Friday 31 January 2014

Minda Melayu : Sejarah Lampau dan Alam Melayu

Menurut UNESCO 1972, Bangsa Melayu merujuk kepada suku bangsa Melayu yang menjadi penutur asli Bahasa Melayu dan menduduki kawasan-kawasan seperti seluruh Semenanjung Malaysia, Kepulauan Borneo, Brunei, Pantai Timur Sumatera, Kepulauan Riau, Lingga, Bangka, Natuna, Belitung, Banda, Selatan Thailand, Selatan Filipina, Campa, Singapura, Sri Lanka, Madagascar dan Afrika Selatan (kawasan penghijrahan Bangsa Melayu).

Kedatangan Barat adalah kehadiran penjajahan dan penaklukan di Alam Melayu, walau apa pun nama yang digunakan untuk memberikan fenomena ini-berdagang, naungan, koloni, jajahan dan pembukaan. Kini penjajahan dan penaklukan menjadi norma hubungan antarabangsa dan negara (Anwar Ridhwan, 2005). Kehadiran Portugis dan Belanda di Kota Melaka selama 300 tahun tidak menakluki negeri-negeri Melayu dan masyarakat Melayu seluruhnya tetapi melalui dasar monopoli, kawalan tentera terhadap hasil bumi dan perkapalan serta perdagangan Melayu, maka sistem dagangan paksaan itu telah membunuh perdagangan Melayu. Nakhoda dan pembesar Melayu yang selama itu menjadi tunjang dan akar umbi sistem Melayu. Dikalangan raja dan pembesar lumpuh dan musnah oleh paksaan serta tuduhan sebagai perompak, lanun serta jahat dalam sistem peperangan Eropah terhadap keganasan tempatan yang dinamakan secara rasmi sebagai Piracy (Anwar Ridhwan, 2005).

Menurut Anwar Ridhwan (2005) lagi, sistem perairan Melayu dengan dagangan antara pelabuhan, pulau dan sungai musnah sehingga dalam tempoh satu kurun muncul kekosongan pedagang Melayu lalu dengan mudah diisi oleh para pedagang Cina yang datang bersama penjajahan Portugis, Belanda dan kemudian British dalam pelabuhan bebas yang terbuka luas.

Tegasnya, Melayu tersingkir daripada sistem perdagangan lalu digalak menetap di darat, membuka tanah sebagai petani kecil, petani miskin yang kemudiannya terperangkap oleh undang-undang tanah penjajahan Belanda, Sepanyol dan British yang memastikan pendaftaran tanah oleh petani kecil dari hulu yang tidak tahu dan tidak faham akan perdagangan itu. Maka penerokaan tanahnya hilang menjadi bahagian dari tanah orang, ladang Orang Inggeris dan Cina kerana tidak didaftar mengikut undang-undang tanah British, Belanda dan Sepanyol.

Lebih parah lagi ialah kuasa penjajahan yang berupaya membahagi wilayah Melayu tanpa berunding dengan raja-raja Melayu sekali gus merombak dan meruntuhkan negeri Melayu menjadi kawasan kerajaan kecil dan sebahagiannya menjadi takluk Belanda, British dan Siam. Orang Melayu sendiri tidak sedar akan perbuatan dan perjanjian kuasa penjajahan sehingga akhirnya mendapati negeri mereka terpisah dan terjajah. Sultan Johor-Riau terpaksa menerima akibat perjanjian British-Belanda di London dan The Hague yang menghancurkan negerinya menjadi kawasan British dan Belanda. Pusat kerajaannya di Riau dikuasai oleh Belanda dan baginda kehilangan negeri dan jajahan takluknya yang sudah menjadi kawasan pengaruh British. Disebelah utara semenanjung pula, Siam dan British telah membahagikan negeri Melayu sebagai kawasan takluk mereka tanpa rundingan dengan Raja Melayu, Maka hancurlah negeri Melayu Terengganu, Kelantan, Pattani, Narathiwat, Songkla, Sentul dan Kedah menjadi takluk Siam dan British berjanji tidak campur tangan walaupun perjanjian menyerahkan Pulau Pinang 'selagi ada bulan dan bintang' menjanjikan bantuan kepada Sultan Kedah jika berlaku peperangan dengan Siam. Abad ke-18, 19 dan 20 adalah zaman kejatuhan dan kemerosotan negeri Melayu menjadi tanah jajahan dan penaklukan Eropah (Anwar Ridhwan, 2005).

Penjajahan menghapuskan Bahasa Melayu dalam perundangan yang kemudiannya digantikan dengan Bahasa Inggeris. Perundangan menghapuskan hukum adat dan Islam digantikan dengan hukum penjajah iaitu the common law. Raja Melayu hanya menjadi pemerintah nominal perundangan negerinya dibuat oleh bangsa asing (penjajah) atas namanya. Para penasihat dan Residen yang berkuasa atas nama raja, suatu proses usurpation kuasa berlaku atas nama indirect rule. Kehancuran kuasa Melayu diganti dengan protectorate atau naungan merubah segala kuasa Melayu hingga orang lain menjadi warganegara dan mempersoalkan pula hak Melayu sebagai pemilik negerinya (Anwar Ridhwan, 2005).

Ekonomi Melayu atas nama free enterprise dan pembukaan ladang yang besar, perdagangan istemewa untuk badan agensi dagangan British serta Cina dan jadilah Melayu sebagai penghuni tanah reserve yang terkurung dalam kawasan kecil dan sebagai pedagang kecil. Negerinya yang terbuka luas telah dieksploitasi oleh pemodal British dan Cina (Anwar Ridhwan, 2005).

Demikianlah penjajahan dan kehilangan kuasa politik menyebabkan jatuhnya segala sistem kemasyarakatan dan budaya Melayu sehingga menjadi bangsa yang lemah. Oleh itu, tercetuslah Melayu sebagai gambaran segala yang negatif, buruk, mundur, lemah dan keji. Inilah kesan sebahagian daripada penjajahan (Anwar Ridhwan, 2005).

Gambaran atau citra yang digembar-gemburkan oleh para penjajah Inggeris, Belanda dan Sepanyol semasa mereka menjajah Tanah Melayu, Indonesia dan Filipina adalah tidak berasas. Malah tanggapan dan idea tersebut dimanafaatkan untuk kepentingan ideologi mereka - Syed Hussien Al-Atas (2009).


Rujukan :

Anwar Ridhwan. 2005. Minda Melayu. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka.

Syed Hussien Al-Atas. 2009. Mitos Pribumi Malas. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka.




No comments:

Post a Comment