Wednesday, 15 May 2013

Cabaran Yang Menggerhanakan Politik Melayu

Seterusnya, pada hari ini pengkaji meneruskan pengkisahan mengenai cabaran politik Melayu. UMNO kini sudah menjangkau usia 60 tahun. Dalam usia sebegini, mampukah UMNO menghadapi pelbagai cabaran dan ancaman dalam meneruskan agenda perjuangannya yang dikatakan mewakili sebilangan besar orang Melayu ? Jika UMNO sebagai manusia, sama ada perempuan atau lelaki, UMNO sudah memasuki usia "menopaus" atau "andropos", tidak segagah semasa usia remajanya. Selepas lebih setengah abad, sebagai sebuah parti yang berjuang membela nasib bangsa Melayu, UMNO memainkan peranan penting dan mencatatkan pelbagai kejayaan dalam pembangunan negara secara keseluruhan. Tidak sukar untuk menyenaraikan kejayaannya, tetapi isu yang menjadi persoalan kita dalam tajuk ini sekarang ialah Bagaimana masa depan UMNO atau survivalnya ? Apakah parti Melayu ini akan terus bertahan untuk 10 tahun akan datang ? Jika UMNO masih bertahan, ke arah manakah pula perjuangannya ? (Ahmad Atory Hussain, 2008)

Pelbagai masalah, cabaran dan ancaman dalaman dan luaran terpaksa dihadapi oleh UMNO. Ini diperlihatkan misalnya perpecahan dalam parti, perebutan kuasa, sentimen politik perkauman, penyelewengan, rasuah, salah guna kuasa dalam kerajaan dan politik wang terpaksa dipikul oleh UMNO. Mampukah UMNO bertarung menangani masalah ini pada masa hadapan ? Mengikut kajian beberapa pengkaji politik tanah air, politik wang menular dan menjadi penyakit serius yang mengancam survival UMNO. Banyak pihak terpaksa mengakui gejala politik wang berbentuk rasuah kian hebat melanda parti politik dari peringkat atasan sehingga golongan akar umbi. Baru-baru ini, keputusan PRU yang ke-13 menampakkan UMNO telah tewas di semenanjung di mana BN memperolehi 76 kerusi parlimen dan Pakatan rakyat 80 kerusi parlimen. Negeri Sabah dan Sarawak merupakan "fixed deposit" UMNO. Negeri Borneo merupakan penyelamat buat BN. Jika tidak, sudah tentu BN akan tewas, Persoalannya sekarang, Pakatan Rakyat juga tidak boleh dipandang enteng sekarang memandangkan mereka telah berjaya menyusup ke Sabah dan Sarawak. Di Sabah mereka memperolehi 11 kerusi di Dun dan 3 di Parlimen. Di Sarawak pula, mereka berjaya memperolehi 6 kerusi parlimen.

Oleh yang demikian, UMNO perlu meneruskan dasar yang belum selesai. Pemimpin dan pegawai Melayu tidak seharusnya rasa bersalah, takut dan bimbang untuk melaksanakan hak Melayu dan agenda pembangunan Melayu yang belum selesai.


Rujukan :

Ahmad Atory Hussain (2008). Cabaran Politik Melayu. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.



No comments:

Post a Comment