Monday 4 November 2013

Sejarah Bumi Anbiya II : Parsi (Iraq)


Sebaik sahaja Nabi Muhammad s.a.w dilahirkan, istana Raja Parsi (iaitu Iraq sekarang ini) telah bergegar. Kerajaan Parsi merupakan kerajaan yang paling besar pada masa itu. Gegaran itu menyebabkan 14 anjung istana runtuh dan api yang sedang disembah oleh kaum Majusi tiba-tiba telah terpadam walhal api yang disembah sejak beribu-ribu tahun itu tidak pernah padam walaupun seketika (A. Azizan, 2013). Menurut A. Azizan (2013) lagi, bukan itu sahaja malah gegaran itu telah menyebabkan Tasik Sawwah berdekatan dengan Istana Parsi tertimbus.

Apabila Raja Parsi yang bernama Raja Kisra melihat kejadian-kejadian pelik itu, maka baginda berasa sangat takut dan terus memanggil ahali-ahli nujum yang dapat berkomunikasi dengan jin. Perlu diingatkan bahawa jin-jin pada waktu itu sebelum kelahiran Nabi Muhammad s.a.w memang jin yang boleh naik ke langit untuk mengintai berita dari langit (A. Azizan, 2013). Setelah ahli nujum berhubungan dengan jin dan mendapat beritanya, ahli nujum memberitahu Raja bahawa gegaran kuat yang terjadi itu sebagai petanda lahirnya seorang nabi dan runtuhnya 14 anjung istana itu bermakna Kerajaan Parsi akan bertahan selama 14 orang raja lagi dan selepas itu Kerajaan Parsi akan jatuh. Raja Kisra menjawab, 14 orang raja lagi adalah masa yang masih panjang dan tidak perlu bimbang. Tetapi selepas kematian Raja Kisra, anak-anaknya mula berebut kuasa. Hanya dalam masa 4 tahun, 10 orang Raja berebut-rebut memerintah Parsi. Semua ini petanda kejatuhan kerajaan yang paling besar pada masa itu dan akhirnya dalam waktu yang singkat Kerajaan Kisra pun tumbang (A. Azizan, 2013).

Sehingga ke hari ini kesan bangunan istana Kisra yang runtuh ketika gegaran menandakan kelahiran Nabi Muhammad s.a.w itu masih kekal ada di Madain, Selatan Baghdad dan Iraq. Begitulah serba sedikit ceritera yang empunya ceritera.


Rujukan :

A. Azizan (2013). Sejarah Bumi Anbiya. Selangor : Ladybug Publishing and Distribution.




No comments:

Post a Comment