiran Islam ditangan para Datu, beliau telah ke Manila dan mendirikan pelabuhan komersil di bandar utama Manila sebagai pusat pentadbiran ketenteraan dan keagamaan. Maka disinilah bermula nama Filipina (Phillipines) sempena nama Raja Philip II dari Sepanyol yang memerintah pada tahun 1556 hingga 1598 (Dzulasree, 2013).


Rujukan :

Dzulasree Hajad (2007). Tausug Dan Kesultanan Sulu [Edisi Kedua]. Kuala Lumpur : Advanco Sdn. Bhd