Tuesday 5 November 2013

Sejarah Bumi Anbiya IV : Jordan


Jordan merupakan sebuah negara Arab yang terletak di Asia Barat dan bersempadan dengan Syria, Iraq, Tebing Barat, Israel dan Arab Saudi. Jordan juga terletak berhampiran dengan Laut Mati dan Teluk Aqabah. Di Jordan, terdapat banyak kesan peninggalan Sejarah Islam di zaman lampau. Antaranya yang paling terkenal ialah lokasi Perang Muktah (A. Azizan, 2013).

Muktah merupakan sebuah kampung yang terletak di perbatasan Syam. Di desa yang terletak di tepi Sungai Jordan inilah terjadi peperangan antara orang-orang Arab (Islam) dengan Pakatan Arab yang beragama Nasrani yang bergabung dengan bangsa Eropah dari Empayar Rom. Secara tepatnya lokasi perang ini merupakan sebuah tempat yang berada di hujung Al-Balqa'. Inilah perang pertama umat Islam melawan bangsa Eropah yang berlaku pada sekitar tahun 629 M ketika pada akhir kehidupan Nabi Muhammad s.a.w. (A. Azizan, 2013).

Menurutnya lagi, Islam bukanlah agama yang suka berperang sebagaimana yang didakwa oleh Sarjana Barat tetapi pertempuran ini bermula apabila utusan damai Rasulullah s.a.w. yang bernama Al-Harits Bin Umar telah dibunuh oleh Kaisar Rom iaitu Heraclius. Mendengar utusan damainya dibunuh, Rasulullah s.a.w. berasa sangat sedih. Nabi Muhammad s.a.w. berunding dengan para sahabat lalu diutus pasukan tentera Islam berangkat ke Syam.

Perang itu terjadi di daerah Mut'ah, Jordan. Perang bermula pada 5 Jamadil Awal tahun 8 Hijrah atau tahun 629 M. Pasukan tentera Islam yang hanya sejumlah 3000 orang tidak menyangka pasukan musuh yang akan dihadapi begitu besar jumlahnya yang dianggarkan 200 000 orang tentera (A. Azizan, 2013). Ketua Pasukan tentera Islam yang dipimpin oleh Zaid Bin Haritsah r.a. telah bertempur dengan berani, menghayun pedangnya. Setelah beliau tersungkur dari kudanya kerana kudanya telah ditombak, Zaid r.a. gugur apabila beliau di penggal oleh pihak lawan. Pimpinan perang diambil ailh oleh Ja'afar Bin Abu Thalib yang bertempur dengan gagahnya sambil memegang bendera pasukan tentera Islam. Saat tangan kirinya putus ditebas pihak lawan, lalu bendera yang jatuh itu dipegang dengan tangan kanannya pula. Namun tangan kanannya juga ditebas pihak lawan. Akhirnya Ja'afar gugur di medan perang.

Menurut A. Azizan (2013) lagi, jawatan Panglima tentera Islam pula dipimpin oleh Abdullah Bin Rawahah r.a. Nasibnya pun sama, beliau telah gugur sebagai Syuhada. Ketua Pasukan diambil alih oleh Singa Gurun iaitu Khalid Al-Walid. Beliau terkenal dalam strategi perang. Beliau telah menyusun dan mengatur strategi, diwujudkan rasa takut dalam diri musuh iaitu formasi pasukan diubah pada setiap hari. Pasukan di barisan hadapan ditukar ke belakang dan yang di belakang ditukar ke depan. Pasukan sayap kanan berganti di posisi kiri dan begitulah sebaliknya. Dengan berganti posisi yang bertujuan agar tentera Rom menganggap pasukan tentera Islam sentiasa mendapat bantuan dan mengelirukan pihak musuh. Strategi ini berhasil apabila pasukan tentera Islam dapat berundur dan pasukan tentera Rom tidak berani mengejarnya. Setelah berhari-hari berperang, akhirnya perang berhenti tanpa ada yang menang. Di pihak tentera Islam gugur seramai 12 orang, namun tidak tercatat jumlah yang mati dipihak Rom. Jika dilihat gigihnya perjuangan tentera-tentera Islam, dipercayai ramai tentera musuh yang telah terkorban. Begitulah serba sedikit ceritera yang empunya ceritera.


Rujukan :

A. Azizan (2013). Sejarah Bumi Anbiya. Selangor : Ladybug Publishing and Distribution. 



No comments:

Post a Comment