Pada hari ini pengkaji berbicara mengenai wasiat atau amanat. Telah dijelaskan bahawa sejak awal kedatangan Islam ke Alam Melayu lagi andaian tentang kepentingan ilmu pengetahuan dalam melaksanakan tugas peribadi dan kemasyarakatan pada peringkat tertinggi jelas kelihatan pada wasiat yang merupakan titik kenyataan dan kesedaran tertinggi seseorang muslim (Wan Mohd. Nor Wan Daud, 2005). Berikut adalah wasiat atau amanat Sultan-Sultan Melayu dan Bendahara pada zaman lampau kepada para menterinya dalam Hikayat Melayu :
- Wasiat Sultan Malikul Salleh - " Wahai Perdana Menteri kedua, baik-baik kamu kedua memelihara cucuku kedua ini insyaallah jangan kamu beri kesalahan ia dua bersaudara serta kamu kedua ajari : Hendaklah jangan kamu berdua mengubahkan setia kamu akan cucuku kedua. Juga jangan kamu beri teraniaya daripada segala hamba Allah dan jangan kamu mengerjakan segala pekerjaan yang bersalahan dengan hukum Allah, kerana firman Allah dalam Al-Quran demikian ertinya : Barang siapa tiada menghukumkan dengan barang hukum yang diturunkan Allah, maka bahawasanya mereka itu jadi kafir, ".
- Amanat Sultan Mansur Syah (Sultan Melaka) - " Wahai anakku, hendaklah engkau muafakat dengan segala menteri dan segala Orang-Orang Besarmu kerana Raja itu, jikalau bagaimana sekalipun bijaksana dan tahunya, jika tiada muafakat dengan segala pegawai, di mana ia akan dapat melakukan kebijaksanannya itu ? Dan tiada akan sentosa kerajaannya kerana Raja-Raja itu umpama api, segala menteri itu umpama kayu: kerana api tu tiada akan nyala. Seperti pepatah Parsi Yakni rakyat itu umpama akar, dan Raja itu umpama pohon : Jikalau tiada akar pohon tiada akan berdiri. Demikianlah Raja itu dengan segala rakyatnya. Wahai Anakku, hendaklah engkau turut seperti amanatku ini supaya beroleh berkat dari Allah s.w.t,".
- Wasiat Bendahara Tun Perak Paduka Raja - " Wahai segala anak cucuku, janganlah kamu tukarkan agamamu dengan dunia yang tiada kekal adanya ini : Yang hidup itu sahaja akan mati juga kesudahannya. Hendaklah kamu semua tuliskan kepada hatimu pada berbuat kebaktian kepada Allah dan Rasulullah : Dan jangan kamu sekaliannya melupai daripada berbuat kebaktian kerana pada segala hukum bahawa Raja-Raja yang adil itu dengan Nabi umpama dua buah permata pada sebentuk cincin. Apabila berbuat kebaktian kepada Raja, serasa berbuat kebaktian kepada Nabi. Inilah wasiatku pada kamu semua. Hendaklah jangan kamu lupai, agar kebesaran dunia akhirat kamu semua peroleh,".
- Wasiat Sultan Alauddin Riayat Syah - "Adapun peninggalanku ini hendaklah anakku berbuat 'ibadat' sangat-sangat, jangan anakku mengambil hak segala manusia dengan tiada sebenarnya, kerana segala hamba Allah semuanya terserah kepadamu. Jikalau kesukaran baginya, hendaklah segera engkau tolong, jikalau teraniaya ia hendaklah segera engkau selidiki baik-baik, supaya di akhirat nanti jangan diberatkan Allah atasnya lehermu kerana sabda Rasulullah s.a.w : segala kamu yang menggembala lagi akan ditanyai daripada kebelaan kamu. Ertinya, segala Raja di akhirat lagi akan ditanyai Allah daripada segala kebelaannya daripada segala rakyatnya, sebab demikianlah maka harus engkau berbuat adil dan saksama agar di sana engkau dipelihara Allah s.w.t,".
Selepas Melaka ditakluk oleh Portugis, Sultan Mahmud Shah yang menyesali kesilapannya yang lalu, telah mewasiatkan kepada Putera baginda di Kampar agar melaksanakan keadilan dan kesaksamaan ke atas rakyat dan tentera serta mengambil nasihat Bendahara dan Menteri serta hulubalang. Kesimpulannya, seseorang memerlukan kefahaman dan keyakinan yang tinggi untuk mewasiatkan segala perkara di atas. Sehubungan itu, beliau meyakini yang pendengarnya juga faham akan maksud dan implikasi wasiatnya itu. Ini mengandaikan bahawa kerangka keilmuan Islam untuk memahami pandangan alam, akhlak dan perundangan Islam telah berakar kerana Pendidikan Islam dilaksanakan dipelbagai tempat.
Rujukan :
Wan Mohd Nor Wan Daud (2005). Kerangka Keilmuan Tamadun Melayu : Satu Cerminan Ketamadunan. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka.
No comments:
Post a Comment