Monday 18 November 2013

Pilihan Raya Sebagai Cara Memberi Kesaksian

Tatkala pengkaji menelaah dan mencari bahan-bahan rujukan, pengkaji telah menemui satu artikel yang bertajuk di atas. Pengkaji telah menganalisis artikel tersebut dan perlu dikongsikan kepada para pembaca dan rakan-rakan blogger yang lain dengan tujuan ingin berkongsi ilmu.

Pilihan Raya sebagai cara memberi kesaksian, itulah tajuk artikel tersebut yang ditulis oleh Mohammad Kamil Majid, Norafifah Abdul Hamid dan Norhidayah Mohammad (2010). Menurut mereka, jika diperhatikan sistem pilihan raya umum atau pemberian suara dari perspektif Islam, ia merupakan kesaksian dan kelayakan yang diberikan kepada seseorang calon. Oleh itu, setiap pemilih mesti mematuhi syarat-syarat yang perlu dipenuhi seorang saksi seperti mesti adil dan perilakunya diredhai.

Tambah mereka lagi, begitu juga jika sesiapa tidak menggunakan haknya sebagai pemilih dengan baik, sehingga calon yang layak dipilih kalah dan suara majoriti jatuh kepada calon yang sebenarnya tidak layak, bererti dia telah menyalahi perintah Allah s.w.t untuk memberikan kesaksian ketika dia diperlukan untuk memberikan kesaksiannya. Allah s.w.t berfirman dalam al-Quran yang bermaksud :

Apabila mereka telah mendekati akhir indahnya, maka rujuklah (kembali kepada) mereka dengan baik atau lepaskanlah mereka dengan baik dan persaksikanlah dengan dua orang saksi yang adil di antara kamu dan hendaklah kamu tegakkan kesaksian itu kerana Allah. Demikianlah orang yang beriman kepada Allah dan hari akhirat diberi pengajaran dengan hukum-hukum tersebut. Barang siapa bertakwa kepada Allah, nescaya Dia akan mengadakan baginya jalan keluar [Surah al-Talaq ayat 2].

Syarat adil dan sifat yang lain boleh disesuaikan dengan keadaan. Sesiapa yang memberikan kesaksian kepada calon yang tidak layak untuk dipilih, bererti dia telah melakukan dosa besar kerana dengan berbuat demikian, hukumnya sama dengan memberikan kesaksian palsu (Mohammad Kamil Majid, Norafifah Abdul Hamid & Norhidayah Mohammad, 2010). Bahkan Allah s.w.t menyebutkan perbuatan ini selepas perbuatan syirik kepada-Nya. Dalam hal ini, Allah s.w.t berfirman yang bermaksud :

Demikianlah (perintah Allah). Dan sesiapa mengagungkan apa-apa yang terhormat di sisi Allah, maka itu adalah lebih baik baginya di sisi Tuhannya. Dan telah dihalalkan bagi kamu semua binatang ternak, terkecuali yang diterangkan kepadamu keharamannya, maka jauhilah olehmu berhala-berhala yang najis itu dan jauhilah perkataan-perkataan dusta [Surah al-Hajj ayat 30].

Sesiapa yang memberikan kesaksian atau suara kepada calon dengan alasan bahawa calon itu merupakan keluarganya atau orang yang berasal dari satu daerah yang sama dengannya atau untuk mendapatkan keuntungan peribadi, bererti dia menyalahi perintah Allah s.w.t (Mohammad Kamil Majid, Norafifah Abdul Hamid & Norhidayah Mohammad, 2010). Allah s.w.t berfirman dalam al-Quran yang bermaksud :

... dan janganlah kamu (para saksi) menyembunyikan persaksian. Dan barang siapa yang menyembunyikannya, maka sesungguhnya ia adalah orang yang berdosa hatinya ; dan Allah maha mengetahui apa yang kamu kerjakan [Surah al-Baqarah ayat 283].

Dengan menambahkan petunjuk tentang pilihan raya umum ini, ia akan menjadi salah satu cara dalam pemerintahan Islam, sekalipun pada dasarnya sistem tersebut diambil dari luar (Mohammad Kamil Majid, Norafifah Abdul Hamid & Norhidayah Mohammad, 2010). 

Begitulah serba sedikit ceritera yang empunya ceritera. Wallah hu alam bisawab.


Rujukan :

Mohammad Kamil Majid, Norafifah Abdul Hamid & Norhidayah Mohammad (2010). Sayyid Qutb : Cetusan Seorang Pejuang. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka.



No comments:

Post a Comment