Tuesday 19 November 2013

Sayyid Qutb Dipenjara Kerana 'Ekstrem'

Hari ini pengkaji membicarakan tentang kisah Sayyid Qutb yang dipenjarakan kerana extrem. Dalam hal ini, pengkaji tidak pula menyebelahi atau menyokong Sayyid Qutb cuma apabila kita mengetahui kisahnya, bersama-samalah kita mengambil iktibar dan pengajaran. Penilaian hati itulah yang hakiki.

Pada tahun 1945, Sayyid Qutb telah menyertai jemaah gerakan Ikhwan Muslimin. Ketika itu, perang dunia kedua baru sahaja selesai dan gerakan Ikhwan Muslimin terlibat dalam arena politik Mesir (Mohammad Kamil Majid, 2010). Tambahnya lagi, kumpulan Ikhwan Muslimin cuba membuat desakan berkali-kali bagi menuntut kemerdekaan Mesir. Desakan yang dilakukan ini menyebabkan lagi populariti kumpulan tersebut. Namun, dalam masa yang sama, hal ini turut membuka ruang ke arah penindasan ke atas Ikhwan Muslimin oleh Imperialisme Barat dan pemerintah boneka Mesir pada masa itu (Mohammad Kamil Majid, 2010).

Pada 12 Februari 1949, pemimpin Ikhwan Muslimin Hassan al-Bana ditembak mati dan gerakan ini telah diharamkan. Sejak itu, bermulalah zaman penindasan sehinggalah berlakunya revolusi tentera Mesir (Mohammad Kamil Majid, 2010). Pada bulan Julai 1952, rampasan kuasa oleh tentera berlaku dan tempoh penyeksaan yang dihadapi oleh Ikhwan Muslimin terhenti. Namun, ia diikuti dengan penindasan yang lebih kejam dan zalim. Berikutan itu, gerakan Ikhwan Muslimin dipulihkan kembali dan dibenarkan bergerak dengan bebas pada pertengahan tahun 1952 (Mohammad Kamil Majid, 2010).

Pada tahun 1954, Sayyid Qutb telah menentang Perjanjian Inggeris-Mesir yang ditandatangani oleh Gamal Abdul Naser dan pihak Inggeris. Akibatnya, Majalah al-Ikhwan Muslimin telah diharamkan penerbitannya dan ketika itu Sayyid Qutb merupakan Ketua Pengarang majalah tersebut. Sayyid Qutb menentang perjanjian tersebut sebagai sebahagian daripada polisi Ikhwan Muslimin. Oleh itu, sekali lagi Ikhwan Muslimin menghadapi penindasan dan penyeksaan yang lebih hebat kerana didakwa melakukan konspirasi untuk merampas kuasa. Sekali lagi Ikhwan Muslimin diisytiharkan sebagai sebuah pergerakan haram oleh Kerajaan Mesir. Bukan setakat itu sahaja, malahan semua pemimpinnya ditangkap oleh pihak Kerajaan. Lebih malang lagi, mereka semua dikenakan hukuman mati. Ribuan anggota dan petugas Ikhwan Muslimin turut disumbat ke dalam penjara. Segala hak mereka termasuk kehormatan, nyawa dan harta dicerobohi oleh pemerintah pada masa itu (Mohammad Kamil Majid, 2010).

Akibatnya, Sayyid Qutb telah ditangkap dirumahnya dan dipenjarakan di Fort, Penjara Tentera dan Penjara Za'abal. Beliau telah dikenakan hukuman yang menggerunkan dan penuh kezaliman. Yusof al-Azam telah menulis kisah itu :

Sayyid Qutb dikenakan hukuman yang menggunung, dimaki, anjing-anjing belaan polis menggigit dan mengheretnya disekeliling bilik sel, air panas dan kadangkala ais dicurahkan di atas kepalanya, ditendang, ditampar dan ditumbuk, diluahkan perkataan-perkataan yang menghina dan menyakitkan hati. Namun, kesemuanya ini menambahkan keimanannya lagi dan meyakinkan kebenaran perjuangan yang didukungnya lagi.

Semua bentuk penyeksaan yang tidak bertanggungjawab itu menyebabkan kesihatan Sayyid Qutb terjejas teruk. Pada 5 Mei 1955, Sayyid Qutb dimasukkan ke hospital tentera kerana mengalami kesakitan dada, kelemahan tenaga, sengal-sengal sendi dan berbagai-bagai penyakit lagi (Mohammad Kamil Majid, 2010). Pada tahun 1964, beliau telah dibebaskan dengan bersyarat.

Namun, belum pun setahun pembebasan bersyarat itu, Sayyid Qutb ditangkap kali kedua dan dituduh cuba menggulingkan kerajaan dengan cara kekerasan (Mohammad Kamil Majid, 2010). Tambahnya lagi, kali ini bukan beliau sahaja yang ditangkap malah keluarganya juga turut ditangkap. Seramai 20 000 orang telah ditangkap termasuk 700 orang wanita.

Pada bulan Ogos 1966, Sayyid Qutb bersama-sama dua orang rakan seperjuangannya iaitu Muhammad Yusof Hawwasy dan Abd al-Fatah Isma'il telah dijatuhkan hukuman mati oleh Mahkamah Tentera yang dihakimkan oleh Jeneral Fu'ad al-Dagawi (Mohammad Kamil Majid, 2010).

Sebelum itu :
  1. Peguam dalam negara dan luar negara sanggup menjadi peguam bela kepada Sayyid Qutb tetapi tidak dibenarkan.
  2. Mr. William Thorp (Perancis), Mr. A.J.M Vandal (Belanda) dan peguam dari Morocco telah mengajukan permintaan membela Sayyid Qutb tetapi tidak dibenarkan berbuat demikian.
  3. Peguam dari Sudan dan Kaherah juga cuba membela Sayyid Qutb tetapi mereka telah diusir keluar dari mahkamah oleh pihak polis. Mereka juga turut diarahkan keluar dari negara Mesir.
Begitulah serba sedikit ceritera yang empunya ceritera.


Rujukan :

Mohammad Kamil Majid (2012). Sayyid Qutb : Cetusan Idea Seorang Pejuang. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka.




No comments:

Post a Comment