Friday, 17 May 2013

Minda Adab Ketatanegaraan Kesultanan Melayu : Derhakakah Si Jebat ?

Pada hari ini pengkaji menelusuri pula tentang adab Ketatanegaraan Kesultanan Melayu yang ditulis oleh Jelani Harun (2005). Menurutnya, Adab ketatanegaraan memberi penekanan yang khusus tentang kepentingan akal kepada Raja. Raja dinasihati agar sentiasa menggunakan akal dengan sebaiknya. Akal merupakan alat bagi Raja mendapatkan ilmu pengetahuan tentang adab pemerintahan negara dan dapat melaksanakan tugas sebagaimana tuntutan agama. Akal dan ilmu pengetahuan lebih utama daripada kuasa dan kekayaan harta.

Kewujudan konsep adab ketatanegaraan berkait rapat dengan kedatangan dan perkembangan Agama Islam di Alam Melayu. Melalui ajaran Islam, kesucian martabat Raja tidak lagi diagungkan melalui mitos para dewa tetapi tertanam kukuh sebagai sebahagian daripada asas keimanan manusia terhadap Tuhan. Islam menentukan Raja adalah pemimpin yang wajib dipatuhi oleh rakyat. Ketaatan kepada Raja mempunyai hubung kait dengan ketaatan kepada agama. Walau bagaimanapun, Islam meletakkan syarat ke atas keistemewaan kedudukan Raja. Walaupun Raja dianggap sebagai 'Bayangan Tuhan di Dunia' tetapi dengan andaian mereka melaksanakan urusan pemerintahan berasaskan garis panduan yang dtentukan (Jelani Harun, 2005). Persoalan ini sudah lama terungkap dalam pemikiran masyarakat Melayu melalui penulisan adab ketatanegaraan. Raja Ali Haji ada menjelaskan bagaimana sifat Raja yang tidak baik dalam karyanya yang berbunyi :

" Raja yang sesat sangkanya pada makna kerajaan, kerana sangkanya maka Raja itu memperbuat apa sukanya atas rakyatnya, jadilah ia mengikutkan hawa nafsunya tiada tahu akan halal dan haram, dan dosa dan pahala, dan sah dan batal, serta melalaikan dia daripada memenuhkan perutnya dengan makanan yang lazat-lazat, dan membatalkan akal cerdiknya dengan memperbanyakkan sekedudukan dengan perempuan sebab memenuhi syahwatnya, serta tamak dan lobanya pada beristeri dan bergundik, hingga berjalanlah segala askarnya segenap dusun dan kampung-kampung rakyatnya mencari perempuan yang baik-baik rupa supaya memenuhi nafsu syahwat rajanya,".

Dalam Sejarah Melayu juga ada dikisahkan bagaimana Hang Jebat bangkit menentang kezaliman Raja. Ungkapan keramat Hang Jebat adalah seperti berikut : "Raja Adil Raja Disembah, Raja Zalim Raja Disanggah". Raja yang zalim secara langsung melanggar prinsip keadilan dalam pemerintahannya. Raja yang bersifat demikian tidak akan membawa kebaikan kepada rakyat dan negara sebaliknya mengundang bala bencana dan kehancuran diri sendiri serta negara. Sifat keadilan Raja turut mendapat perhatian Syeikh Duyung dalam karyanya yang berbunyi :

"Maka hendaklah bersungguh-sungguh atas segala yang jadi Raja itu memeliharakan dari mengerjakan zalim dan aniaya. Maka keduanya itulah pohon yang jadi kebinasaan dan asal yang jadi kerosakan dan sebab yang jadi keruntuhan dan kehancuran kerajaannya. Kerana apabila sudah mengetahui orang akan Raja dan Sultan itu dengan zalim dan aniayanya nescaya bencilah akan dia segala rakyatnya dan dukacitalah hati mereka itu daripadanya pada malam dan siang. Dan sukalah mereka itu akan hilang kerajaannya dan kebinasaannya dan melepaskan lidah mereka itu dengan mencaci serta doa sekalian mereka itu dengan kejahatan dan kerosakan kerajaan,".

Petikan di atas memberikan satu persepsi terhadap Raja selaku ketua bagi sebuah negeri. Andainya Raja tidak berpegang kepada hukum syariat, sebaliknya meruntuh atau melanggar hukum syariat dengan amalan adat-istiadat yang bertentangan dengan Islam, maka Raja atau pemerintah dianggap selaku ketua yang zalim.

Bagi rakyat yang hidup di bawah pemerintahan seseorang Raja yang tidak disukai ataupun zalim, Nuruddin al-Raniri menasihati mereka supaya bersabar, dan menyerahkannya kepada ketentuan Tuhan. Sifat sabar akan memelihara keselamatan diri rakyat daripada ancaman kezaliman Raja. Rakyat yang tidak dapat menahan sabar akan menjerumuskan diri mereka ke kancah penderhakaan (Bustan al-Salatin, MS USM 41, hlmn. 292-297) : 

"Barang siapa melihat daripada suatu pekerjaan Rajanya maka benci ia akan dia, maka bersabarlah, bahawasanya tiada seorang jua pun menceraikan dirinya daripada segala jemaah kira sejengkal jua pun, maka ia mati melainkan adalah kematian derhaka,".

Oleh itu, derhakakah Si Jebat ?


Rujukan :

Jelani Harun (2005). Minda Adab Ketatanegaraan Kesultanan Melayu. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka.



No comments:

Post a Comment