Thursday 5 December 2013

Tengkujuh Bertandang : Kuantan Lumpuh

Harian Metro - 5 Disember 2013 : Keadaan banjir yang melanda 3 negeri di Pantai Timur Semenanjung dan Johor bertambah buruk menyebabkan hampir 35 000 mangsa dipindahkan ke pusat pemindahan dengan lebih separuh daripadanya di Pahang. Berikutan jumlah mangsa kini hampir 20 000 di Pahang, Menteri Besar Datuk Seri Adnan Yaakob mengarahkan kem tentera dan Pasukan Gerakan AM (PGA) dijadikan pusat pemindahan.

                                                        Jalan Bukit Sekilau

Sehingga jam 8 malam semalam, Pahang menjadi negeri paling teruk terjejas apabila mangsa banjir meningkat mendadak daripada hampir 10 000 orang kelmarin, kepada hampir 20 000 semalam yang ditempatkan di 98 pusat pemindahan seluruh negeri. Jika hujan lebat berterusan, jumlah mangsa dijangka bertambah. Banjir yang melanda negeri itu sejak Ahad lalu, menyebabkan bandar Kuantan hampir lumpuh apabila bekalan elektrik, air dan telefon terputus yang menjejaskan lebih 60 000 penduduk, kelmarin. Sehingga semalam, Tenaga Nasional Berhad (TNB) sudah berjaya memulihkan 90 peratus bekalan membolehkan rumah pam air kembali berfungsi.


Rujukan :

Raja Norain Hidayah Raja Abdul Aziz (2013). Harian Metro : Tengkujuh Bertandang Kuantan Lumpuh. [Halaman 7].


Wednesday 4 December 2013

Pahang : Dilanda Banjir

Hari ini, pengkaji melihat fenomena banjir yang melanda Pahang Darul Makmur yang terletak di Pantai Timur Semenanjung Malaysia. Menurut Bernama :

                                                          Banjir Di Pahang

Kuantan, 4 Disember [Bernama] - Keadaan banjir di Pahang kini semakin buruk dan semakin banyak mangsa banjir dipindahkan ke pusat-pusat pemindahan di negeri ini. Bandar Kuantan kini hampir lumpuh apabila kebanyakan kawasan terputus bekalan elektrik dan air, selain jalan raya di sekitar bandar dinaiki air sehingga melebihi 1 meter akibat hujan tidak berhenti hingga hari ini.

Beberapa kawasan perkampungan dan perumahan di sekitar Kuantan turut terputus bekalan elektrik dan air, selain dinaiki air sehingga melebihi dua meter. Menurut Jurucakap Bilik Gerakan Banjir Ibu Pejabat Polis Kontinjen negeri sehingga pukul 11 pagi tadi, sebanyak 11,721 mangsa banjir ditempatkan di pusat-pusat pemindahan banjir di daerah Kuantan, Rompin, Pekan, Maran dan Jerantut.

Di Kuantan, sebanyak 4,148 mangsa banjir ditempatkan di 33 pusat pemindahan, Rompin (3,615 mangsa di 10 pusat pemindahan), Pekan (2,716 mangsa di 9 pusat pemindahan), Maran (1,179 mangsa di sembilan pusat pemindahan) dan Jerantut (63 mangsa di sebuah pusat pemindahan).

Tinjauan Bernama mendapati kebanyakan premis perniagaan, swasta dan institusi kewangan di bandar Kuantan tidak beroperasi berikutan bekalan elektrik terputus. Pengamal media di Pahang turut menghadapi kesulitan untuk beroperasi bagi melaporkan situasi banjir terkini di Pahang.

Para penduduk di kawasan rendah dan kawasan perumahan di sekitar Kuantan diarah bersiap sedia berpindah berikutan hujan masih berterusan dan dijangka berlaku air pasang dari laut dan bertembung dengan air Sungai Kuantan serta Sungai Lembing pada malam ini.

Berdasarkan tinjauan Bernama, beberapa pusat pemindahan juga mengalami masalah bekalan makanan dan keperluan asas berikutan kawasan penempatan mangsa banjir tidak dapat dihubungi menerusi jalan darat.

[Bernama]

Sesungguhnya, setiap yang berlaku itu pasti ada hikmahnya.



Zaman Kegemilangan Dan Kejatuhan Sesebuah Empayar

Kali ini, pengkaji menceritakan pula tentang pengajaran yang kita boleh perolehi dalam ilmu sejarah pada zaman lampau. Apabila sesebuah empayar mencapai tahap zaman kegemilangannya, pasti ia akan mengalami zaman kehancuran. Mengapa ia berlaku ? Inilah isu yang hendak diketengahkan oleh pengkaji dan betapa menariknya ilmu sejarah untuk dipelajari. Dalam sejarah lampau, tidak ada sebuah kerajaan pun yang utuh melainkan mengalami zaman kejatuhan. Hal inilah yang kita perlu ambil iktibar dan pedoman agar tidak berulang semula pada zaman sekarang.

Jika diimbau sejarah silam, kerajaan yang terawal di gugusan Kepulauan Melayu ialah Kerajaan Tun-Sun dan Chih-Tu. Apabila mengalami kejatuhan, muncul Kerajaan Langkasuka yang diasaskan oleh Merong Maha Wangsa pada kurun ke-2 yang terletak di Patani. Kemudian, pada kurun ke-3, muncul Kerajaan Funan dan menakluki Kerajaan Langkasuka.

Pada abad ke-5, muncul Kerajaan Gangga Negara di Beruas, Perak. Ia menjadi pusat perdagangan selepas kejatuhan Langkasuka. Tetapi kerajaan ini tidak bertahan lama apabila Kerajaan Chola dari India telah menaklukinya. Seiring dengan itu, muncul Kerajaan Kedah Tua yang terletak di kawasan Lembah Bujang. Sebagai pusat perdagangan, Kuala Merbuk menjadi tempat persinggahan pedagang Cina dan India. Gunung Jerai merupakan tanda daratan bagi pedagang-pedagang India untuk singgah di Kedah. Menurut I-Ching seorang pengembara Cina, Kerajaan Kedah Tua juga dikenali sebagai Chi-Cha dan I-Ching sendiri pernah melawat Kedah Tua. Kedah Tua pernah ditakluki oleh Kerajaan Funan (Indochina), Srivijaya dan Majapahit. Dalam tahun 1025, Kedah Tua telah dimusnahkan oleh Kerajaan Chola dari India yang dipimpin oleh Raja Rajendra I.

Pada kurun ke-7, Kerajaan Funan telah mengalami kejatuhan dan menyebabkan Kerajaan Srivijaya mula berkembang dan menduduki wilayah-wilayah di Selat Melaka. Srivijaya menjadi sebuah kuasa pusat perdagangan yang  terkuat di Asia Tenggara. Srivijaya juga dikenali sebagai Maharaja Laut Selatan. Perdagangannya meluas ke China, Selat Melaka, Selat Sunda dan Laut China Selatan. Selain itu, Srivijaya telah menjadi pusat Pengajian Agama Buddha yang berpusat di Palembang malah menjalin hubungan dengan Kerajaan Sailendra dari Jawa Tengah. I-Ching pernah melawat Srivijaya dan menterjemahkan kitab suci Buddha yang ditulis dalam tulisan Sanskrit. Akhirnya, Kerajaan Srivijaya telah diserang oleh Rajendra I dari Kerajaan Chola. Pelabuhan-pelabuhannya seperti Ligor, Kedah Tua, Temasik dan Palembang telah dimusnahkan. Kerajaan Srivijaya juga telah dilemahkan oleh serangan Kerajaan Mataram dan Kerajaan Singhasari dari Jawa Tengah.

Dengan kejatuhan Kerajaan Srivijaya, maka Kerajaan Singhasari muncul sebagai kerajaan yang terkuat pada masa itu yang dipimpin oleh Raja Kertanegara. Pada tahun 1222, Kerajaan Singhasari mengamalkan agama Hindu-Buddha. Kemudian, pada kurun ke-13, Raja Kertanegara telah digantikan oleh Raden Vijaya yang telah mengasaskan Kerajaan Majapahit. Zaman kegemilangan Kerajaaan Majapahit pada zaman pemerintahan Hayam Wuruk. Pada masa itu, Perdana Menterinya iaitu Patih Gajah Mada telah meluaskan empayarnya ke Pulau Sumatera, Kalimantan, Sulawesi dan Kepulauan Jawa. Selain itu, Undang-Undang Manu telah diperkenalkan dan sistem pungutan cukai yang teratur dan sistematik telah menjadikan Majapahit gah pada masa itu. Namun demikian, setelah kemangkatan Patih Gajah Mada, Kerajaan Majapahit mula merosot disebabkan tiada pengganti yang cekap mentadbir. Raja-raja yang lemah memerintah Majapahit dan berlakunya perang saudara. Disebabkan itu, maka jatuhlah Kerajaan Majapahit. Seiring dengan itu, maka muncullah Kesultanan Melayu Melaka pada kurun ke-14 dan 15.

Tinta dari - Tongkat Besi