Saturday 18 May 2013

Perpaduan Kaum

Pada hari ini pengkji meneruskan pengembaraan dan menelusuri lembaran sejarah lampau. Tajuk hari ini ialah mengenai Perpaduan Kaum yang ditulis oleh (Chamburi Siwar, 2005). Menurutnya, Falsafah dan matlamat DEB (Dasar Ekonomi Baru) dan DPN (Dasar Pembangunan Nasional) adalah untuk mencapai perpaduan dan toleransi antara kaum. Masyarakat majmuk Malaysia semakin berpadu dan bertoleransi sekarang berbanding sebelum DEB. Ciri positif dan negatif dalam kehidupan masyarakat majmuk dan perhubungan kaum masih wujud. Secara positif, pada permukaannya, masyarakat majmuk Malaysia kelihatan semakin bertoleransi dan mampu hidup berpadu dalam keadaan aman dan harmoni. Dalam keadaan terbatas, terdapat juga perkongsian dan kerjasama antara Bumiputera dengan bukan Bumiputera  dalam bidang perniagaan, pekerjaan dan politik.

Dari segi negatifnya, masih terdapat polariasi kaum yang amat jelas, interaksi terbatas dan hambatan kepada percampuran yang lebih terbuka di sekolah, pusat pengajian tinggi, tempat kerja dan sebagainya. Perundingan ekonomi antara kaum, misalnya dalam Majlis Perundingan Ekonomi Negara (MAPEN 2) masih memperlihatkan wakil pelbagai kaum menuntut bahagian masing-masing, memperjuangkan dan memohon pertambahan bahagian kaum masing-masing daripada "kek ekonomi' di samping kaum bukan Bumiputera mempersoalkan isu keistemewaan kepada kaum Bumiptera. Pada amnya, walaupun perpaduan dan toleransi antara kaum kelihatan meningkat, namun sensitiviti kaum masih menjadi isu yang boleh mencetuskan perbalahan dan pergaduhan. Misalnya, pergaduhan di kawasan setinggan Kampung Medan, Jalan Klang Lama pada bulan Mac 2001, yang membuktikan kerapuhan integrasi kaum dan perpaduan kebangsaan. Kita melihat bibit peristiwa 13 Mei 1969 berulang dalam kejadian di Kampung Medan.

Faktor kemiskinan, keterpinggiran, keperitan hidup dalam persekitaran fizikal dan sosial serta kemudahan asas yang serba daif mewujudkan suatu keadaan "bom jangka' yang mencambahkan perlakuan sosial seperti devian, keganasan, kesamsengan, pengemis di jalanan, pelacuran, rompakan dan sebagainya, serta sedia meletus oleh suatu kejadian luar jangkaan yang mudah merebak menjadi pergaduhan kaum, jika tidak dikawal.


Rujukan :

Chamburi Siwar (2005). Perpaduan Kaum. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka.



Friday 17 May 2013

Minda Adab Ketatanegaraan Kesultanan Melayu : Derhakakah Si Jebat ?

Pada hari ini pengkaji menelusuri pula tentang adab Ketatanegaraan Kesultanan Melayu yang ditulis oleh Jelani Harun (2005). Menurutnya, Adab ketatanegaraan memberi penekanan yang khusus tentang kepentingan akal kepada Raja. Raja dinasihati agar sentiasa menggunakan akal dengan sebaiknya. Akal merupakan alat bagi Raja mendapatkan ilmu pengetahuan tentang adab pemerintahan negara dan dapat melaksanakan tugas sebagaimana tuntutan agama. Akal dan ilmu pengetahuan lebih utama daripada kuasa dan kekayaan harta.

Kewujudan konsep adab ketatanegaraan berkait rapat dengan kedatangan dan perkembangan Agama Islam di Alam Melayu. Melalui ajaran Islam, kesucian martabat Raja tidak lagi diagungkan melalui mitos para dewa tetapi tertanam kukuh sebagai sebahagian daripada asas keimanan manusia terhadap Tuhan. Islam menentukan Raja adalah pemimpin yang wajib dipatuhi oleh rakyat. Ketaatan kepada Raja mempunyai hubung kait dengan ketaatan kepada agama. Walau bagaimanapun, Islam meletakkan syarat ke atas keistemewaan kedudukan Raja. Walaupun Raja dianggap sebagai 'Bayangan Tuhan di Dunia' tetapi dengan andaian mereka melaksanakan urusan pemerintahan berasaskan garis panduan yang dtentukan (Jelani Harun, 2005). Persoalan ini sudah lama terungkap dalam pemikiran masyarakat Melayu melalui penulisan adab ketatanegaraan. Raja Ali Haji ada menjelaskan bagaimana sifat Raja yang tidak baik dalam karyanya yang berbunyi :

" Raja yang sesat sangkanya pada makna kerajaan, kerana sangkanya maka Raja itu memperbuat apa sukanya atas rakyatnya, jadilah ia mengikutkan hawa nafsunya tiada tahu akan halal dan haram, dan dosa dan pahala, dan sah dan batal, serta melalaikan dia daripada memenuhkan perutnya dengan makanan yang lazat-lazat, dan membatalkan akal cerdiknya dengan memperbanyakkan sekedudukan dengan perempuan sebab memenuhi syahwatnya, serta tamak dan lobanya pada beristeri dan bergundik, hingga berjalanlah segala askarnya segenap dusun dan kampung-kampung rakyatnya mencari perempuan yang baik-baik rupa supaya memenuhi nafsu syahwat rajanya,".

Dalam Sejarah Melayu juga ada dikisahkan bagaimana Hang Jebat bangkit menentang kezaliman Raja. Ungkapan keramat Hang Jebat adalah seperti berikut : "Raja Adil Raja Disembah, Raja Zalim Raja Disanggah". Raja yang zalim secara langsung melanggar prinsip keadilan dalam pemerintahannya. Raja yang bersifat demikian tidak akan membawa kebaikan kepada rakyat dan negara sebaliknya mengundang bala bencana dan kehancuran diri sendiri serta negara. Sifat keadilan Raja turut mendapat perhatian Syeikh Duyung dalam karyanya yang berbunyi :

"Maka hendaklah bersungguh-sungguh atas segala yang jadi Raja itu memeliharakan dari mengerjakan zalim dan aniaya. Maka keduanya itulah pohon yang jadi kebinasaan dan asal yang jadi kerosakan dan sebab yang jadi keruntuhan dan kehancuran kerajaannya. Kerana apabila sudah mengetahui orang akan Raja dan Sultan itu dengan zalim dan aniayanya nescaya bencilah akan dia segala rakyatnya dan dukacitalah hati mereka itu daripadanya pada malam dan siang. Dan sukalah mereka itu akan hilang kerajaannya dan kebinasaannya dan melepaskan lidah mereka itu dengan mencaci serta doa sekalian mereka itu dengan kejahatan dan kerosakan kerajaan,".

Petikan di atas memberikan satu persepsi terhadap Raja selaku ketua bagi sebuah negeri. Andainya Raja tidak berpegang kepada hukum syariat, sebaliknya meruntuh atau melanggar hukum syariat dengan amalan adat-istiadat yang bertentangan dengan Islam, maka Raja atau pemerintah dianggap selaku ketua yang zalim.

Bagi rakyat yang hidup di bawah pemerintahan seseorang Raja yang tidak disukai ataupun zalim, Nuruddin al-Raniri menasihati mereka supaya bersabar, dan menyerahkannya kepada ketentuan Tuhan. Sifat sabar akan memelihara keselamatan diri rakyat daripada ancaman kezaliman Raja. Rakyat yang tidak dapat menahan sabar akan menjerumuskan diri mereka ke kancah penderhakaan (Bustan al-Salatin, MS USM 41, hlmn. 292-297) : 

"Barang siapa melihat daripada suatu pekerjaan Rajanya maka benci ia akan dia, maka bersabarlah, bahawasanya tiada seorang jua pun menceraikan dirinya daripada segala jemaah kira sejengkal jua pun, maka ia mati melainkan adalah kematian derhaka,".

Oleh itu, derhakakah Si Jebat ?


Rujukan :

Jelani Harun (2005). Minda Adab Ketatanegaraan Kesultanan Melayu. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka.



Thursday 16 May 2013

Wasiat Sebagai Cerminan Kerangka Keilmuan

Pada hari ini pengkaji berbicara mengenai wasiat atau amanat. Telah dijelaskan bahawa sejak awal kedatangan Islam ke Alam Melayu lagi andaian tentang kepentingan ilmu pengetahuan dalam melaksanakan tugas peribadi dan kemasyarakatan pada peringkat tertinggi jelas kelihatan pada wasiat yang merupakan titik kenyataan dan kesedaran tertinggi seseorang muslim (Wan Mohd. Nor Wan Daud, 2005). Berikut adalah wasiat atau amanat Sultan-Sultan Melayu dan Bendahara pada zaman lampau kepada para menterinya dalam Hikayat Melayu :
  1. Wasiat Sultan Malikul Salleh - " Wahai Perdana Menteri kedua, baik-baik kamu kedua memelihara cucuku kedua ini insyaallah jangan kamu beri kesalahan ia dua bersaudara serta kamu kedua ajari : Hendaklah jangan kamu berdua mengubahkan setia kamu akan cucuku kedua. Juga jangan kamu beri teraniaya daripada segala hamba Allah dan jangan kamu mengerjakan segala pekerjaan yang bersalahan dengan hukum Allah, kerana firman Allah dalam Al-Quran demikian ertinya : Barang siapa tiada menghukumkan dengan barang hukum yang diturunkan Allah, maka bahawasanya mereka itu jadi kafir, ".
  2. Amanat Sultan Mansur Syah (Sultan Melaka) - " Wahai anakku, hendaklah engkau muafakat dengan segala menteri dan segala Orang-Orang Besarmu kerana Raja itu, jikalau bagaimana sekalipun bijaksana dan tahunya, jika tiada muafakat dengan segala pegawai, di mana ia akan dapat melakukan kebijaksanannya itu ? Dan tiada akan sentosa kerajaannya kerana Raja-Raja itu umpama api, segala menteri itu umpama kayu: kerana api tu tiada akan nyala. Seperti pepatah Parsi Yakni rakyat itu umpama akar, dan Raja itu umpama pohon : Jikalau tiada akar pohon tiada akan berdiri. Demikianlah Raja itu dengan segala rakyatnya. Wahai Anakku, hendaklah engkau turut seperti amanatku ini supaya beroleh berkat dari Allah s.w.t,".
  3. Wasiat Bendahara Tun Perak Paduka Raja - " Wahai segala anak cucuku, janganlah kamu tukarkan agamamu dengan dunia yang tiada kekal adanya ini : Yang hidup itu sahaja akan mati juga kesudahannya. Hendaklah kamu semua tuliskan kepada hatimu pada berbuat kebaktian kepada Allah dan Rasulullah : Dan jangan kamu sekaliannya melupai daripada berbuat kebaktian kerana pada segala hukum bahawa Raja-Raja yang adil itu dengan Nabi umpama dua buah permata pada sebentuk cincin. Apabila berbuat kebaktian kepada Raja, serasa berbuat kebaktian kepada Nabi. Inilah wasiatku pada kamu semua. Hendaklah jangan kamu lupai, agar kebesaran dunia akhirat kamu semua peroleh,".
  4. Wasiat Sultan Alauddin Riayat Syah - "Adapun peninggalanku ini hendaklah anakku berbuat 'ibadat' sangat-sangat, jangan anakku mengambil hak segala manusia dengan tiada sebenarnya, kerana segala hamba Allah semuanya terserah kepadamu. Jikalau kesukaran baginya, hendaklah segera engkau tolong, jikalau teraniaya ia hendaklah segera engkau selidiki baik-baik, supaya di akhirat nanti jangan diberatkan Allah atasnya lehermu kerana sabda Rasulullah s.a.w : segala kamu yang menggembala lagi akan ditanyai daripada kebelaan kamu. Ertinya, segala Raja di akhirat lagi akan ditanyai Allah daripada segala kebelaannya daripada segala rakyatnya, sebab demikianlah maka harus engkau berbuat adil dan saksama agar di sana engkau dipelihara Allah s.w.t,".
Selepas Melaka ditakluk oleh Portugis, Sultan Mahmud Shah yang menyesali kesilapannya yang lalu, telah mewasiatkan kepada Putera baginda di Kampar agar melaksanakan keadilan dan kesaksamaan ke atas rakyat dan tentera serta mengambil nasihat Bendahara dan Menteri serta hulubalang. Kesimpulannya, seseorang memerlukan kefahaman dan keyakinan yang tinggi untuk mewasiatkan segala perkara di atas. Sehubungan itu, beliau meyakini yang pendengarnya juga faham akan maksud dan implikasi wasiatnya itu. Ini mengandaikan bahawa kerangka keilmuan Islam untuk memahami pandangan alam, akhlak dan perundangan Islam telah berakar kerana Pendidikan Islam dilaksanakan dipelbagai tempat.


Rujukan :

Wan Mohd Nor Wan Daud (2005). Kerangka Keilmuan Tamadun Melayu : Satu Cerminan Ketamadunan. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka.


Orang Asli Kaum Yang Terawal di Tanah Melayu dan Borneo

Pada hari ini pengkaji menceritakan tentang Orang Asli di mana kaum ini adalah kaum yang terawal di Tanah Melayu dan Borneo. Menurut Gerd R. Zimmermann seorang ahli geografi berbangsa Jerman dalam perbahasannya di Seminar Antarabangsa Bahasa dan Budaya Melayu, anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka dan Universiti Frankfurt, Jerman yang diadakan pada 30-31 Oktober 2002, mengatakan bahawa adanya Orang Asli dan suku kaum Bumiputera di kawasan pedalaman bukanlah disebabkan mereka ditolak dan dihalau Orang Melayu. Mereka sebenarnya adalah suku kaum yang terawal di Semenanjung dan Pulau Borneo. Maknanya, mereka tiba ke kawasan Semenanjung dan Pulau Borneo lebih dahulu daripada Orang Melayu dan bergerak terus mencari kawasan yang memberi mereka kemudahan hidup yang paling baik. Tegasnya mereka mencari kawasan yang subur dengan tumbuh-tumbuhan dan penuh dengan flora dan fauna yang boleh dijadikan makanan. Menurutnya lagi, tanah yang paling subur ialah di kawasan pedalaman dan di kawasan bukit.

Teori ini boleh kita jelaskan lagi dengan bidalan dalam Bahasa Inggeris "First Come First Serve". Jadi, siapa yang yang datang lebih dulu, dialah yang dapat. Maka, Orang Melayu di tanah dataran yang kurang subur itu terpaksa bekerja keras sehingga dapat menghasilkan tradisi pertanian padi basah yang baik (Asmah Hj. Omar, 2005). Dalam kajian Asmah Hj. Omar (2005), beliau sempat mewawancara seorang wanita Temuan di kawasan mastautinnya. Antara pertanyaan beliau ialah Mengapa Orang Temuan di situ tidak mahu berpindah ke kawasan perumahan yang dekat dengan bandar, yang disediakan oleh kerajaan ? Jawabnya, " Buat apa pindah, di hutan ini ada semua, beras dari huma, daging dari hutan, ikan dari sungai dan buah-buahan banyak sekali. Bila perlu makanan, masuk hutan, masuk sungai, ". Mendiang Henry Gana, seorang penyelidik budaya Iban dan beliau sendiri adalah Orang Iban telah memperlihatkan jalan fikiran yang sama dengan wanita Temuan tadi. Setiap kali beliau memperkenalkan budaya Iban, katanya ; 

" We don't need a supermarket, the river is our refrigerator, we can get instant fresh meat from the jungle,".
Pelik tapi benar!.


Rujukan :

Asmah Hj. Omar (2005). Ruang, Persekitaran dan Bidang Peradaban: Suatu Penggambaran Berasaskan Bahasa. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.




Wednesday 15 May 2013

Cabaran Yang Menggerhanakan Politik Melayu

Seterusnya, pada hari ini pengkaji meneruskan pengkisahan mengenai cabaran politik Melayu. UMNO kini sudah menjangkau usia 60 tahun. Dalam usia sebegini, mampukah UMNO menghadapi pelbagai cabaran dan ancaman dalam meneruskan agenda perjuangannya yang dikatakan mewakili sebilangan besar orang Melayu ? Jika UMNO sebagai manusia, sama ada perempuan atau lelaki, UMNO sudah memasuki usia "menopaus" atau "andropos", tidak segagah semasa usia remajanya. Selepas lebih setengah abad, sebagai sebuah parti yang berjuang membela nasib bangsa Melayu, UMNO memainkan peranan penting dan mencatatkan pelbagai kejayaan dalam pembangunan negara secara keseluruhan. Tidak sukar untuk menyenaraikan kejayaannya, tetapi isu yang menjadi persoalan kita dalam tajuk ini sekarang ialah Bagaimana masa depan UMNO atau survivalnya ? Apakah parti Melayu ini akan terus bertahan untuk 10 tahun akan datang ? Jika UMNO masih bertahan, ke arah manakah pula perjuangannya ? (Ahmad Atory Hussain, 2008)

Pelbagai masalah, cabaran dan ancaman dalaman dan luaran terpaksa dihadapi oleh UMNO. Ini diperlihatkan misalnya perpecahan dalam parti, perebutan kuasa, sentimen politik perkauman, penyelewengan, rasuah, salah guna kuasa dalam kerajaan dan politik wang terpaksa dipikul oleh UMNO. Mampukah UMNO bertarung menangani masalah ini pada masa hadapan ? Mengikut kajian beberapa pengkaji politik tanah air, politik wang menular dan menjadi penyakit serius yang mengancam survival UMNO. Banyak pihak terpaksa mengakui gejala politik wang berbentuk rasuah kian hebat melanda parti politik dari peringkat atasan sehingga golongan akar umbi. Baru-baru ini, keputusan PRU yang ke-13 menampakkan UMNO telah tewas di semenanjung di mana BN memperolehi 76 kerusi parlimen dan Pakatan rakyat 80 kerusi parlimen. Negeri Sabah dan Sarawak merupakan "fixed deposit" UMNO. Negeri Borneo merupakan penyelamat buat BN. Jika tidak, sudah tentu BN akan tewas, Persoalannya sekarang, Pakatan Rakyat juga tidak boleh dipandang enteng sekarang memandangkan mereka telah berjaya menyusup ke Sabah dan Sarawak. Di Sabah mereka memperolehi 11 kerusi di Dun dan 3 di Parlimen. Di Sarawak pula, mereka berjaya memperolehi 6 kerusi parlimen.

Oleh yang demikian, UMNO perlu meneruskan dasar yang belum selesai. Pemimpin dan pegawai Melayu tidak seharusnya rasa bersalah, takut dan bimbang untuk melaksanakan hak Melayu dan agenda pembangunan Melayu yang belum selesai.


Rujukan :

Ahmad Atory Hussain (2008). Cabaran Politik Melayu. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.



Tuesday 14 May 2013

Cabaran Politik Melayu dan Sejarah Lampau

Pada hari ini, pengkaji berbicara dengan cara yang tersendiri. Pertama sekali, kita harus mengetepikan sentimen kepartian buat sementara untuk melihat perjuangan politik Melayu agar kita melihat politik Melayu secara menyeluruh dan tidak berasaskan kepada segmen fahaman ideologi politik yang berbeza (Ahmad Atory Hussain, 2005). Dalam konteks hari ini, mahu tidak mahu, hakikat menunjukkan UMNO, PAS dan PKR merupakan Parti politik Melayu yang bergerak aktif sebagai mengisi tuntutan sistem politik dan pemerintahan demokrasi di semenanjung dan juga di Sabah. Daripada 3 parti di atas, UMNO adalah parti yang paling berpengaruh dan mendapat sokongan majoriti orang Melayu di semenanjung. UMNO merupakan parti tertua yang mewakili sebilangan besar orang melayu dalam pemerintahan negara. UMNO juga memperjuangkan dan memastikan hak keistemewaan dan ketuanan Melayu terpelihara. Parti ini bejuang sehingga negara mencapai kemerdekaan pada tahun 1957 hingga kini (Ahmad Atory Hussain, 2005).

Namun begitu, jika kita menyingkap sejarah lampau bagaimana proses mengukuhkan survival politik Melayu, ternyata UMNO tidak dapat lari daripada menerima ancaman dan menempuh cabaran serta rintangan dari awal penubuhannya hingga ke hari ini. Walau bagaimanapun, cabaran dan dugaan yang timbul dapat di atasi dengan jayanya. Setiap krisis atau pergolakan sebenarnya memberi kekuatan kepada parti. Malah krisis yang berhubung dengan pindaan perlembagaan melibatkan Raja Melayu pada tahun 1983, juga tidak memberi kesan yang negatif terhadap UMNO. Antaranya ialah :
  1. PKMM (Parti Kesatuan Melayu Muda) keluar dari UMNO - Apabila UMNO ditubuhkan pada tahun 1946 oleh Dato Onn Jaafar, PKMM terserap sebagai parti gabungannya, tetapi pada 29 Jun 1946, PKMM bertindak mengisytiharkan keluar dari UMNO kerana cadangan PKMM menetapkan warna bendera ditolak di samping perbezaan ideologi dan fahaman menyebabkan sukar kedua-dua parti itu bekerjasama. Kemudian parti itu tidak bertahan lama kerana PKMM telah diharamkan selepas darurat diisytiharkan pada tahun 1948.
  2. Dato Onn Jaafar keluar dari UMNO - Pada tahun 1951, UMNO sekali lagi menerima kejutan apabila pengasas UMNO, Dato Onn Jaafar meletak jawatan kerana beliau ditohmah oleh Tunku Abdul Rahman dan Abdul Razak mengenai syarat kewarganegaraan. Beliau sedikit melonggarkan syarat kewarganegaraan berbanding Tunku yang bersifat liberal. Beliau turut dihentam lantaran sedikit melonggarkan syarat kewarganegaraan dengan bukan Melayu dan menggadai hak Melayu walhal ketika Tunku Abdul Rahman menjadi presedin UMNO telah bertindak lebih liberal lantaran mengiktiraf hak kerakyatan JUS SOLI tanpa syarat kepada bukan orang Melayu pada tahun 1955. Atas dasar itulah Dato Onn Jaafar keluar dari UMNO.
  3. Tengku Razaleigh Hamzah bertindak keluar dari UMNO - Krisis melanda UMNO apabila Tengku Razaleigh Hamzah bertindak keluar dari UMNO pada tahun 1988 dan menubuhkan Parti Semangat 46 dengan tujuan meneruskan semangat dan idealisme UMNO iaitu memperjuangkan nasib orang Melayu. Ini berikutan  kekalahan beliau dalam pertandingan pucuk pimpinan UMNO pada tahun 1987. Perpecahan dalaman UMNO tersebut tidak kekal lama. Hari demi hari Semangat 46 nampaknya semakin lemah dan bilangan mereka yang kembali semula ke pangkuan UMNO semakin meningkat termasuk di kalangan pemimpin kanan sendiri, dan parti Semangat 46 nampaknya hanya tinggal nama sahaja.
  4. Penyingkiran Anwar Ibrahim dan Penubuhan PKR - Seterusnya UMNO digemparkan pula dengan kemunculan Parti Keadilan Rakyat ekoran pemecatan Anwar Ibrahim dari UMNO dan Jawatan Timbalan Perdana Menteri. Berdasarkan agenda untuk memperjuangkan keadilan, parti ini bergerak ke seluruh Negara untuk menagih simpati rakyat. Walaupun PKR mempunyai keyakinan besar untuk merampas pemerintahan Malaysia bersama-sama Pakatan Rakyat (PAS dan DAP), tetapi Parti ini tidak mendapat apa yang dicitakannya. 
  5. Ustaz Ahmad Fuad keluar dari UMNO dan Penubuhan Parti PAS - UMNO juga mendapat tamparan hebat apabila Ustaz Ahmad Fuad seorang Pegawai Agama dalam UMNO bertindak keluar dari UMNO dan menubuhkan Parti PAS pada tahun 1951. Sejak penubuhannya, ia berkembang sebagai sebuah Parti politik Islam yang menjadi saingan kepada UMNO hingga kini. Dengan berbekalkan isu dan konsep negara Islam PAS menjaja agendanya kepada rakyat yang pada mulanya berperanan sebagai parti pembangkang Melayu, kini secara perlahan-lahan menaruh harapan untuk menjadi alternatif dan seterusnya memerintah negara (Anwar Ridhwan, 2005).
  6. Parti SAPP keluar dari BN - Di Sabah pula, pada tahun 2008, Parti Maju Sabah di bawah pimpinan Datuk Yong Teck Lee telah memutuskan untuk keluar dari Barisan Nasional (BN). Menurut beliau, "BN telah hilang kuasa moralnya untuk memerintah. Jumlah majoriti di parlimen tidak bermakna jika rakyat tidak lagi menghormati anda,". Sementara itu, Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Ahmad Badawi dalam reaksinya berkata, sudah sewajarnya SAPP meninggalkan BN kerana mereka merupakan masalah di dalam parti (Bernama).
Kesimpulannya, kepimpinan UMNO perlu menyusun semula organisasi atau parti politik Melayu agar di dalamnya terdiri daripada golongan seperti guru, pensyarah, ulama, pegawai kerajaan, ketua kampung, belia, dan semua golongan Melayu dari peringkat bawahan hingga ke peringkat bangsawan. Barisan kepimpinan UMNO tidak seharusnya didominasi oleh sesuatu golongan sahaja seperti golongan korporat dan peniaga. Jika sokongan terhadap UMNO terdiri daripada beberapa golongan Melayu sahaja dan tidak mewakili seluruh gologan Melayu, maka Parti bukan Melayu tidak akan menghormati lagi UMNO sebagai tunggak pemerintahan negara, dan ketika itu kuasa tawar-menawar orang Melayu menjadi kurang. Jika itu terjadi, tidak menghairankan nanti satu demi satu hak Melayu akan tergadai.


Rujukan :

Ahmad Atory Hussain (2005). Cabaran Politik Melayu. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka.

Anwar Ridhwan (2005). Minda Melayu. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka.