Tuesday 30 December 2014

Sejarah Buton

Buton terletak di bahagian tenggara kepulauan Sulawesi, Indonesia. Menurut Hasanuddin Yusof (2013), Islam masuk ke Buton melalui seorang pendakwah Islam yang berasal dari Patani iaitu Syarif Abdul Wahid bin Syarif Sulaiman Al-Fatahani. Beliau merupakan salah seorang pendakwah Islam di Nusantara.

Raja Buton yang pertama memeluk Islam ialah Raja Lakilaponto yang memakai gelaran Sultan Murhum yang memerintah pada tahun 1491 hingga 1537. Wilayah kekuasaan Kesultanan Buton ialah Pulau Buton dan beberapa buah pulau di sekitarnya. Di antara Raja Buton yang paling terkenal ialah Raja Idrus Qaimuddin (1821-1851) yang merupakan sultan Buton yang ke-29. Baginda ditabalkan sebagai Sultan Buton ketika beliau berusia 40 tahun. Selain memerintah Buton, baginda juga merupakan seorang ahli sufi dan sasterawan yang hebat. Beliau merupakan anak murid dari Syeikh Muhammad Bin Syeikh Sumbul Al-Makki (Hasanuddin Yusof, 2013).

Sistem perlantikan sultan di Buton berbeza daripada sistem perlantikan sultan kerajaan-kerajaan yang lain di Nusantara suatu ketika dahulu. Sebagaimana kelaziman kerajaan-kerajaan lain yang melantik sultan berdasarkan keturunan, yang dipanggil siolimbona yang akan memilih sultan berdasarkan kepada calon-calon yang dikemukakan oleh bonto (pembesar-pembesar Buton). Para bonto ini akan mencari calon-calon yang berkelayakan untuk dipilih menjadi sultan. Kerajaan Buton terdiri daripada tiga badan utama iaitu Sara Pangka yang berfungsi sebagai badan legislatif dan Sara Bhitara yang berfungsi sebagai badan kehakiman (Hasanuddin Yusof, 2013).



Rujukan :

Hasanuddin Yusof. 2013. Sultan-Sultan Soleh Di Nusantara. Selangor : Alhijrah Publication.