Monday 3 February 2014

Agama : Islam Dalam Perlembagaan

Sebelum Perlembagaan Persekutuan digubal oleh Suruhanjaya Reid, Islam termaktub dalam Perlembagaan Negeri Johor 1895 dan Perlembagaan Negeri Terengganu 1911. Perkara 57 Perlembagaan Negeri Johor antara lain memperuntukkan bahawa : 

"Agama Islam adalah agama rasmi bagi negeri Johor dan segala jajahan takluknya, dan agama Islam hendaklah sentiasa diiktiraf dan disebut terus-menerus sebagai agama rasmi dan agama lain dibenarkan diamalkan dengan aman dan damai oleh orang yang menganut agama lain di negeri Johor."

Suruhanjaya diraja dibentuk untuk membuat draf Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu (Perlembagaan Merdeka 1957). Suruhanjaya itu dipengerusikan oleh Lord Reid. Persoalan meletakkan Islam sebagai agama bagi negara dalam perlembagaan dibincangkan dengan hebat. Parti Perikatan yang memerintah pada masa itu telah menghantar memorandum. Antara perkara yang diperjuangkan adalah untuk meletakkan Islam sebagai agama rasmi negara dalam Perlembagaan. Suruhanjaya itu berpendapat sekiranya peruntukan itu dimasukkan dalam Perlembagaan jaminan yang jelas hendaklah dibuat bagi menentukan hak orang bukan Islam dalam negara ini akan terus terpelihara (Anwar Ridhwan, 2005).

Dalam memorandum yang dikemukakan oleh Parti Perikatan pada masa itu adalah mencadangkan bahawa :

"Agama Islam hendaklah dijadikan agama negara Malaysia, tetapi prinsip ini tidak akan menyentuh hak warganegara yang bukan Islam dalam negara ini untuk menganut agama mereka,"

Cadangan seperti di atas diambil perhatian dan salah seorang daripada ahli Suruhanjaya itu Hakim Abdul Hamid (Pakistan) berpendapat, oleh sebab cadangan itu merupakan hasil daripada persetujuan sebulat suara maka patut diterima dan seterusnya mencadangkan agar satu peruntukan yang mempunyai maksud yang sama diadakan. Setelah persetujuan dicapai oleh Suruhanjaya Reid, maka termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu 1957, kemudian dikenali sebagai Perlembagaan Persekutuan Malaysia. Perkara 3 (1) berbunyi :

"Agama Islam ialah agama bagi Persekutuan tetapi agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana bahagian Persekutuan,"

Paling istemewa bagi orang Melayu, Perlembagaan telah memberi pengiktirafan perundangan, perkara 160 menyatakan bahawa :

... " Melayu ertinya seseorang yang menganut agama Islam. Lazim bercakap Bahasa Melayu, menurut adat istiadat Melayu ... "

Orang Melayu adalah penganut agama Islam dan mewarisinya turun-temurun. Oleh sebab orang Melayu orang Islam, ini memberi kesedaran yang berterusan kepada kita untuk menjadikan Islam sebagai panduan hidup. Pendidikan Islam diajarkan di sekolah sejak tahun 1 dan diletakkan dalam Dasar Pendidikan Negeri. Di samping sekolah agama yang ditadbirkan oleh rakyat dan kerajaan negeri ditubuhkan Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (Anwar Ridhwan, 2005).

Hal ini mencerminkan betapa orang Melayu pada umumnya mahu generasi Melayu mempunyai pengetahuan yang cukup mengenai Islam. Bagaimanapun, dalam pada itu terdapat juga golongan yang tidak dapat mengamalkan apa yang mereka pelajari kerana sesetengah mereka pendidikan Islam adalah untuk peperiksaan sahaja, bukan untuk amalan.


Rujukan :

Anwar Ridhwan. 2005. Minda Melayu. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka.




No comments:

Post a Comment