Friday 5 December 2014

Punca Kemasukan Tenaga Buruh Dan PATI Dalam sesebuah Negara

Sebelum penulis membincangkan perkara di atas, kita perlu lihat terlebih dahulu mengenai maksud tenaga buruh atau pekerja asing, pedatang tanpa izin dan pelarian. Ketiga-tiga perkataan ini membawa maksud yang berbeza.

Menurut kamus dewan (2002), buruh bermaksud orang yang bekerja untuk mendapatkan upah. Buruh terdiri daripada dua jenis iaitu buruh mahir dan separuh mahir. Buruh mahir bermaksud buruh yang mempunyai kepakaran khusus yang diperolehi daripada latihan profesional dalam bidang tertentu manakala buruh separuh mahir bermaksud buruh yang mempunyai kemahiran dalam bidang tertentu yang diperolehi daripada pengalaman bekerja. Mereka ini akan diberi permit bekerja oleh majikan masing-masing dalam tempoh yang tertentu.

Pendatang tanpa izin (PATI) pula bermaksud individu yang memasuki sesebuah negara secara sah atau haram tanpa dokumen pengenalan diri. Manakala pelarian bermaksud individu yang melarikan diri untuk mendapatkan perlindungan daripada tekanan politik atau kezaliman yang diberikan oleh sesebuah negara. Menurut definisi UNHCR, pelarian ialah orang yang mempunyai ketakutan kerana ditindas atas sebab pendapat politik, etnik, agama atau keahlian dalam sesebuah kumpulan tertentu.

Berbalik kepada persoalan di atas, apakah punca kemasukan pekerja asing dan PATI dalam sesebuah negara ? Jika pekerja asing atau tenaga buruh, sudah tentu mereka ini di bawa masuk secara sah kerana diberi permit kerja atas desakan kekurangan tenaga buruh. Menurut Che Hashim Hassan (2009), negara kita mengalami kekurangan tenaga kerja terutamanya dalam sektor pertanian, pembinaan, kilang dan perkhidmatan. Kita memerlukan tenaga kerja untuk membantu mengusahakan ladang kelapa sawit, ladang getah, sawah padi, nelayan dan juga penternakan. Negara kita juga memerlukan tenaga kerja untuk membantu di sektor pembinaan di mana kita tidak cukup buruh mahir bagi bekerja di sektor tersebut. Selain itu, negara kita memerlukan ramai pekerja untuk bekerja di kilang-kilang yang pesat pertumbuhannya sekarang ini seperti di sektor perkhidmatan, terutamanya perkhidmatan pembantu rumah, pencucian pejabat dan kawasan perkhidmatan buruh kasar.

Tambahnya lagi, kedatangan pekerja asing tersebut dapat menampung kekurangan tenaga kerja dalam sektor-sektor yang disebutkan. Negara kita mendapat faedah bagi menampung kekurangan tenaga kerja dan dapat meneruskan pengeluaran dan perkhidmatan ke peringkat yang maksima. Di samping itu, firma-firma di Negara kita dapat mengurangkan tekanan kenaikan kadar upah akibat kekurangan tenaga buruh. Permintaan terhadap buruh dapat ditampung oleh penawaran buruh di pasaran. Jika tidak kerana kemasukan pekerja asing, firma-firma terpaksa membayar kadar upah yang lebih tinggi kepada buruh tempatan dan tidak dapat memenuhi keperluan mereka sehingga firma-firma tidak akan dapat memaksimumkan pengeluaran dan keuntungan mereka.

Berbeza pula dengan isu PATI, kedatangan mereka dalam sesebuah negara samaada sah atau haram tanpa ada dokumen pengenalan diri. Menurut Prof. Dr. Hj. Bukhory Hj. Ismail (2007), sebenarnya masalah pendatang asing adalah masalah sejagat dan berlaku di kebanyakan negara yang sedang pesat membangun malah juga di negara-negara maju seperti Amerika Syarikat dan Australia. Di Amerika Syarikat misalnya sedang menangani kemelut pendatang tanpa izin yang berjumlah 12 juta orang tanpa dokumen yang sah. Dilaporkan kongres telah meluluskan undang-undang yang menggariskan tiga langkah penting untuk menangani masalah PATI iaitu : Penghantaran balik PATI ke negara asal, pembinaan pagar secara besar-besaran sepanjang sempadan Amerika dan Mexico bagi menyekat kemasukan dan juga hukuman jenayah yang lebih berat ke atas majikan yang menggaji mereka.

Menurut Julhasri Hajad (2013) pula, beliau telah mengambil contoh negara Malaysia. Katanya, sampai bilakah kerajaan Malaysia dan negeri Sabah menghadapi situasi seperti ini iaitu menghantar semula PATI ke negara asalnya ? Percayalah, hal ini tidak akan selesai malah akan bertambah rumit dan sukar. Jika diimbau sejarah lampau, pada tahun 1824 berlakunya (Perjanjian Inggeris-Belanda) telah menyebabkan kepulauan Melayu dipecahkan kepada dua pengaruh politik iaitu British dan Belanda. Sementara itu Filipina jatuh ke tangan Sepanyol. Keserumpunan Melayu telah dipupuskan oleh penjajah-penjajah barat. Hal inilah yang dikatakan oleh beliau amat sukar untuk di atasi kerana Brunei, Indonesia, Filipina dan Malaysia mempunyai pertalian sejarah dan budaya yang amat dekat.

Kesimpulannya, kedatangan pekerja asing dalam sesebuah negara boleh dikatakan dapat menampung kekurangan tenaga buruh di sesebuah negara. Jika sekiranya kedatangan mereka menyebabkan pertambahan tenaga kerja melebihi daripada peluang pekerjaan dalam sesebuah negara, barulah ianya akan mengurangkan peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan. Sekarang ini, kedatangan pekerja asing menambahkan penawaran tenaga buruh dalam sektor ekonomi tertentu dan kesannya menambahkan keluaran negara dan menurunkan kadar upah atau gaji bagi pekerja dalam sektor tersebut. Makin ramai pekerja asing yang datang, maka makin rendah kadar upah dalam pasaran buruh tertentu. Kedatangan pekerjaan asing boleh mendatangkan faedah kepada negara asal mereka dan juga kepada negara penerima. Negara asal dapat mengurangkan kadar pengangguran dan kadar “under employment” dan mendapat tukaran wang asing, manakala negara penerima mendapat pekerja untuk menampung kekurangan pekerja dalam sektor-sektor ekonomi tertentu seperti sektor pertanian, pembinaan, kilang dan perkhidmatan. Di samping faedah yang didapati, kemasukan pekerja asing dalam sesebuah negara perlu juga di awasi dan diambil langkah-langkah yang pro-aktif. Kalau tidak, kemasukan pekerja asing akan menjejaskan peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan. Masalah sampingan akibat kemasukan pekerja-pekerja asing tersebut akan menjadi lebih serius, tidak dapat dikawal dan akan mendatangkan banyak masalah sosial, politik dan jenayah dalam sesebuah negara.

Dalam hal ini, penulis tidak pula menyokong mana-mana pihak. Penulis hanya membincangkan mengenai isu di atas. Wallah hulam

Rujukan :

Dr. Hj. Bukhory Hj. Ismail. 2007. Isu Pendatang Tanpa Izin : Peranan Media Terhadap Kesedaran, Pengetahuan dan Sikap Kalangan Rayat Malaysia. Selangor : Universiti Teknologi Mara.

Che Hasim Hassan. 2009. Buruh Asing Di Malaysia : Trend, Kaedah, Kesan, Masalah dan Cara Mengatasinya. Kuala Lumpur : Universiti Malaya.

Julhasri Hajad. 2013. Tausug dan Kesultanan Sulu. Kuala Lumpur : Percetakan Advanco Sdn. Bhd.




No comments:

Post a Comment