Tuesday, 14 May 2013

Cabaran Politik Melayu dan Sejarah Lampau

Pada hari ini, pengkaji berbicara dengan cara yang tersendiri. Pertama sekali, kita harus mengetepikan sentimen kepartian buat sementara untuk melihat perjuangan politik Melayu agar kita melihat politik Melayu secara menyeluruh dan tidak berasaskan kepada segmen fahaman ideologi politik yang berbeza (Ahmad Atory Hussain, 2005). Dalam konteks hari ini, mahu tidak mahu, hakikat menunjukkan UMNO, PAS dan PKR merupakan Parti politik Melayu yang bergerak aktif sebagai mengisi tuntutan sistem politik dan pemerintahan demokrasi di semenanjung dan juga di Sabah. Daripada 3 parti di atas, UMNO adalah parti yang paling berpengaruh dan mendapat sokongan majoriti orang Melayu di semenanjung. UMNO merupakan parti tertua yang mewakili sebilangan besar orang melayu dalam pemerintahan negara. UMNO juga memperjuangkan dan memastikan hak keistemewaan dan ketuanan Melayu terpelihara. Parti ini bejuang sehingga negara mencapai kemerdekaan pada tahun 1957 hingga kini (Ahmad Atory Hussain, 2005).

Namun begitu, jika kita menyingkap sejarah lampau bagaimana proses mengukuhkan survival politik Melayu, ternyata UMNO tidak dapat lari daripada menerima ancaman dan menempuh cabaran serta rintangan dari awal penubuhannya hingga ke hari ini. Walau bagaimanapun, cabaran dan dugaan yang timbul dapat di atasi dengan jayanya. Setiap krisis atau pergolakan sebenarnya memberi kekuatan kepada parti. Malah krisis yang berhubung dengan pindaan perlembagaan melibatkan Raja Melayu pada tahun 1983, juga tidak memberi kesan yang negatif terhadap UMNO. Antaranya ialah :
  1. PKMM (Parti Kesatuan Melayu Muda) keluar dari UMNO - Apabila UMNO ditubuhkan pada tahun 1946 oleh Dato Onn Jaafar, PKMM terserap sebagai parti gabungannya, tetapi pada 29 Jun 1946, PKMM bertindak mengisytiharkan keluar dari UMNO kerana cadangan PKMM menetapkan warna bendera ditolak di samping perbezaan ideologi dan fahaman menyebabkan sukar kedua-dua parti itu bekerjasama. Kemudian parti itu tidak bertahan lama kerana PKMM telah diharamkan selepas darurat diisytiharkan pada tahun 1948.
  2. Dato Onn Jaafar keluar dari UMNO - Pada tahun 1951, UMNO sekali lagi menerima kejutan apabila pengasas UMNO, Dato Onn Jaafar meletak jawatan kerana beliau ditohmah oleh Tunku Abdul Rahman dan Abdul Razak mengenai syarat kewarganegaraan. Beliau sedikit melonggarkan syarat kewarganegaraan berbanding Tunku yang bersifat liberal. Beliau turut dihentam lantaran sedikit melonggarkan syarat kewarganegaraan dengan bukan Melayu dan menggadai hak Melayu walhal ketika Tunku Abdul Rahman menjadi presedin UMNO telah bertindak lebih liberal lantaran mengiktiraf hak kerakyatan JUS SOLI tanpa syarat kepada bukan orang Melayu pada tahun 1955. Atas dasar itulah Dato Onn Jaafar keluar dari UMNO.
  3. Tengku Razaleigh Hamzah bertindak keluar dari UMNO - Krisis melanda UMNO apabila Tengku Razaleigh Hamzah bertindak keluar dari UMNO pada tahun 1988 dan menubuhkan Parti Semangat 46 dengan tujuan meneruskan semangat dan idealisme UMNO iaitu memperjuangkan nasib orang Melayu. Ini berikutan  kekalahan beliau dalam pertandingan pucuk pimpinan UMNO pada tahun 1987. Perpecahan dalaman UMNO tersebut tidak kekal lama. Hari demi hari Semangat 46 nampaknya semakin lemah dan bilangan mereka yang kembali semula ke pangkuan UMNO semakin meningkat termasuk di kalangan pemimpin kanan sendiri, dan parti Semangat 46 nampaknya hanya tinggal nama sahaja.
  4. Penyingkiran Anwar Ibrahim dan Penubuhan PKR - Seterusnya UMNO digemparkan pula dengan kemunculan Parti Keadilan Rakyat ekoran pemecatan Anwar Ibrahim dari UMNO dan Jawatan Timbalan Perdana Menteri. Berdasarkan agenda untuk memperjuangkan keadilan, parti ini bergerak ke seluruh Negara untuk menagih simpati rakyat. Walaupun PKR mempunyai keyakinan besar untuk merampas pemerintahan Malaysia bersama-sama Pakatan Rakyat (PAS dan DAP), tetapi Parti ini tidak mendapat apa yang dicitakannya. 
  5. Ustaz Ahmad Fuad keluar dari UMNO dan Penubuhan Parti PAS - UMNO juga mendapat tamparan hebat apabila Ustaz Ahmad Fuad seorang Pegawai Agama dalam UMNO bertindak keluar dari UMNO dan menubuhkan Parti PAS pada tahun 1951. Sejak penubuhannya, ia berkembang sebagai sebuah Parti politik Islam yang menjadi saingan kepada UMNO hingga kini. Dengan berbekalkan isu dan konsep negara Islam PAS menjaja agendanya kepada rakyat yang pada mulanya berperanan sebagai parti pembangkang Melayu, kini secara perlahan-lahan menaruh harapan untuk menjadi alternatif dan seterusnya memerintah negara (Anwar Ridhwan, 2005).
  6. Parti SAPP keluar dari BN - Di Sabah pula, pada tahun 2008, Parti Maju Sabah di bawah pimpinan Datuk Yong Teck Lee telah memutuskan untuk keluar dari Barisan Nasional (BN). Menurut beliau, "BN telah hilang kuasa moralnya untuk memerintah. Jumlah majoriti di parlimen tidak bermakna jika rakyat tidak lagi menghormati anda,". Sementara itu, Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Ahmad Badawi dalam reaksinya berkata, sudah sewajarnya SAPP meninggalkan BN kerana mereka merupakan masalah di dalam parti (Bernama).
Kesimpulannya, kepimpinan UMNO perlu menyusun semula organisasi atau parti politik Melayu agar di dalamnya terdiri daripada golongan seperti guru, pensyarah, ulama, pegawai kerajaan, ketua kampung, belia, dan semua golongan Melayu dari peringkat bawahan hingga ke peringkat bangsawan. Barisan kepimpinan UMNO tidak seharusnya didominasi oleh sesuatu golongan sahaja seperti golongan korporat dan peniaga. Jika sokongan terhadap UMNO terdiri daripada beberapa golongan Melayu sahaja dan tidak mewakili seluruh gologan Melayu, maka Parti bukan Melayu tidak akan menghormati lagi UMNO sebagai tunggak pemerintahan negara, dan ketika itu kuasa tawar-menawar orang Melayu menjadi kurang. Jika itu terjadi, tidak menghairankan nanti satu demi satu hak Melayu akan tergadai.


Rujukan :

Ahmad Atory Hussain (2005). Cabaran Politik Melayu. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka.

Anwar Ridhwan (2005). Minda Melayu. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka.




No comments:

Post a Comment