Saturday 1 February 2014

Wira Melayu

Setiap rumpun bangsa mempunyai tokoh wiranya sama ada beliau merupakan tokoh ciptaan yang muncul dalam karya sastera atau tokoh dalam sejarah lampau dan sejarah dalam era moden dan kini. Wira dilahirkan melalui karya sastera oleh para sasterawan, pengkaji sejarah dan masyarakat masa kini kerana memenuhi tuntutan semasa (Anwar Ridhwan, 2005).

Suatu masa dulu, Hang Tuah dianggap wira ulung bangsa Melayu melalui sebuah karya epik yang sudah dikategorikan sebagai karya Agung. Hang Tuah dianggap wira bukan sekadar kerana ilmu dan keperwiraannya tetapi tidak kurang pentingnya ialah kerana nilai kesetiannya yang dijunjung tinggi. Minda masyarakat dan terutama sekali para sarjana dan pengkaji sastera Melayu tidak statik tetapi sentiasa berubah. Apabila nilai demokrasi yang bermaksud hak kebebasan untuk bersuara merata menggantikan nilai feudal yang mengongkong kebebasan bersuara, Hang Jebat yang pernah diletakkan dalam kategori penderhaka dipertimbangkan juga sebagai wira kerana menegakkan prinsip 'raja zalim raja disanggah' dan 'tunduk kepala bukan minta untuk dipijak,'. Seorang penentang terhadap kezaliman seperti Hang Jebat, Megat Seri Rama di Johor, Panglima Nayan di Kedah, Keris Laksamana Bentan dan Sang Rajuna Tapa di Singapura juga pada zaman moden boleh diterima sebagai penentang terhadap kezaliman yang perlu dihormati kerana cuba menegakkan prinsip keadilan kalau pun tidak sebagai wira orang Melayu (Anwar Ridhwan, 2005).

Menyusul kemudian ramai tokoh Melayu yang diketengahkan sebagai penentang terhadap kezaliman, penindasan dan penjajahan. Mereka termasuklah Datuk Maharaja Lela (Perak) dan kumpulan pemberontaknya iaitu Datuk Bahaman, Mat Kilau dan Tok Gajah (Pahang), Hj. Abdul Rahman Limbong (Terengganu), Dol Said (Naning), Tok Janggut (Kelantan), Rentap (Sarawak), Sharif Masahor (Sarawak), Roslie Dhobi (Sarawak), Mat Salleh (Sabah), Kamunta (Sabah), Sharif Usman (Sabah), Antanom (Sabah) dan sebagainya. Para sejarawan tempatan melihat mereka dari perspektif kesarjanaan Melayu dan pribumi serta menolak label awal oleh penulis Barat yang mereka adalah penderhaka dan pemberontak (Anwar Ridhwan, 2005).

Apabila pengkajian dan kesarjanaan Melayu semakin matang dan mendalam, lebih ramai tokoh Melayu lampau dalam ilmu persuratan pada abad ke-20, mereka telah dinobatkan sebagai tokoh atau wira bangsa antaranya ialah Tun Sri Lanang, Hamzah Fansuri, Raja Chulan, Za'ba, Syeikh Tahir Jalaludin, Abdul Rahim Kajai dan Ishak Hj. Muhammad. Tokoh atau wira Melayu tidak terhad kepada golongan sasterawan, penentang penjajahan, wartawan dan ulama sahaja tetapi diketengahkan juga tokoh politik yang merintis jalan untuk membawa negara mencapai kemerdekaan seperti Ibrahim Yaacob, Ahmad Boestamam, Dr. Burhanuddin, Dato Onn Jaafar, Tunku Abdul Rahman, Tun Abdul Razak, Hussien Onn, Dr. Mahathir dan sebagainya.

Dalam bidang sukan nama seperti Rashid Sidek, Misbun Sidek, Razif Sidek dan Jailani Sidek merupakan wira Melayu. Dalam dunia seni hiburan pula, Tan Sri P. Ramlee kekal berada ditempat yang tertinggi. Penobatan seseorang atau segolongan orang Melayu sebagai wira atau tokoh mengikut zamannya adalah satu watak peribadi Melayu yang dikongsi bersama dengan bangsa lain di dunia. Ia suatu tradisi yang berterusan dengan bidang yang dirangkumi semakin meluas. Mungkin penobatan mempunyai kesan secara tidak langsung untuk meningkatkan rasa kesetiaan dan sayang kepada bangsa dan negara serta menanam semangat patriotisme di kalangan generasi muda.


Rujukan :

Anwar Ridhwan. 2005. Minda Melayu. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka.



No comments:

Post a Comment