Friday 5 December 2014

Keperluan Tenaga Manusia : Produktiviti Buruh

Produktiviti sering dikaitkan dengan buruh maka disebut sebagai produktiviti buruh kerana menggambarkan jumlah output yang dihasilkan oleh setiap pekerja tersebut. Dengan kata lain, produktiviti buruh mengukur kecekapan serta keberkesanan setiap pekerja dalam menghasilkan jumlah output. Oleh itu, produktiviti boleh diertikan sebagai satu perbandingan antara hasil nilai ditambah (output) dengan jumlah buruh-buruh yang digunakan (input) ataupun dapat ditakrifkan juga sebagai nilai ditambah bagi seseorang pekerja (Rahmah 2003). Manakala output ditakrifkan sebagai hasil atau produk yang dikeluarkan oleh sesebuah industri atau organisasi dimana ia dapat sama ada dalam bentuk nilai pengeluaran atau nilai ditambah. Input pula merupakan sumber-sumber yang digunakan oleh industri untuk menghasilkan output seperti pekerja (jumlah pekerja atau jam bekerja), bahan mentah, modal dan sebagainya.

Produktiviti buruh merupakan penentu terpenting yang mempengaruhi tahap pendapatan di sesebuah negara (Solow 1957). Produktiviti buruh mempunyai hubungan yang rapat dengan pertumbuhan ekonomi dan merupakan penentu bagi kemantapan ekonomi. Oleh itu, memahami penentu dan sumber peningkatan produktiviti buruh sangat penting bagi memahami pertumbuhan ekonomi. Antara faktor yang menyebabkan peningkatan produktiviti buruh ialah teknologi, modal fizikal dan modal manusia (Rahmah Ismail, 2007). Manakala menurut Englander dan Gurney (1994) pula, produktiviti buruh yang rendah akan menghadkan kadar peningkatan pendapatan dan juga boleh meningkatkan kejadian konflik dalam agihan pendapatan.

Peningkatan produktiviti buruh akan memberi faedah kepada semua pihak iaitu pengusaha, pekerja, pengguna dan faedah kepada negara. Dalam persaingan yang ketara untuk meningkatkan daya saing global, peningkatan produktiviti buruh menjadi penting kerana ianya melibatkan semua struktur Prosiding Persidangan Kebangsaan Ekonomi Malaysia Ke-VII (2012)/1334, ekonomi dalam pelbagai bentuk. Peningkatan produktiviti buruh ini juga bermakna peningkatan kekayaan yang dikongsi bersama antara pekerja, majikan dan negara. Menurut Cheong Choo Leong (2000), perlunya peningkatan produktiviti buruh dengan menekankan input yang berkualiti serta proses yang efektif. Beliau mengutarakan lima faktor yang mempengaruhi peningkatan produktiviti iaitu kelengkapan modal, tenaga manusia, bahan-bahan, maklumat dan teknologi.

Produktiviti buruh juga turut diukur melalui kesan terhadap pelaburan langsung asing (FDI) dan juga melalui perubahan arus teknologi. Xiaming Liu (2001) telah membuat kajian emperikal mengenai kesan FDI terhadap produktiviti buruh dalam industri elektronik China dengan menggunakan kaedah panel data. Data yang digunakan berasal dari 47 sub sektor industri elektronik daripada tahun 1996 kepada tahun 1997. Hasil kajian didapati bahawa FDI mempunyai kesan positif dan tinggi terhadap produktiviti buruh dalam sektor industri elektronik di China. Selanjutnya, kajian Ching-Cheng dan Yir-Hueih (2000) mengkaji kecekapan dan pertumbuhan produktiviti di 10 negara-negara Asia juga mendapati bahawa aliran masuk FDI turut menyumbang kepada peningkatan produktiviti buruh melalui inovasi tenologi di negara-negara Asia yang dikaji.

Menurut kajian Nochoulas Oulton (1990) yang mengkaji produktiviti buruh dalam sektor industri di Inggeris dalam era 1970-an dan 1980-an pula mendapati bahawa pelaburan dalam teknologi baru memberikan sumbangan signifikan terhadap pertumbuhan produktiviti buruh dalam sektor industri, sedangkan peningkatan dalam harga input pertengahan menyebabkan penurunan produktiviti buruh.


Rujukan :

Habibah Ahmad, Poo Bee Tin & Ishak Yussof. 2012. Keperluan Tenaga Manusia Dalam Sektor Pembuatan Di Malaysia. Bangi : Pusat Pengajian Ekonomi Fakulti Ekonomi dan Pengurusan Universiti Kebangsaan Malaysia.



No comments:

Post a Comment