Monday 4 November 2013

Sejarah Bumi Anbiya I : Jeddah


Di Jeddah, terdapat banyak tempat yang menarik untuk diketahui oleh umat Islam. Jeddah ialah Kota Pelabuhan utama di Arab Saudi dan juga lapangan terbang serta laluan masuk ke Mekah atau Madinah (A. Azizan, 2013). 

Jeddah terletak di kawasan tepi Laut Merah. Kota ini pada asalnya sebuah kota nelayan dan didirikan pada tahun 647M oleh Khalifah Uthman Bin Affan yang akhirnya digunakan sebagai pelabuhan untuk kepentingan jemaah Haji (A. Azizan, 2013). Tambahnya lagi, antara yang menarik di Jeddah ini ialah :
  1. Masjid Qisas - Masjid ini sama seperti masjid-masjid yang lain, iaitu sebagai tempat solat tetapi di perkarangan masjid ini digunakan untuk memancung kepala yang dikenakan Hukuman Hudud. Di Masjid tersebut didirikan sebuah bangsal yang digunakan sebagai tempat hukuman pancung bagi kesalahan yang melibatkan kematian (A. Azizan, 2013). Biasanya, hukuman pancung dilakukan setiap selesainya Solat Jumaat. Hukuman ini sangat cepat dan efektif dengan disaksikan oleh orang ramai. Sebaik sahaja kepala si pesalah ditundukkan, si pesalah terus dipenggal. Kemudian, lantai disiram dengan air dan dibersihkan. Manakala mayat yang sudah dipancung itu disolatkan di masjid.
  2. Makam Hawa - Satu lagi yang menarik di Kota Jeddah ini ialah Makam Hawa. Makam Hawa terletak di Al-Amariyah Distrik, daerah Kota Lama Jeddah. Lebih jelas lagi, Makam Hawa berada di Jalan Maukib Al-Iman. Di daerah kota lama ini merupakan peninggalan zaman kekhalifaan Turki (A. Azizan, 2013). Menurut Muhammad Abdul Wahab (2011), Jeddah merupakan tempat turunnya Siti Hawa ke Bumi setelah melanggar perintah Allah s.w.t di syurga manakala Nabi Adam pula diturunkan di Tanah Hindustan.
  3. Masjid Terapung di Pinggir Laut Merah - Dipinggir Laut Merah, terdapat sebuah masjid yang terkenal dengan gelaran Masjid Terapung. Masjid ini merupakan masjid pertama yang dibina secara terapung, kemudiannya baru diikuti oleh masjid di negara-negara lain. Masjid ini juga dikenali sebagai Masjid Al-Rahmah. Masjid ini dipanggil masjid terapung kerana sebahagian besar daripada bangunan masjid ini berada di bahagian laut dan berada di atas air (A. Azizan, 2013).
Begitulah serba sedikit ceritera yang empunya ceritera.


Rujukan :

A. Azizan (2013). Sejarah Bumi Anbiya. Selangor : Ladybug Publishing and Distribution.

Muhammad Abdul Wahab (2011). Kisah Hidup 25 Nabi dan Rasul. Selangor : Berlian Publication Sdn. Bhd.




No comments:

Post a Comment