Friday 5 December 2014

Impak Globalisasi Terhadap Produktiviti Buruh Dalam Sektor Pembuatan Di Malaysia

Pada tahun 2008, Ekonomi Malaysia terus berada pada tahap yang kukuh dengan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak 4.6 peratus selaras dengan pertumbuhan KDNK negara. Pertumbuhan produktiviti berkembang sebanyak 2.9 peratus kepada RM49,526. Tahap Produktiviti meningkat dalam suasana Malaysia menghadapi persaingan yang ketat dari pelbagai negara. Syarikat telah mencari cara meningkatkan produktiviti dalam pelbagai aspek. Dalam sektor pembuatan rejection rate harus dikurangkan, sedangkan dalam inovasi produk perlu dibaiki. Malaysia tidak lagi menjadi sumber tenaga kerja murah dan mula berpindah ke teknologi tinggi untuk mencapai produktiviti yang lebih besar dan kelebihan (MPC, 2010).

Menurut Solow (dalam kajian Rahmah Ismail 2007: 281) produktiviti buruh merupakan penentu terpenting yang mempengaruhi tahap pendapatan di sebuah negara. Produktiviti buruh yang rendah akan menghadkan kadar peningkatan pendapatan dan juga boleh meningkatkan kejadian konflik dalam agihan pendapatan. Dalam sektor pembuatan, faktor buruh dan modal memainkan peranan penting menyumbang kepada pertumbuhan output. Faktor buruh yang cekap telah membantu meningkatkan produktiviti sektor pembuatan. Pembangunan yang berjaya bukan sahaja merangkumi pertumbuhan modal fizikal buruh tetapi juga metangkumi pertumbuhan produktiviti faktor keseluruhan (TFP). Memahami hakikat bahawa faktor-faktor input adalah terhad maka tumpuan masa kini harus dialihkan kepada produktiviti. Porter (1990) menyatakan bahawa kunci kepada pertumbuhan pendapatan perkapita ialah pertumbuhan produktiviti. Sementara itu kunci kepada pertumbuhan ekonomi ialah inovasi dan kunci kepada inovasi ialah sejauhmana berfungsinya atau berjayanya sistem inovasi yang dibentuk. 

Sektor pembuatan menyumbang sebahagian besar pertumbuhan ekonomi Malaysia. Sektor ini dianggap sebagai enjin pertumbuhan kerana memberi sumbangan bermakna kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), guna tenaga dan eksport. Hal ini di sokong dengan penglibatan negara dalam perdagangan antara bangsa dan pelaburan asing yang berfungsi sebagai peneraju kepada pertumbuhan ekonomi negara. Kedudukan sektor pembuatan dapat dilihat daripada penunjuk utama sektor pembuatan berbanding dengan sektor lain. Bahagian sektor pembuatan kepada KDNK terus meningkat dari 18.3 peratus pada tahun 1970 kepada hampir 31.9 peratus pada tahun 2000 dan kepada 31.4 peratus pada tahun 2005. Sumbangan sektor pembuatan kepada jumlah eksport juga meningkat dari 21.7 peratus pada tahun 1980 kepada lebih daripada 85.0 peratus pada tahun 2000 dan 80.5 peratus pada tahun 2005. Sektor pembuatan juga telah berjaya mewujudkan peluang pekerjaan sebanyak 27.7 peratus dari jumlah tenaga pada tahun 2000 kepada 28.7 peratus pada tahun 2005. Sektor pembuatan mencatat pertumbuhan pada kadar purata 4.1 peratus setahun dalam tempoh RMK-Prestasi tersebut di capai walaupun sektor pembuatan mengalami penguncupan sebanyak 5.9 peratus pada tahun 2001. Pada RMK 9 Sektor pembuatan menyumbang 29.4 peratus daripada jumlah pekerjaan yang diwujudkan dalam tempoh rancangan. (Malaysia, 2006).

Globalisasi telah menjadi fenomena yang tidak dapat dihindari. Perekonomian dunia semakin mengarah kepada satu kesatuan global. Hoogvelt (1997:117-118) pula mencirikan globalisasi dari segi pemampatan dunia sebagai peningkatan saling bergantung antara sistem negara oleh corak perdagangan, perikatan dan kerjasama di antara negara dan kewujudan organisasi antarabangsa dan kesedaran global yang dimanifestasikan oleh pendedahan penduduk dunia kepada kesatuan komunikasi melalui pemampatan masa dan ruang. Dari sudut ekonomi, Lairson & Skidmore (1997) melihat globalisasi sebagai perluasan perusahaan melalui sempadan negara. Globalisasi perdagangan dihubungkaitkan dengan liberalisasi dalam dasar perdagangan yang telah mengubah cara kerja, pemikiran dan penggunaan serta mengurangkan halangan terhadap perdagangan bebas. 

Isu-isu globalisasi sebenarnya telah lama menjadi bahan kajian oleh para sarjana. Kajian yang dilakukan oleh Ramlee Mustapha dan Ramziah Husin (2002) yang menerangkan seharusnya masyarakat Malaysia mengkaji impak globalisasi dan ekonomi secara kritis kerana masyarakat Malaysia harus berdepan dengan cabaran baru yang dibawa oleh globalisasi dan ekonomi akibat dari kemajuan dalam bidang teknologi maklumat dan komunikasi. Hasil kajian didapati bahawa pendidikan dan perancangan pendidikan akan terus memainkan peranan penting dalam menyediakan sumber manusia yang bersaing pada era globalisasi.

Jika diimbau pada tahun 2008, ekonomi Malaysia terus berada di tahap yang kukuh dengan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak 4.6 peratus selaras dengan pertumbuhan KDNK negara (Aliya Rosa & Rahmah Ismail, 2010). Pertumbuhan produktiviti Malaysia berkembang sebanyak 2.9 peratus kepada RM49,526. Pertumbuhan produktiviti Malaysia ini adalah lebih tinggi dari sesetengah negara-negara OECD seperti Amerika serikat sebanyak 2.1 peratus, Jepun sebanyak 0.8 peratus, Australia sebanyak 0.4 peratus. Bila dibandingkan dengan negara-negara Asia, Malaysia mencatatkan produktiviti lebih tinggi daripada Thailand dan Hongkong yang masing-masing mempunyai produktiviti sebanyak 2.0 peratus dan 1.6 peratus, Taiwan sebanyak 0.7 peratus dan Singapura -0.9 peratus.Walaubagaimanapun, tahap produktiviti Malaysia adalah lebih rendah berbanding negara-negara OECD lainnya. Di antara faktor-faktor yang mendorong kepada peningkatan dikalangan negara-negara maju ialah pengadaptasian teknologi canggih, kebolehan dan kapasiti inovasi yang tinggi serta aktiviti pembangunan dan penyelidikan secara efektif (MPC, 2010).

Cabaran yang penting ialah Malaysia perlu meningkatkan produktiviti dan daya saingnya bagi mencapai kadar pertumbuhan tinggi dan mapan supaya menjadi negara industri maju menjelang tahun 2020. Peningkatan pengetahuan dalam aktiviti ekonomi, peningkatan produktiviti dan penggunaan sumber yang cekap akan menjadi pendorong utama kepada pertumbuhan.


Rujukan :

Aliya Rosa & Rahmah Ismail. 2010. Impak Globalisasi Terhadap Produktiviti Buruh Dalam Sektor Pembuatan Di Malaysia. Bangi : Universiti Kebangsaan Malaysia.


No comments:

Post a Comment