Wednesday 4 December 2013

Zaman Kegemilangan Dan Kejatuhan Sesebuah Empayar

Kali ini, pengkaji menceritakan pula tentang pengajaran yang kita boleh perolehi dalam ilmu sejarah pada zaman lampau. Apabila sesebuah empayar mencapai tahap zaman kegemilangannya, pasti ia akan mengalami zaman kehancuran. Mengapa ia berlaku ? Inilah isu yang hendak diketengahkan oleh pengkaji dan betapa menariknya ilmu sejarah untuk dipelajari. Dalam sejarah lampau, tidak ada sebuah kerajaan pun yang utuh melainkan mengalami zaman kejatuhan. Hal inilah yang kita perlu ambil iktibar dan pedoman agar tidak berulang semula pada zaman sekarang.

Jika diimbau sejarah silam, kerajaan yang terawal di gugusan Kepulauan Melayu ialah Kerajaan Tun-Sun dan Chih-Tu. Apabila mengalami kejatuhan, muncul Kerajaan Langkasuka yang diasaskan oleh Merong Maha Wangsa pada kurun ke-2 yang terletak di Patani. Kemudian, pada kurun ke-3, muncul Kerajaan Funan dan menakluki Kerajaan Langkasuka.

Pada abad ke-5, muncul Kerajaan Gangga Negara di Beruas, Perak. Ia menjadi pusat perdagangan selepas kejatuhan Langkasuka. Tetapi kerajaan ini tidak bertahan lama apabila Kerajaan Chola dari India telah menaklukinya. Seiring dengan itu, muncul Kerajaan Kedah Tua yang terletak di kawasan Lembah Bujang. Sebagai pusat perdagangan, Kuala Merbuk menjadi tempat persinggahan pedagang Cina dan India. Gunung Jerai merupakan tanda daratan bagi pedagang-pedagang India untuk singgah di Kedah. Menurut I-Ching seorang pengembara Cina, Kerajaan Kedah Tua juga dikenali sebagai Chi-Cha dan I-Ching sendiri pernah melawat Kedah Tua. Kedah Tua pernah ditakluki oleh Kerajaan Funan (Indochina), Srivijaya dan Majapahit. Dalam tahun 1025, Kedah Tua telah dimusnahkan oleh Kerajaan Chola dari India yang dipimpin oleh Raja Rajendra I.

Pada kurun ke-7, Kerajaan Funan telah mengalami kejatuhan dan menyebabkan Kerajaan Srivijaya mula berkembang dan menduduki wilayah-wilayah di Selat Melaka. Srivijaya menjadi sebuah kuasa pusat perdagangan yang  terkuat di Asia Tenggara. Srivijaya juga dikenali sebagai Maharaja Laut Selatan. Perdagangannya meluas ke China, Selat Melaka, Selat Sunda dan Laut China Selatan. Selain itu, Srivijaya telah menjadi pusat Pengajian Agama Buddha yang berpusat di Palembang malah menjalin hubungan dengan Kerajaan Sailendra dari Jawa Tengah. I-Ching pernah melawat Srivijaya dan menterjemahkan kitab suci Buddha yang ditulis dalam tulisan Sanskrit. Akhirnya, Kerajaan Srivijaya telah diserang oleh Rajendra I dari Kerajaan Chola. Pelabuhan-pelabuhannya seperti Ligor, Kedah Tua, Temasik dan Palembang telah dimusnahkan. Kerajaan Srivijaya juga telah dilemahkan oleh serangan Kerajaan Mataram dan Kerajaan Singhasari dari Jawa Tengah.

Dengan kejatuhan Kerajaan Srivijaya, maka Kerajaan Singhasari muncul sebagai kerajaan yang terkuat pada masa itu yang dipimpin oleh Raja Kertanegara. Pada tahun 1222, Kerajaan Singhasari mengamalkan agama Hindu-Buddha. Kemudian, pada kurun ke-13, Raja Kertanegara telah digantikan oleh Raden Vijaya yang telah mengasaskan Kerajaan Majapahit. Zaman kegemilangan Kerajaaan Majapahit pada zaman pemerintahan Hayam Wuruk. Pada masa itu, Perdana Menterinya iaitu Patih Gajah Mada telah meluaskan empayarnya ke Pulau Sumatera, Kalimantan, Sulawesi dan Kepulauan Jawa. Selain itu, Undang-Undang Manu telah diperkenalkan dan sistem pungutan cukai yang teratur dan sistematik telah menjadikan Majapahit gah pada masa itu. Namun demikian, setelah kemangkatan Patih Gajah Mada, Kerajaan Majapahit mula merosot disebabkan tiada pengganti yang cekap mentadbir. Raja-raja yang lemah memerintah Majapahit dan berlakunya perang saudara. Disebabkan itu, maka jatuhlah Kerajaan Majapahit. Seiring dengan itu, maka muncullah Kesultanan Melayu Melaka pada kurun ke-14 dan 15.

Tinta dari - Tongkat Besi




No comments:

Post a Comment