Wednesday 3 December 2014

Ekonomi II : Zaman Mata Wang Apungan 1973-2009 Dan Inflasi

Sistem Bretton Woods telah berjalan dengan baik sehingga pada tahun 1971 apabila Amerika Syarikat mengalami defisit dalam imbangan pembayarannya akibat percetakan dolar yang berlebihan daripada rizab emas. Kemusnahan sistem tukaran tetap melambangkan manifestasi Amerika Syarikat mengekang defisit imbangan pembayarannya yang semakin besar.

Ketidakseimbangan tuntutan bayaran dengan simpanan emas yang ada menyebabkan Amerika Syarikat mengalami kemerosotan besar dalam rizab emasnya, iaitu daripada sebanyak AS$18.0 bilion pada tahun 1960 menjadi sebanyak AS$11.0 bilion pada tahun 1970. Jumlah ini akan menjadi lebih besar sekiranya dimasukkan segala tuntutan jangka pendek yang perlu dilunaskan oleh Amerika Syarikat. Oleh yang demikian, tidak hairanlah apabila semakin banyak negara yang meragui bahawa nilai pariti emas dolar Amerika Syarikat seperti yang ditetapkan pada awal sistem Bretton Woods tidak dapat dipertahankan (Mohidin 1994).

Pada 18 Disember 1971, negara-negara industri utama yang terdiri daripada kumpulan 10 iaitu Belgium, Kanada, Prancis, Jerman, Itali, Amerika Syarikat, Jepun, Belanda, Sweden dan United Kingdom (Chacholiades 1973) telah bersetuju membuat satu perjanjian yang dinamakan Perjanjian Smithsonian bagi meredakan sementara keadaan di pasaran tukaran asing. Melalui perjanjian tersebut, Amerika Syarikat bersetuju menurunkan nilai dolar dengan syarat Jerman, Jepun dan Prancis bersetuju untuk menaikkan nilai mata wang masing-masing. Amerika Syarikat bersetuju menaikkan nilai emas daripada AS$35 seauns kepada AS$38 seauns yang mana sama dengan penurunan dolar AS sebanyak 7.9%. Dengan perkembangan terakhir, dolar AS ternyata tidak berupaya menjadi mata wang rizab tunggal bagi seluruh dunia walaupun ia masih mengekalkan statusnya sebagai mata wang antarabangsa. Oleh itu, negara Eropah seperti Jerman, Itali dan Prancis telah memutuskan untuk mengapungkan mata wang masing-masing di pasaran tukaran mata wang asing (Mohidin 1994).

Bulan Februari pada tahun 1973, penurunan nilai terpaksa dilakukan sekali lagi sebanyak 10%, tetapi keadaan tidak berubah dan akhirnya pada bulan Mac 1973, pasaran tukaran asing terpaksa ditutup untuk beberapa minggu apabila keadaan tidak dapat dikawal. Apabila ia dibuka kembali, kadar pertukaran dibenarkan terapung dan dengan sendirinya menamatkan sistem Bretton Woods. Semenjak runtuhnya Perjanjian Bretton Woods, sistem kewangan dunia telah digantikan dengan sistem mata wang apungan di mana nilai mata wang sesebuah negara, dinilai pada mata wang negara lain. Kaedah ini mengakibatkan ketidaktentuan turun naik nilai mata wang sekali gus memberi peluang kepada spekulator mata wang mengaut keuntungan atas kerugian negara lain. Richard Duncan (1994), dalam bukunya “The Dollar Crisis,” meramalkan kemungkinan satu krisis ekonomi yang mungkin lebih buruk daripada ‘Great Depression’ seandainya sistem kewangan sekarang diteruskan. Sistem kadar pertukaran terapung dengan rasminya dibenarkan oleh satu perjanjian yang dikenali sebagai Perjanjian Jamaica pada tahun 1976 dan pada masa yang sama emas tidak lagi mempunyai nilai rasmi. Emas hanya dijual dan dibeli oleh bank pusat pada harga pasaran.

Sistem kadar pertukaran terapung beroperasi apabila pihak berkuasa kewangan biasanya bank pusat sesebuah negara tidak dipertanggungjawabkan untuk memastikan nilai pertukaran berada dalam satu had atau lingkungan yang telah ditetapkan. Dengan kata lain, sistem kadar pertukaran ini sama ada naik atau turun berdasarkan faktor-faktor penawaran dan permintaan terhadap sesuatu mata wang dalam pasaran. Seperti juga barang komoditi, apabila sesuatu mata wang melebihi penawaran di pasaran wang antarabangsa maka nilai mata wang tersebut akan turun.

Jadi, secara amnya sistem pertukaran terapung akan menjadi lebih mudah berubah daripada sistem kadar pertukaran tetap, disebabkan faktor permintaan dan penawaran mata wang yang tidak menentu dan tanpa campur tangan daripada pihak berkuasa kewangan (Wan Mansor 1983). Oleh itu, bermula tahun 1973 sehingga ke hari ini sistem kewangan dunia menggunakan sistem mata wang terapung. Mata wang tanpa sandaran akan mudah dispekulasi dan dimanipulasi oleh kuasakuasa besar seperti Amerika Syarikat.

Manakala Inflasi pula bermaksud kenaikan tingkat harga umum secara berterusan di sesebuah negara dalam tempoh masa tertentu (Peter L. Bernstein 1968). Dalam ekonomi, inflasi bermaksud peningkatan yang berterusan dalam tingkat harga umum barangan dan perkhidmatan. Inflasi juga boleh merujuk kepada peningkatan harga untuk barangan atau perkhidmatan tertentu seperti kenaikan harga makanan tanpa kenaikan gaji. Kejatuhan nilai mata wang juga boleh dianggap sebagai inflasi.

Ahli ekonomi bersetuju bahawa hiperinflasi (kadar inflasi yang tinggi) disebabkan oleh pertumbuhan tinggi bekalan wang. Pandangan tentang kadar inflasi yang sederhana pula pelbagai. Inflasi yang rendah atau sederhana di sumbang oleh turun naik permintaan sebenar barangan dan perkhidmatan, atau perubahan dalam bekalan seperti semasa kekurangan, dan juga pertumbuhan dalam bekalan wang. Kebanyakan ahli ekonomi bersetuju tempoh inflasi yang berterusan disebabkan kadar pertumbuhan bekalan wang lebih pantas daripada pertumbuhan produktiviti dalam sesuatu ekonomi.

Sejarah inflasi dunia menyaksikan bahawa terdapat perbezaan yang ketara sewaktu dunia mengamalkan penggunaan mata wang emas/perak atau bersandarkan piawaian emas dengan penggunaan mata wang kertas. Secara umumnya dapat ditunjukkan bahawa kadar inflasi adalah rendah pada masa regim mata wang menggunakan emas atau bersandaran emas berbanding kadar inflasi yang tinggi dalam tempoh mata wang apungan. 


Rujukan :

Kajian Salmy Edawati Yaacob, Sanep Ahmad & Wan Najihah. Kestabilan Mata Wang Dalam Menangani Krisis Ekonomi: Ke Arah Penggunaan Dinar Emas.


No comments:

Post a Comment