Wednesday 20 November 2013

Jenis-Jenis Sistem : Struktur Politik

Apabila kita membincangkan tentang konsep kuasa dan kewibawaan dalam memahami institusi politik, ia amat berkait rapat dengan struktur atau sistem pemerintahan dalam sesebuah masyarakat (Rohana Yusof, 2006). Tambahnya lagi, kestabilan sesebuah politik akan berjaya hanya jika struktur dan sistem politiknya dapat diterima oleh majoriti. Dari sudut perspektif sosiologi, terdapat beberapa sistem pemerintahan yang dibezakan berasaskan corak atau bentuk kekuasaan politik dalam sesuatu masyarakat. Di antara jenis-jenis sistem tersebut adalah :
  1. Sistem Monarki - Sistem Monarki merupakan sistem pemerintahan beraja. Ia diperintah oleh seorang raja yang kekuasaannya adalah diwarisi daripada keturunan beraja. Misalnya, Negara England merupakan kerajaan monarki tetapi pada masa kini ia lebih dikenali sebagai pemerintahan berbentuk monarki berpelembagaan (Rohana Yusof, 2006). Ini kerana pemerintah beraja hanyalah sebagai Ketua Kerajaan secara simbolik manakala sesebuah kerajaan itu beroperasi adalah menurut satu perlembagaan yang formal dan terasas dengan adanya Perdana Menteri.
  2. Sistem Oligarki - Sistem ini merupakan satu corak pemerintahan yang kuasa pemerintahannya hanya dipegang oleh sekumpulan yang berkuasa iaitu satu kelompok elit. Oleh itu, sistem ini merupakan kerajaan yang dipimpin oleh sebilangan kecil ketua atau pemerintah, ataupun corak sistem ini dikuasai oleh seseorang secara keturunan atau melalui keluarga (warisan). Kuasa dikatakan hanya berada ditangan pemimpin-pemimpin yang mahir dan pakar sahaja (Rohana Yusof, 2006).
  3. Sistem Autoritarian - Sistem ini merupakan corak pemerintahan yang kuasa dalam negaranya terletak pada tangan seorang pemerintah sama ada seorang raja ataupun diktator yang memerintah dengan cara paksaan. Rakyat tidak ada kebebasan dalam memberi pendapat atau mengkritik kerajaan (Rohana Yusof, 2006). Walaupun demikian, pemerintah tidak mengawal kehidupan rakyat secara keseluruhannya tetapi institusi keluarga, agama dan ekonomi masih disokong oleh pemerintah. Namun demikian rakyat diminta memberikan taat setia kepada pemerintahnya.
  4. Sistem Totalitarian - Menurut Rohana Yusof (2006), dalam masyarakat yang mengamalkan corak pemerintahan totalitarian semua fungsi sosial ditentukan oleh pemerintah. Kuasa dalam negara tersebut adalah terletak pada tangan seorang pemerintah atau diktator. Oleh yang demikian, sudah tentu tidak ada kebebasan dalam penyertaan pemerintahan bagi rakyat. Kesemua institusi seperti pendidikan, aktiviti keluarga, perniagaan dan ekonomi, dan agama dikawal oleh pusat pemerintahan. Gejala sosial bagi setiap rakyat adalah dikawal sepenuhnya. Rakyat tidak dibenarkan untuk membuat keputusan sendiri dan bertanggungjawab kepada negara. Contohnya, negara China era Revolusi pertanian dan Jerman era Hitler.
  5. Sistem Demokrasi - Corak pemerintahan demokrasi ini banyak diamalkan oleh negara-negara di dunia. Secara umumnya, demokrasi bermakna pemerintahan oleh orang ramai dan untuk orang ramai. Pemerintahan adalah mengikut undang-undang yang berdaulat dan undang-undang tersebut terletak di tempat paling tinggi dibandingkan dengan individu, masyarakat dan kerajaan. Demokrasi mengutamakan kebebasan rakyat untuk bersuara maka pemerintah adalah dipilih oleh rakyat melalui proses pilihan raya dan menerima kritikan daripada pihak pembangkang tidak kira sama ada dalam pemerintahan itu terdiri daripada dua parti atau lebih (Rohana Yusof, 2006).
Kesimpulannya, institusi politik merupakan satu institusi yang diperlukan bagi setiap masyarakat. Ia berfungsi sebagai satu agen pentadbiran yang berperanan untuk melicinkan pentadbiran sesebuah negara. Oleh itu, tidak mungkin ada satu-satunya sistem dan struktur politik yang muktamad dan boleh digunakan atau sesuai bagi tiap-tiap negara. Malahan, kebanyakan negara-negara di dunia pada hari ini menggunakan struktur politik campuran bagi melicinkan pentadbiran mereka.


Rujukan :

Rohana Yusof (2006). Asas Sains Sosial : Dari Perspektif Sosiologi. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka.



No comments:

Post a Comment