Saturday 6 December 2014

Mengimbau Sejenak Sejarah Lampau


Dalam isu ini, penulis tidak pula membincangkan kesan negatif kedatangan buruh asing dalam sesebuah negara kerana sememangnya banyak perkara negatif yang berlaku berbanding positif. Sebaliknya, penulis mengimbau sejenak sejarah zaman lampau.

Negara Malaysia adalah contoh negara bermasyarakat majmuk. Kemajmukannya bukan sahaja pada populasinya yang mana jumlah orang Melayu hampir sama banyak dengan jumlah keturunan imigran bukan Melayu (Wan Hashim Wan Teh, 1983). Tegasnya, masalah perkauman yang rumit di Malaysia sebahagian besarnya disebabkan oleh dasar penjajah British yang menggalakkan ramai pendatang dari India dan Cina pada awal abad ke-19. Keadaan ini diikuti dengan amalan sistem penajajah iaitu dasar pecah dan perintah yang menyebabkan kelompok etnik utama menjadi terasing dan membawa kepada pembahagian pekerjaan berasaskan kaum. Walau bagaimanapun, adalah amat tidak wajar masalah itu adalah disebabkan kemajmukan masyarakat semata-mata. Masalah hubungan etnik juga perlu diteliti dari aspek lain seperti modenisasi, ketidaksamarataan kaum, mempolitikan masyarakat awam, perbezaan etnik dan lain-lain.

Zaman penjajahan British yang bermula pada awal abad ke-19 menyaksikan kebanjiran pendatang dari Cina dan India. Kedatangan orang Cina dan India secara beramai-ramai ke Tanah Melayu dibenarkan malah digalakkan oleh British, namun tidak wujud sebarang usaha untuk menyatukan mereka dengan komuniti Melayu. Penghijrahan mereka ini disebabkan oleh perkembangan ekonomi baharu yang mencetuskan permintaan tenaga buruh untuk bekerja di ladang getah, lombong bijih timah, pusat perdagangan, pelabuhan dan sebagainya.

Pada tahun 1824, Kepulauan Melayu telah dipecahkan oleh penjajah kepada dua pengaruh politik iaitu British dan Belanda melalui Perjanjian Inggeris-Belanda. Kepulauan Indonesia, Kalimantan, Bangkahulu, Sulawesi, Jawa, Sumatera dan seluruh wilayah Indonesia jatuh ke tangan Belanda manakala Tanah Melayu dan Kepulauan Borneo jatuh ke tangan British. Sementara itu, Filipina telah jatuh ke tangan Sepanyol. Pemecahan Induk Alam Melayu ini telah menyebabkan keserumpunan Melayu telah dipupuskan oleh penjajah-penjajah barat. Ini kerana Tanah Melayu, Borneo, Indonesia dan Filipina mempunyai pertalian sejarah yang amat dekat.

Kemudian pada tahun 1874, satu perjanjian telah ditandatangani di antara Sir Andrew Clarke dengan Raja Abdullah (Perak) yang dikenali sebagai Perjanjian Pangkor 1874. Perjanjian ini telah membuka ruang kepada pihak Inggeris untuk menguasai dan mengeksploitasi ekonomi Tanah Melayu. Sistem Residen telah diperkenalkan. Akibatnya, British mula campurtangan dalam hal ehwal negeri-negeri Melayu yang membawa kepada pemindahan kuasa pentadbiran daripada raja-raja Melayu kepada pegawai-pegawai yang dilantik oleh pihak Empayar British untuk mentadbir dan menguruskan semua aspek pentadbiran negeri-negeri Melayu kecuali urusan agama Islam dan juga adat resam orang-orang Melayu. Campur tangan ini kemudiannya membawa kepada penjajahan sepenuhnya negeri-negeri Melayu di bawah penguasaan British. Penyerahan kuasa ini dibuat secara rela oleh raja-raja Melayu dengan hanya mendapat janji-janji palsu dan pemberian pencen kecil yang diberikan oleh kerajaan British.

Pada tahun 1946 pula (setelah kekalahan tentera Jepun) Malayan Union telah diperkenalkan oleh British. Apabila Malayan Union diperkenalkan oleh British, isu hak kerakyatan kaum bukan Melayu sebelum merdeka, terutama selepas berakhirnya Perang Dunia Kedua menjadi isu yang kontroversi dan sensitif dalam kalangan pelbagai kaum, terutama dalam kalangan orang Melayu. Hak kerakyatan ini telah menjadi matlamat perjuangan kaum bukan Melayu terutama selepas penubuhan Persekutuan Tanah Melayu pada tahun 1948. Penubuhan Persekutuan Tanah Melayu 1948 dilihat oleh kaum bukan Melayu lebih banyak meninggalkan kesan negatif terutama dalam perjuangan mereka untuk mendapatkan hak kerakyatan dan kesaksamaan hak, sebaliknya ia dilihat lebih banyak memberi perlindungan dan mengukuhkan kedudukan bangsa Melayu di negara ini. Lantas perjuangan kaum bukan Melayu bagi mendapatkan hak kerakyatan menimbulkan tindak balas daripada orang Melayu (Abdul Halim Ramli).

Namun begitu, sebahagian besar dari imigran Cina boleh mendapatkan hak kerakyatan berasaskan kepada permohonan, tetapi harus memenuhi syarat seperti mempunyai pengetahuan bahasa Melayu dan bahasa Inggeris yang memadai. Akibatnya, sebahagian besar kaum Cina asing (pendatang) tetap menjadi pendatang di Malaya, manakala golongan pendatang dari Indonesia yang telah diiktiraf oleh Sultan Melayu sebagai rakyat Malaya bersama dengan orang Melayu telah diberi kerakyatan berdasarkan "kuat kuasa undang-undang". Bagaimanapun, di bawah Perjanjian Persekutuan, berdasarkan annual report bagi tahun 1950, seramai 3,120,000 orang telah menjadi warganegara melalui kuat kuasa undang-undang, di mana 2,500,000 orang adalah orang Melayu, 350,000 Cina dan 225,000 adalah orang India, Pakistan dan Ceylon. Selepas ditambah dengan bilangan mereka yang memperoleh kerakyatan berdasarkan permohonan, jumlah warganegara Persekutuan dianggarkan sebanyak 3,275,000, di mana 2,500,000 adalah orang Melayu, 500,000 Cina dan 230,000 adalah orang India, Pakistan dan Cyelon (Abdul Halim Ramli).

Ini disebabkan oleh Tunku Abdul Rahman yang bertindak terlebih liberal berbanding Dato Onn Jaafar lantaran mengiktiraf hak kerakyatan Jus Soli tanpa syarat kepada bukan Melayu pada tahun 1955. Malah, Tunku Abdul Rahman (UMNO) bersetuju pula melonggarkan lagi pelbagai syarat kerakyatan kepada bukan Melayu semata-mata untuk menarik sokongan MCA dan MIC. Manakala Dato Onn Jaafar pula ditohmah dan dituduh kerana menjadi perkakas penjajah dan mengkhianati hak Melayu. Kesemua tohmahan itu ditangkis oleh Dato Onn Jaafar. Oleh kerana itulah Dato Onn Jaafar meninggalkan UMNO kerana salah satunya adalah faktor di atas (Buku Hubungan Etnik).

Sebenarnya, itu adalah taktik, rencana dan strategi penjajah barat bagi menguasai ekonomi dan mengekalkan empayarnya di Tanah Melayu.


Kesannya, Tanah Melayu diduduki oleh kaum Melayu, India, Cina, Bangladesh dan Pakistan yang menyebakan tercetusnya masyarakat majmuk di Tanah Melayu pada ketika itu sehingga ke hari ini.

Begitulah serba sedikit ceritera yang empunya ceritera.


Rujukan :

Wan Hashim Wan Teh. 1983. Hubungan Etnik Di Malaysia. Kuala Lumpur : Attin Press Sdn. Bhd.

Abdul Halim Ramli. ______ . Perdebatan Antara Kaum Mengenai Isu Kerakyatan Sebelum Merdeka. _____________ .





No comments:

Post a Comment