Monday 12 August 2013

Siti Aminah Kampung Tembioh, Johor

Pada hari ini, pengkaji menceritakan tentang peristiwa luar biasa yang berlaku di negeri Johor pada zaman lampau. Kampung Tembioh terletak di pinggir Sungai Kota Tinggi, tidak jauh dari bandar Kota Tinggi. Di seberang sungai itu terdapat Kota Makam Tauhid yang pernah menjadi pusat pemerintah negeri Johor pada tahun 1637, zaman pemerintahan Sultan Abdul Jalil Syah (1623-1677). Setelah kawasan itu diserang wabak penyakit pada tahun 1642 lalu ditinggalkan. Pada zaman pemerintah Bendahara Sultan Abdul Jalil Riayat Syah (1699-1718), kota tersebut dijadikan ibu negeri sebelum berpindah ke kawasan Panchor (Matlob dan Zam Ismail, 2002).

Di kampung tersebut pernah hidup seorang wanita jelita keturunan pembesar istana di antara zaman-zaman itu. Namanya Siti Aminah Tanah masyhur (Kampung Tembioh) atau Cik Siti Jalang. Perkataan 'jalang' tidak bermaksud beliau melakukan perbuatan curang, tetapi disebabkan dia bersuami banyak. Dikatakan Siti Aminah telah berkahwin dengan 99 orang lelaki (Matlob dan Zam Ismail, 2002).

Oleh kerana setiap lelaki yang berkahwin dengannya didapati mati pada keesokan harinya, beliau telah mengenakan syarat, setiap lelaki yang ingin mengahwininya hendaklah menyediakan sebuah keranda dan tiga kayu kain kafan. Walau pun begitu, masih ramai juga lelaki yang sedia mengorbankan nyawanya untuk berkahwin dengan Siti Aminah. Hanya lelaki yang ke-100, telah terselamat daripada mala petaka itu, dan mereka hidup bahagia sehingga ke akhir hayat (Matlob dan Zam Ismail, 2002).

Begitulah serba sedikit ceritera yang empunya ceritera.


Rujukan :

Matlob dan Zam Ismail (2002). Siti Aminah Kampung Tembioh : Imbasan Peristiwa Bersejarah Johor. Johor : Yayasan Warisan Johor Sdn. Bhd.



No comments:

Post a Comment