Monday 18 November 2013

Keadaan Roh Di Alam Barzakh

Hari ini, pengkaji meneruskan semula pengkajian dalam bentuk keislaman. Kali ini pengkaji memaparkan kisah tentang keadaan roh di alam barzakh. Menurut Imam al-Qayyim al-Jauziyah dalam bukunya ar-Ruh, roh-roh terbahagi kepada dua golongan :
  1. Golongan roh yang diazab
  2. Golongan roh yang diberi nikmat
Roh-roh yang diazab tidak berpeluang untuk menziarahi dan bertemu sesama mereka kerana mereka disibukkan dengan azab yang dikenakan kepada mereka (azab tersebut mengikat dan membelenggu mereka daripada saling bertemu dan menziarahi antara satu sama lain). Adapun roh orang-orang yang diberi nikmat (iaitu roh-roh orang beriman yang taat) mereka dapat saling bertemu dan menziarahi antara satu sama lain. Malahan, mereka saling mengingati peristiwa yang dilalui di dunianya yang dulu (Ahmad Adnan Fadzil, 2012).  

Setiap roh akan bersama dengan teman yang sedarjat dengan amalannya dan roh nabi kita Muhammad s.a.w akan bersama teman Yang Maha Tinggi. Allah s.w.t telah berfirman dalam al-Quran :

Maksudnya : Dan sesiapa yang taat kepada Allah dan Rasul-Nya, maka mereka akan (ditempatkan di Syurga) bersama-sama orang-orang yang telah dikurniakan nikmat oleh Allah s.w.t kepada mereka, iaitu nabi-nabi, orang-orang siddiqin, orang-orang yang syahid, serta orang-orang yang soleh. Dan amatlah eloknya mereka itu menjadi teman rakan (kepada orang-orang yang taat). [Surah an-Nisa' ayat 4:69].

Menurut Ibnu Qayyim, manusia akan bersama dengan sesiapa yang ia kasih atau cintai di alam barzakh mahupun di alam akhirat. Allah akan mempertemukan roh-roh antara satu sama lain di alam barzakh dan pada hari kiamat sebagaimana yang telah diterangkan dalam hadis.

Kesimpulannya, selepas roh berpisah dengan jasad, roh akan bersama dengan roh-roh yang sama sepertinya, yang menjadi saudaranya, dan yang beramal sepertinya. Ia bersama mereka di sana (di alam barzakh dan alam akhirat).


Rujukan :

Ahmad Adnan Fadzil (2012). Rahsia Kematian, Alam Barzakh dan Roh. Kuala Lumpur : Telaga Biru Sdn. Bhd.




No comments:

Post a Comment